HEBATNYA ZAKAT: KISAH SI TUKANG SAPU SAMPAH


Ustaz Hanafiah | 11-11-2019

Kita kena ingat bahawa harta ini bukan milik kita. Memang duit itu adalah duit kita. Tetapi di dalam duit kita itu ada duit saudara-saudara kita. Nafsu kena tunduk dengan perintah Allah. Islamkanlah nafsu anda. Buanglah sifat bakhil. Kita sebagai orang Islam kena ikut sifat Allah SWT iaitu ar-Rahman ar- Rahim, Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi.

Kita menjadi kaya, kita layak membayar zakat bukan sebab kerja keras kita, tetapi rezeki datangnya dari Allah SWT. Dia Yang Maha Pemurah yang memberi rezeki kepada kita.

Kalau ada orang yang lagi kerja keras daripada kita, tetapi masih belum ada rezeki untuk kaya, sebabnya kerana Allah SWT tidak bagi. Tetapi bila Allah sudah bagi, sebenarnya harta bukan sekadar amanah, hanya pinjaman dan apabila orang Islam diberi amanah, dia kena jalankan amanahnya.

Bayarlah zakat. Belum ada orang yang jatuh miskin bila memberi zakat. Ramai dari mereka yang mempunyai rumah yang besar, tetapi di dalamnya penuh dengan pergaduhan. Anak-anak menjadi penagih dadah. Suami berlaku curang dengan bibik. Isteri pula asyik main FB sedangkan anak perempuan pula jadikan rumah sebagai hotel. Ini semua berlaku kerana tidak ada keberkatan.

Saya ingin berkongsi kisah benar dari sahabat saya. Dia cumalah seorang penyapu sampah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Beberapa malam yang lepas kami ada bertemu. Dia datang ke rumah saya dan kami berbual-bual tentang kehidupan masing-masing.  

Sejak awal perkahwinannya, kerja rakan saya adalah sebagai tukang sapu sampah. Hidupnya begitu sederhana. Dia dan keluarganya hanya tinggal di rumah flat kos murah di Sentul.

Sehingga ke hari ini, dia masih dengan kerjanya sebagai tukang sapu sampah. Dan yang menariknya, dia datang bekerja dengan mengayuh basikal setiap hari. Tahun ini dia sudah berumur 50 tahun, tetapi masih gagah untuk mengayuh basikal. Walaupun kawan-kawan dia yang bekerja di tempat yang sama sudah mempunyai kereta, tapi dia tetap menaiki basikal.

Tuan-tuan tahu apa yang berlaku?

Kawan-kawan dia yang lain, sentiasa menghina dia. Jiran-jiran yang satu di tempat dia tinggal, memandang rendah padannya. Banyak kata-kata negatif dan menghina yang dilemparkan kepadanya.

Tetapi, dia pendamkan segala kata-kata buruk itu. Dia simpan dalam hati segala cemuhan kawan-kawannya. Dia tetap terus bekerja untuk membesarkan anak-anaknya.

Alhamdulillah, semua kerja kerasnya mendatangkan hasil. Pada hari ini, semua anak-anaknya menjadi. Dua orang daripadanya adalah doktor dan dua orang lagi anaknya adalah arkitek.

Anak yang bekerja sebagai doktor setiap bulan memberikan duit kepada ayahnya sebanyak RM2,000. Manakala anak yang bekerja sebagai arkitek sebanyak RM1,000 setiap seorang. Bermakna setiap bulan dia memperolehi RM6,000 setiap bulan daripada anak-anaknya.

Tuan-tuan tahu atau tidak  orang yang sapu sampah kadang-kadang hati dia lebih mulia daripada kita semua. Lebih mulia daripada saya. Dia hanya sapu sampah... ALLAHuakhabar... Tapi hati dia sungguh mulia. Tuan-tuan dengan RM 6,000 tuan-tuan tahu tak apa yg dia buat? Agak-agaklah apa yg dia buat?

Kalau kita pasti kita akan simpan duit tersebut dan beli bermacam-macam barang berharga. Tetapi dia tidak! Sebaliknya dia SEDEKAHKAN kepada kawan-kawan yang sama-sama bekerja dengannya. Dia bantu rakan-rakan yang menghadapi masalah kewangan, membantu menolong bayarkan sewa tertunggak kawan-kawannya, membantu mereka menyediakan duit deposit untuk membeli rumah dan banyak lagi.

Cuma apa yang dia minta pada kawan-kawannya hanyalah SOLAT.

“Man, aku boleh tolong selesaikan masalah engkau. Cuma aku harap satu sahaja pada engkau, JANGAN TINGGAL SOLAT. Jangan claim overtime lebih, dan jangan ada komisyen ataupun rasuah.”

Saya ada bertanya kepada dia, dah ada RM6,000 sebulan, kenapa tak beli kereta?

Jawabnya;

"Ustaz, harta bukan milik kita ustaz. Anak saya ada berikan saya kereta mewahnya tetapi kalau saya terima pemberiannya, saya takut nanti saya ada sifat SOMBONG, BONGKAK, RIAK. Saya takut ustaz, saya lebih selesa naik basikal ustaz. Basikal saya tak pernah putus rantai, tak pernah pancit tayar, botak sahaja taranya saya tukar."

Subhanallah… Apa maksudnya itu?

Maknanya itulah BERKAT.

Sepanjang dia bekerja sebagai tukang sapu sampah, anak-anak yang dibesarkan itu jarang kena sakit yang berat. Tidak pernah sekali dia kekurangan wang dalam membesarkan anak-anaknya. Walaupun hidupnya sederhana, tetapi dia mampu menyediakan segala keperluan anak-anaknya sehingga mereka berjaya di menara gading.

Itulah keberkatan daripada sedekahnya itu.

Kita?

Gaji RM10,000 sebulan tapi tidak mahu membayar zakat. Zakat pendapatan pun tak nak! Zakat simpanan pun tak nak! Zakat harta pun tak nak! Ohh... semua tak nak! Zakat perniagaan pun tak nak bayar!

Akhirnya seperti kata orang Cina, "suaey maa." Sekejap-sekejap anak sakit. Sekejap-kejap diri sendiri yang sakit dan kerap kali kita menghadapi bermacam-macam masalah. Itukah yang kita mahu?

Jadi apa tunggu lagi... carilah keberkatan dari harta yang kita dapat itu dengan berzakat. Insya-Allah, DIA akan tambahkan dan tambahkan lagi rezeki kita. 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA