Hilangkah kecantikan jika menutup aurat?


Ustaz Hanafiah | 11-11-2019

“Ustaz, saya tidak menutup aurat tetapi saya tidak pernah tinggal solat?”

Kamu masih Islam jika kamu tidak pernah tinggal solat. Jika kamu tidak solat bermakna tidak sempurnalah rukun Islam kamu. Berdosa besar jika meninggalkan solat. Sama seperti solat ada 13 rukun. Jika tidak rukuk maka tidak sah solatnya. Jadi, bila tinggal satu daripada rukun Islam, seseorang tidak dikatakan Islam.

Tidak menutup aurat, tetapi tetap solat, dia masih dikira berdosa kepada Allah kerana ia adalah perintah-Nya. Namun Islamnya masih ada, kecuali jika dia tinggal solat, maka Islamnya akan tercabut.

Perempuan yang tidak tutup aurat tapi tetap solat, itu adalah lebih baik daripada perempuan yang menutup aurat tapi tidak pernah solat.

Nasihat saya, perempuan yang masih tidak menutup aurat, maka hendaklah dia memasang azam untuk menutup auratnya.  Alangkah indahnya, aurat yang ditutup, jiwa disuburi iman, peribadi terbentuk, maruah terbina, cahaya terbias sebagai wanita.

Cantiknya wanita bukan pada mekapnya tetapi cantiknya wanita adalah kerana auratnya dijaga.

Kerana apa?

Kerana biasanya wanita yang benar-benar ingin menutup auratnya, dia akan sering untuk berwuduk berbanding untuk mekap.

Dan seseorang yang tidak pernah lepas dari wuduknya, dia akan memiliki aura yang tersendiri. Wajahnya akan terlihat lebih bercahaya, lebih bersinar, lebih segar meski tidak bermekap. maka jadilah kamu cantik dengan cara seperti itu.

Wanita, jika kamu ingin menjadi wanita yang lebih menawan, istimewa, berbeza daripada wanita-wanita yang lain, maka jagalah akhlakmu, jagalah sopan santunmu. Bukan hanya pada orang yang lebih tua darimu saja namun juga pada seusiamu dan yang lebih muda dari dirimu.

Jangan hanya bergantung kepada penampilan sahaja untuk dilihat menawan bagi orang lain, sebab kalau kamu tidak pandai menjaga sopan santunmu kamu tetap sahaja akan ‘dicop’ buruk atau murahan oleh orang lain.

 

‘Ustaz kalau kami tetap tidak mahu menutup aurat?”

Bahaya!

Itu yang boleh saya katakan. Kalau kita lihat hari ini, dengan pelbagai masalah sosial, kes cabul, kes rogol, kes liwat dan bermacam lagi, timbul kegusaran kat hati saya.  

 

Terus terang saya katakan, apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.

Cuba ingat kembali mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj?

Bayangkanlah rambut yang menjadi kebanggaan wanita, diikat dan digantung sehingga menggelegak otaknya.

Sanggupkah kamu bayangkan diri kamu atau bayangkan adik-adik perempuan,  ibu dan kakak kita diazab sedemikian rupa?

Allah SWT tidak membebankan kaum wanita dengan perkara yang berat. Cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam, cukup dengan hanya menjaga aurat dan mentaati suami, maka tertutup segala pintu neraka dan terbukalah semua pintu syurga. Wanita boleh memasuki daripada mana-mana pintu yang dia suka.

Agama Islam memberi jaminan terhadap umatnya yang mengambil berat tentang aurat, Mereka dikelaskan sebagai umat yang terbaik yang mendapat keredaan Allah sebagaimana firman-Nya: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah  (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA