Boleh Ke Imam Baca Ayat Yang Panjang Dalam Solat?


Ustaz Mustafar Mohd Suki | 15-10-2019

Abu Mas’ud al-Ansari berkata:

Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku habis lambat daripada solat subuh disebabkan ada fulan yang memanjangkan solat ketika dia mengimami kami."

Kata Abu Mas’ud, "Aku tidak melihat Rasulullah marah pada hari baginda memberi peringatan melainkan pada hari tersebut."

Kemudian Nabi bersabda, "Sesungguhnya ada di antara kalian yang akan lari. Sesiapa yang menjadi imam maka ringkaskan. Ada dalam kalangan makmum yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai hajat (untuk diselesaikan).” (HR al-Bukhari: 702)

Pentingnya Imam Meraikan Makmum

Orang yang hendak menjadi imam bukan sahaja perlu mempelajari hukum-hakam berkaitan dengan imam, tetapi isu dan perkara yang berkaitan dengan makmum juga perlu diketahui. Ia sangat penting kerana semua ini menjadi asas ke arah mendapatkan solat yang sempurna.

Imam Ibnu Battal menyatakan hadis ini menjadi dalil bahawa mereka yang menjadi imam solat perlu untuk meringankan solat kerana ia merupakan perintah daripada Nabi SAW. (Syarah Ibn Battal ala Sahih Al-Bukhari, 2/333)

Meringankan solat bermaksud tidak membaca terlalu panjang dan lama kerana maksud hadis Nabi SAW tersebut adalah untuk meraikan makmum yang tua, lemah dan mempunyai urusan penting.

Dalam situasi kita menjadi imam di pusat membeli-belah, lapangan terbang, perhentian dan seumpamanya, maka situasi ini termasuk dalam apa yang diisyaratkan oleh hadis iaitu solat diringkaskan.

Maksud Mempercepatkan Solat

Solat dalam apa keadaan sekalipun, wajib mendatangi setiap rukun dengan sempurna dan tamakninah kerana ada larangan daripada Nabi SAW terhadap orang yang mencuaikan solat sama ada meremehkan atau tidak mengerjakan rukun dan syarat solat seperti yang telah ditetapkan syarak.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa meringkaskan solat dalam hadis tersebut bukanlah bermaksud sehingga meninggalkan perkara-perkara yang wajib dilakukan di dalam solat. Ia juga bukan bermaksud ringkas sehingga membawa kepada hilangnya kesempurnaan solat. (Fathul Bari, 2/198)

Secara umumnya maksud meringkaskan solat ialah tidak membaca surah yang panjang dalam keadaan yang perlu diraikan seperti dalam hadis.

Lari daripada Agama

Lari daripada agama bermaksud meninggalkan solat berjemaah, kerana solat jemaah merupakan syiar dalam Islam. Oleh itu, imam perlulah meraikan para jemaah di tempatnya.

Adapun jika solat sendirian maka tiada larangan untuk solat selama manapun kerana ia perkara yang digalakkan. Sayidatina 'Aisyah R.Anha ketika ditanya tentang solat Nabi SAW maka beliau menjawab usah ditanya lama dan panjangnya seolah-olah semua rukun solat sama sahaja dari sudut panjangnya dilakukan oleh Nabi SAW.

Di samping itu, sesiapa yang melakukan ibadah khususnya solat, janganlah dia sampai mengabaikan tidurnya pada malam hari kerana sunnah Nabi SAW solat malam dan berehat atau tidur kerana pada tubuh badan itu ada hak yang perlu ditunaikan.

 

#40KisahTeguranRasulullahBuatUmat

#BAKALTERBIT

#november

#karyabestari
 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA