Anak Derhaka: Adakah ada ruang syurga untuknya?


Ustaz Abdullah Khairi | 02-04-2020

Jika mahu diceritakan mengenai dosa anak-anak terhadap ibu bapa, pasti tak akan cukup helaian untuk ditulis. Terlalu banyak kesalahan yang dilakukan sama ada secara sengaja dan tidak sengaja. Walaupun banyak peringatan berkaitan hal itu diberi, namun ia seakan tidak memberi apa-apa kesan kepada anak yang derhaka. Alangkah tegarnya mereka.

Saya teringat satu kisah tentang seorang anak yang sanggup meninggalkan ayahnya yang uzur di perhentian bas kerana tidak mampu menyara si ayah. Akhirnya si ayah diambil oleh pihak jabatan kebajikan masyarakat dan ditempatkan di rumah orang tua-tua.

Ada juga kisah tentang seorang anak sanggup membunuh datuk, nenek, ayah dan adik perempuannya kerana terpengaruh dengan bisikan syaitan sehingga mengarahkan pemuda berkenaan melakukan pembunuhan.

Malah ada juga kisah seorang anak perempuan dan suaminya yang sanggup menghalau ibu kandung sendiri bahkan beliau tidak mengaku bahawa wanita itu adalah ibunya. Betapa hancur dan pilunya hati seorang ibu dan mengalirlah air mata kesedihan.

Inilah contoh anak derhaka di zaman moden. Kisah ini hampir sama dengan kisah lagenda Si Tanggang dan Si Malim Kundang yang mendapat balasan daripada Allah di dunia lagi kerana menderhaka kepada ibu mereka setelah menjadi kaya dan senang.

Bang, 

Apa hebatnya kita apabila berlaku kejam tanpa belas kasihan kepada kedua ibu dan ayah yang sudah tua itu?

Di mana  hebatnya kita jika kita sentiasa bercakap kasar di depan orang tua sehingga menyakiti hati mereka.?

Dan sejauh mana hebatnya kita jika lebih mementingkan kehidupan orang lain berbanding kehidupan orang tua? 

Ingatlah, tidak ada yang menanti penderhaka ibu bapa kecuali dosa dan amalan yang tidak diterima selagi tidak memohon keampunan Allah SWT. 

Abi Bakrah r.a berkata, Nabi SAW pernah bertanya tiga kali: 

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ 

 “Mahukah aku memberitahu kamu tentang dosa yang paling besar?” 

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!” 

Baginda SAW menjelaskan: 

الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَوْ قَوْلُ الزُّورِ 

 “Berbuat syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua orang tua, dan bersaksi palsu atau berkata dusta.” (Riwayat Muslim) 

Bang, 

Mengapa perlu sakiti kedua ibu bapa dan menitiskan air mata mereka? 

Sesungguhnya, derhaka kepada ibu lebih berat dosanya. Berdasarkan sebuah hadis di mana Rasulullah SAW mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu: 

إِنَّاللَّهَ تَعَالَى حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ اْللأَمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ وَوَأْدَ اْلبَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ قِيْلَ وَقَالَ، وَكَشْرَةَ اْلسُّؤَالِ، إِضَاعَةَ اْلمَالِ 

Sesungguhnya  Allah mengharamkan  ke atas kamu berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kamu menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.” (Riwayat al-Bukhari)

Abdullah ibn ‘Umar r.a pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu: 

الكَبائرُ تِسْعٌ: الإشراكُ باللهِ، وقَتْلُ نَسَمَةٍ، والفِرارُ مِنَ الزَّحفِ، وقَذْفُ المُحْصَنةِ، وأكْلُ الرِّبا، وأكْلُ مالِ اليتيمِ، وإلحادٌ في المسجدِ، والَّذي يَستَسخِرُ، وبُكاءُ الوالدينِ مِنَ العُقوقِ 

“Ada 9 dosa besar: Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibu dan ayah dan (menyebabkan) mereka menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).” (Riwayat al-Bukhari) 

Sebagai anak, sentiasalah berusaha memperbaiki diri. Usah sesekali meninggikan suara, menggunakan perkataan kasar, sinis dan menyinggung perasaan serta membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. 

Mahukah kita menjadi salah seorang daripada hamba yang dimurkai oleh Allah SWT hanya kerana sikap kita yang mengetepikan kehadiran ibu dan ayah dalam hidup dan mengabaikan mereka? 

Rasulullah SAW bersabda: 

وَلَعَنَ اللهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَيْهِ 

“Allah melaknat orang yang melaknat kedua orang tuanya.” (Riwayat Muslim) 

Jangan sekali-kali kita pentingkan diri? Jika tidak kerana ibu dan ayah, kita tidak akan lahir di dunia ini. 

Jika tidak kerana mereka, kita tidak akan dapat mengecapi hidup yang senang seperti adanya hari ini. 

Kalau tidak kerana penat dan jerih mereka membesarkan kita, mana mungkin kita akan menjadi manusia yang disegani dan mempunyai ilmu yang tinggi. 

Tidak ada gunanya jika kita berilmu setinggi langit, jika kita tidak dapat membahagiakan ibu dan ayah sebagaimana mereka membahagiakan kita sewaktu kecil. 

Oleh sebab itulah, Allah SWT telah memerintahkan kita supaya bersyukur dengan menghargai pengorbanan ibu dan ayah.

Anak Derhaka
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });