Covid-19: Inilah masanya untuk kita bertaubat, beristighfar...


Mohd Azli Mohd Ali | 25-03-2020

Kehidupan seorang manusia ini adakalanya sukar diramal. Kadangkala dia melakukan perkara yang sangat baik dan terpuji dan adakalanya juga dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Harus kita ingat bahawa apabila setiap kali kita lakukan benda yang baik, maka Allah SWT akan memberi kepada kita rahmat yang begitu luas. Dan apabila kita terperangkap dengan benda-benda yang tidak baik, Allah juga nak melihat kita menumpahkan air mata kita menyesal di atas perbuatan-perbuatan yang lalu yang disebut dengan nama bertaubat kepada Allah SWT.

Itulah yang dipanggil kehidupan seorang anak adam. Hidupnya di antara syukur, hidupnya di antara sabar, hidupnya duduk di antara menyesali perkara-perkara yang tidak baik.
Tidak mungkin manusia ini seperti malaikat. Di mana Allah SWT telah menciptakan malaikat dengan sesuatu yang ‘khas’, tidak dipasangnya kepada malaikat akan nafsu, tidak diberi kepada malaikat akan syahwat seperti manusia. Maka berbezalah hidup malaikat dengan kehidupan kita. 

Allah SWT gambarkan dalam hidup Malaikat; Mereka tidak akan sekali-kali menderhakai Allah dan akan melakukan apa yang telah diperintahkan. Itulah sifat malaikat iaitu tidak ada penderhakaan. Tetapi manusia berada di tengah-tengah. Sebagaimana berlaku kepada datuk kita iaitu Nabi Allah Adam a.s sebagai manusia yang pertama yang telah melakukan kesilapan tetapi apabila dia turun ke bumi, Allah SWT turunkan Nabi Adam kemudian Allah SWT mengajar kepada Nabi Adam supaya bertaubat, maka dia bertaubat. 

Dalam hadis, Rasulullah SAW ada berkata; 

لَوْلَا أَنَّكُمْ تُذْنِبُونَ لَخَلَقَ اللهُ خَلْقًا يُذْنِبُونَ يَغْفِرُ لَهُمْ

“Seandainya kamu sekalian tidak mempunyai dosa sedikit pun, niscaya Allah akan menciptakan suatu kaum yang melakukan dosa untuk diberikan ampunan kepada mereka.” (Riwayat Muslim)

Jikalau kamu semua ini tidak ada dosa, nescaya Allah SWT akan hilangkan kamu dan datangkan orang-orang yang berdosa, kemudian mereka-mereka ini bertaubat, dan sesungguhnya Allah SWT menerima taubat mereka. Ertinya taubat ini adalah satu pintu yang Allah SWT bukakan kepada kita.

MENGAPA PERLU BERTAUBAT?

Maka para ulama telah berbincang; Mengapa kita kena bertaubat? 

PERTAMA, sebab Allah SWT telah perintahkan kepada kita supaya bertaubat. Allah SWT telah berfirman;

“Bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman semoga kamu menjadi orang yang mendapat kemenangan.” (an-nur:31) 

Itu perintah Allah SWT. Dia menyuruh kita untuk bertaubat. Nabi SAW juga seorang yang sering bertaubat. Tetapi taubat Nabi SAW disebabkan apa? Adakah nabi kita ini seorang yang berdosa? 

Nabi tidak berdosa!

Tetapi kata nabi Aku beristighfar sebanyak 70-100 kali.

Rasulullah SAW bersabda; 

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

“Demi Allah. Sungguh aku selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.” (Riwayat Bukhari) 

Baginda SAW juga bersabda di dalam hadis yang lain

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ

“Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah kerana aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim)

Kenapa nabi kita beristighfar walaupun baginda tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan., Sebabnya walaupun nabi tidak berdosa tetapi dia mahu mengajar kepada kita bahawa yang sebenarnya kita ini memang berdosa.

Tidak ada di atas muka bumi ini yang berani mengatakan bahawa “Saya tidak ada dosa

Jangan! 

Sama ada kita suka atau tidak suka, benda itu pasti akan berlaku. 

KEDUA, kita kena bertaubat sebab kita kena teringat dihadapan kita ada neraca timbangan yang disebut dengan nama mizan. Neraca timbangan ini biarlah kita letak di atas kepala kita dan letak di depan mata kita. 

Siapa yang berat timbangannya, dia hidup dalam kehidupan yang baik. Jadi macam mana siapakah pemberat timbangan yang memberatkan timbangan sebelah kiri kita adalah dosa dan maksiat. Jadi kita nak kurangkan bebenan untuk kita ditimbang nanti di akhirat, maka kita bertaubat awal-awal lagi supaya allah SWT hapuskan, allah SWT beratkan timbangan sebelah kanan dan jangan diberatkan timbangan sebelah kiri.

KETIGA, sebab kita bertaubat adalah kerana orang yang bertaubat itu, orang yang disukai oleh Allah SWT. Tuhan tidak suka kita berbuat maksiat. Tetapi kalau kita terjebak dengan maksiat, Dia suka melihat kita bertaubat. “Aku bertaubat” jadi banyak dalam athsar, orang yang bertaubat dalam berdosa, seperti orang yang tidak berdosa.

KEEMPAT, Hak Allah ke atas hambanya sangat besar. Nikmat yang diberi tidak terhingga dan tidak terkira, maka kita kena bersyukur. Bila kita nak bersyukur ? kadang-kadang tidak cukup. Kita terasa macam kekurangan daripadanya, maka kita minta dengan Allah SWT, minta maaf… selepas solat beristighfar…

KELIMA, sesungguhnya Allah SWT sangat suka kepada hamba-hambanya yang bertaubat. Kita nak jadi orang yang tuhan suka atau tidak. Nak jadi orang yang disayangi oleh Allah, bertaubatlah…

Covid
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });