Meninjau Kesengsaraan Warga PPR di Waktu PKP


Muhammad Arham Munir Merican | 31-03-2020
PKP penting untuk memutuskan rantaian penularan Covid19.

Satu kajian ringkas namun komprehensif daripada Khazanah Research Institute (KRI) tentang nasib golongan miskin bandar telah diterbitkan bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kajian kes dan data kajian merangkumi mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam kawasan Lembah Klang.

 

 

Di bawah saya ringkaskan kajian itu kepada 10 poin penting:-

 

  1. Terdapat tiga ancaman besar pada golongan miskin bandar iaitu ancaman kehilangan atau terjejas pendapatan. Kedua akses makanan terganggu dan akhir sekali keadaan atau kondisi tempat tinggal yang membahayakan.
  2. Berdasarkan data 2017, terdapat lebih 73,000 unit PPR dalam kawasan Lembah Klang. Lebih 31,000 daripada unit itu terletak dalam kawasan Kuala Lumpur. Dianggarkan seunit rumah mampu didiami minima 4 orang menjadikan jumlah mereka yang menghadapi tiga risiko ini minimanya hampir 250,000 atau suku juta daripada rakyat Malaysia.
  3. Ancaman pertama bagi mereka adalah pendapatan yang terjejas. Gaji selesa berdasarkan BNM untuk hidup di Lembah Klang adalah RM 2700 bagi individu, RM 4500 bagi pasangan baru kahwin, dan RM 6500 bagi pasangan dengan dua anak. Namun hakikatnya 65.8% ketua keluarga yang tinggal di PPR mempunyai pendapatan kurang RM 2000. Tentunya sebelum PKP pun mereka dikira berpendapatan sangat rendah, jauh berbanding gaji selesa yang sepatutnya, inikan pula dalam fatrah PKP di mana mereka tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.
  4. Dari segi pekerjaan, PKP sangat menjejaskan mereka yang kerjanya tidak mampu dilakukan daripada rumah seperti pemandu lori, pengawal keselamatan, penjaga kaunter, dan kontraktor. Majoriti pekerjaan mereka dikategorikan sebagai pekerjaan dengan skil rendah. Ini kerana majoriti golongan ini tidak mempunyai tahap pendidikan tinggi dengan hampir dua pertiga hanya menamatkan pengajian tahap menengah. Berdasarkan kaji selidik daripada Malaysian Institute of Economic Research, 67% daripada 2.4 juta pekerja yang dijangka dibuang kerja melibatkan sektor pekerjaan berskil rendah.
  5. Selain itu, 20% pula bekerja sendiri dan membuat bisnes kecil-kecilan, PKP menjejaskan terus sumber pendapatan mereka dan lebih membimbangkan mereka tidak mempunyai sekuriti sosial seperti simpanan KWSP. Justeru, mereka tidak mempunyai simpanan akaun 2 untuk dikeluarkan. Mereka juga tidak mempunyai caruman SOCSO, lantas menafikan hak mereka mendapatkan bantuan RM600 akibat tiada pendapatan.
  6. Ancaman kedua pula adalah kesukaran mendapatkan akses makanan. Mereka kehilangan akses makanan itu apabila pasar tani, pasar malam ditutup sepanjang tempoh PKP. Di samping itu, mereka bukanlah golongan yang mampu memborong banyak dek kerana pendapatan harian yang diterima dan perlu kerap keluar mendapatkan keperluan rumah paling kurang sekali seminggu. PKP dijangka menambah beban mereka akibat kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung dan kos barangan yang lebih tinggi di pasaraya.
  7. Berdasarkan kajian lagi, 94.8% pendapatan mereka dihabiskan untuk perbelanjaan keperluan, ini menunjukkan peratusan yang sangat sedikit hampir 0 yang diperuntukkan untuk mereka menyimpan. Ia selari dengan dapatan Bank Negara Malaysia di mana hanya 25% rakyat Malaysia mempunyai simpanan kecemasan lebih RM1000 dan hanya 32% mempunyai simpanan yang cukup untuk dibelanjakan selama seminggu. PKP seperti ini tentunya menggusarkan dan menjejaskan mereka.
  8. Ancaman ketiga dan terakhir adalah kondisi tempat tinggal yang tidak sejahtera. Bayangkan tipikal satu blok PPR mempunyai 17 tingkat dan 316 unit rumah. 1455 orang dalam satu bangunan berkongsi lif sekiranya ia berfungsi. Suasana padat seperti itu tentunya menambah risiko jangkitan penyakit terutamanya dalam keadaan pandemik seperti ini.
  9. Turut menjadi isu adalah tahap kebersihan dan risiko kesejahteraan mental dan fizikal penghuni yang sangat padat bagi seunit kecil di PPR. 14% berdasarkan kajian hidup dalam keadaan sesak di mana lebih 2 orang terpaksa berkongsi satu bilik tidur.
  10. Keadaan sesak dalam rumah ini bakal mengganggu waktu tidur, menghilangkan tumpuan dan fokus anak-anak untuk belajar, dan seterusnya menjekaskan hubungan kekeluargaan baik antara ibubapa dan anak, malah antara adik beradik.

 

Kesimpulannya, terdapat banyak kajian dan polisi termasuk pengumuman pakej ransangan yang baru diumumkan oleh kerajaan yang hanya  menyentuh ancaman pertama kesengsaraan mereka iaitu ancaman pendapatan. Mereka adalah mangsa polisi terdahulu yang memaksa golongan berpendapatan rendah yang berada di setinggan untuk berhimpit hidup di bangunan tinggi dengan penyelenggaraan yang sangat minima dan tidak dipantau dengan baik, ini semua menjadikan hampir suku juta rakyat hari ini dalam keadaan yang bertambah sengsara.

 

Di waktu pandemik seperti ini, peranan NGO menjadi sangat kritikal. Pengumuman kerajaan yang meminta semua bentuk bantuan dipusatkan kepada kerajaan semata-mata sangat berbahaya kepada usaha membantu golongan miskin bandar secara komprehensif dan menjamin kesejahteraan mereka. Kerajaan sepatutnya berkolaborasi dan mengkoordinasi usaha bantuan kepada mereka ini supaya bukan sahaja dapat membantu mereka dari sudut pendapatan, malah punya usaha mengatasi masalah mereka dalam mendapatkan makanan, memperbaiki kondisi tempat tinggal dan psikologi mereka.

*Penulis merupakan Pengarah Eksekutif Siasah Rahmah Research & Consultancy

Covid19
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });