Betulkah Membaca Surah Al-kahfi Akan Benjadi Benteng Fitnah Dajjal?



*Maksud Surah al-Kahf Sebagai Benteng Daripada Al-Dajjal*

 

Persoalan:

*Alhamdulillah saya telah menghafaz 10 ayat pertama surah al-kahf. Adakah saya selamat daripada dajjal?*

 

*Penjelasan*
Tidak, Dajjal tidak takutkan orang yang menghafaz 30 juzuk al-Quran sekalipun. Dia telah dikurniakan kuasa dan kekuatan oleh Allah Taala untuk melakukan kejahatan yang sangat luar biasa.

Sebagai menghuraikan jawapan “tidak”, kita perhatikan dahulu hadith-hadith berkenaannya.

 

Hadith pertama.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ عَنْ مَعْدَانَ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَرَأَ ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

Terjemahan: “Sesiapa yang membaca 3 ayat pertama surah al-kahf, akan dilindungi daripada fitnah al-masih al-dajjal.” (Al-Tirmidhi,

 

Hadith kedua.

ما أخرجه أحمد، ومسلم، وأبو داود، والترمذي، والنسائي، وغيرهم، عن أبي الدرداء عن النبي صلى الله عليه وسلم وآله وسلم قال: "من حفظ عشر آيات من أول سورة الكهف، عصم من فتنة الدجال

Terjemahan: “Sesiapa menghafaz 10 ayat pertama surah al-kahf, terpelihara daripada fitnah al-dajjal.”

 

Hadith ketiga.

وأخرج أحمد، ومسلم، والنسائي، وابن حبان، عن أبي الدرداء قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من قرأ العشر الأواخر من سورة الكهف، عصم من فتنة الدجال"

Terjemahan: “Sesiapa membaca 10 ayat terakhir surah al-kahf, terpelihara daripada fitnah al-dajjal.”

Berdasarkan ketiga-tiga hadith ini, kita melihat wujudnya percanggahan fakta. Yang mana satu, 3 ayat pertama, atau 10 ayat pertama, atau 10 ayat terakhir?

Kita pernah mendengar, ada seorang ustaz menyatakan, “menghafaz 10 ayat pertama dan selalu membaca 10 ayat terakhir.”

Sebelum kita memberikan jawapan yang telah dikemukakan oleh alim ulama yang memang tersangat memahami kehendak Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam ini, suka kita nyatakan bahawa,

✓ Dajjal bukannya jin yang boleh dihalau dengan jampi ayat al-Quran.

✓ Jika kita hanya menghafaz dan mengharapkan dajjal tidak dapat menakluki kita, kita telah merendahkan tujuan penurunan al-Quran dan merendahkan maksud sabdaan baginda salla Allah ‘alaih wa sallam.

✓ Berapa ramai orang yang menghafaz al-Quran atau menghafaz surah al-Kahf, atau menghafaz 10 ayat pertama al-kahf namun tetap terpedaya dengan fitnah kehidupan dunia.

✓ Fitnah dajjal bermaksud, tipu daya dajjal supaya akhirnya kita melupakan Tuhan dan meninggalkan ajaran Islam. Malah, mengangkatnya sebagai sembahan yang baru.

 

Kita persilakan kepada semua untuk meneliti tulisan-tulisan kita sebelum ini berkenaan bagaimana surah al-mulk berfungsi sebagai pemberi syafaat. Adakah sekadar membaca atau memahami dan mempraktikkan?

 

Sekarang, kita lihat kupasan ahli ilmu yang telah membuat kajian terhadap hadith-hadith surah al-kahf ini.

 

*Pertama, al-Nawawi*

قِيلَ سَبَبُ ذَلِكَ مَا فِي أَوَّلِهَا مِنَ الْعَجَائِبِ وَالْآيَاتِ فَمَنْ تَدَبَّرَهَا لَمْ يَفْتَتِنْ بِالدَّجَّالِ وَكَذَا فِي آخِرِهَا قَوْلُهُ تَعَالَى : أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا

Terjemahan: “Dikatakan sebabnya (al-kahf sebagai benteng) ialah kerana ayat-ayat awal -surah al-kahf- membentangkan perkara-perkara ajaib dan petanda-petanda kebesaran Tuhan. MAKA SESIAPA YANG MENTADABBURNYA, tidak akan terfitnah oleh dajjal. Begitulah dengan akhir surah ini. Firman Allah Taala, [Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa tindakan mereka mengambil hamba-hamba-Ku sebagai penolong selain Allah dapat menyelamatkan mereka?].”

Bermakna, untuk selamat, kita mesti tadabbur. Tadabbur bererti, membaca, memahami, menghayati, mempraktikkan dalam kehidupan, dan yang lebih tinggi ialah menghasilkan produktiviti. Jangan mengambil dajjal sebagai penolong atau pemimpin.

 

*Al-Suyuti* menukilkan panjang kupasan al-Qurtubi. Sila perhatikan.

قَالَ الْقُرْطُبِيُّ : اخْتَلَفَ الْمُتَأَوِّلُونَ فِي سَبَبِ ذَلِكَ فَقِيلَ لِمَا فِي قِصَّةِ أَصْحَابِ الْكَهْفِ مِنَ الْعَجَائِبِ وَالْآيَاتِ فَمَنْ وَقَفَ عَلَيْهَا لَمْ يَسْتَغْرِبْ أَمْرَ الدَّجَّالِ وَلَمْ يُهِلْهُ ذَلِكَ فَلَمْ يَفْتَتِنْ بِهِ وَقِيلَ لِقَوْلِهِ تَعَالَى : لِيُنْذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِنْ لَدُنْه تَمَسُّكًا بِتَخْصِيصِ الْبَأْسِ بِالشِّدَّةِ وَاللَّدُنِيَّةِ وَهُوَ مُنَاسِبٌ لِمَا يَكُونُ مِنَ الدَّجَّالِ مِنْ دَعْوَى الْإِلَهِيَّةِ وَاسْتِيلَائِهِ وَعِظَمِ فِتْنَتِهِ ، وَلِذَلِكَ عَظَّمَ ـ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ـ أَمْرَهُ وَحَذَر مِنْهُ وَتَعَوَّذَ مِنْ فِتْنَتِهِ ، فَيَكُونُ مَعْنَى الْحَدِيثِ أَنَّ مَنْ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَاتِ وَتَدَبَّرَهَا وَوَقَفَ عَلَى مَعْنَاهَا حَذِرَهُ فَأَمِنَ مِنْهُ ، وَقِيلَ ذَلِكَ مِنْ خَصَائِصِ هَذِهِ السُّورَةِ كُلِّهَا فَقَدْ رُوِيَ : مَنْ حَفِظَ سُورَةَ الْكَهْفِ ثُمَّ أَدْرَكَهُ الدَّجَّالُ لَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ . وَعَلَى هَذَا يَجْتَمِعُ رِوَايَةُ مَنْ رَوَى أَوَّلَ سُورَةِ الْكَهْفِ مَعَ مَنْ رَوَى مِنْ آخِرِهَا وَيَكُونُ ذِكْرُ الْعَشْرِ عَلَى جِهَةِ الِاسْتِدْرَاجِ فِي حِفْظِهَا كُلِّهَا

Terjemahan: “Ahli ta’wil (pengkaji) berbeza pandangan dalam membahaskan sebabnya -bagaimana al-kahf membentengi daripada dajjal-.

(a) Ada pendapat mengatakan kerana ayat itu memperihalkan kisah Ashab al-Kahf yang mengandungi perkara-perkara ajaib dan petanda-petanda kebesaran Tuhan. Sesiapa yang mencurahkan perhatian untuk memahaminya, tidak akan terpedaya dengan fitnah al-dajjal.

(b) Ada pendapat mengatakan hal ini didasarkan kepada firman Allah Taala yang bermaksud [(Al-Quran berfungsi) memberikan peringatan dengan azab yang teramat berat daripada sisi-Nya]. Dengan berpegang pada ayat kedahsyatan azab daripada sisi Tuhan, dilihat sesuai -sebagai peringatan daripada terpedaya- dengan dajjal yang mengaku sebagai tuhan, penguasaannya dan kedahsyatan fitnahnya. Justeru, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam menganggap isu dajjal sebagai isu yang teramat besar, baginda meminta kita berhati-hati dan berlindung daripada fitnahnya. Ini bermakna, sesiapa yang membaca ayat-ayat ini, mentadabburnya, dan memahami maksud-maksudnya, akan terpelihara daripada fitnahnya.

(c) Ada pendapat mengatakan ini adalah keistimewaan untuk KESELURUHAN SURAH ini. Ada riwayat berbunyi, [Sesiapa menghafaz surah al-kahf, kemudian bertemu dengan dajjal, tidak akan terpedaya dengan fitnahnya].

Sehubungan itu -menerusi pendapat ketiga-, kita gabungkan hadith menyatakan 10 ayat pertama dengan 10 ayat terakhir, bahawa maksud nabi ialah, -kita memahami- 10 ayat pertama sehinggalah tamat surah tersebut.” (Mirqah al-Su‘ud)

Bukan hanya 3 ayat pertama, atau 10 ayat pertama, atau bukan hanya 10 ayat terakhir, tetapi kesemua surah.

Bukan sekadar membaca, malah tadabbur. Sesungguhnya kita berdepan dengan fitnah keduniaan dajjal bukannya “jin yang ingin merasuk.”

 

*Rumusan*

1- Kita tidak akan selamat daripada dajjal dengan sekadar menghafaz 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-kahf.

2- Kita akan selamat apabila kita mentadabbur; membaca, memahami, menghayati, dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan surah al-kahf.

3- Memahami kuasa Allah Taala menghidupkan semua Ashab al-Kahf yang tertidur 309 tahun, membuatkan kita tidak hairan dengan dajjal yang menghidupkan orang mati.

Memahami kisah perjuangan Khadir ‘alaih al-salam; memperjuangkan nasib orang miskin, menegakkan undang-undang Allah Taala dan membela nasib anak yatim, memberikan inspirasi kepada kita untuk membentuk sistem yang lebih baik berbanding sistem yang diperkenalkan oleh dajjal.

Menghayati perjuangan Zulqarnain membawa Islam ke merata dunia sehingga mengurung Ya’juj Ma’juj, membuatkan kita bersemangat mempertahankan Islam dan mengurung dajjal.

4- Tadabbur tertinggi bukan bererti membaca dan menitiskan air mata keinsafan. Bukan. Tetapi, maksud tadabbur tertinggi atau puncak tadabbur ialah kita berjaya menghasilkan produk atau sistem kenegaraan menerusi penghayatan surah al-kahf yang akhirnya berfungsi sebagai benteng daripada fitnah al-dajjal.

Percayalah, dajjal tidak pernah takutkan orang yang menghafaz surah al-kahf, atau menghafaz keseluruhan al-Quran sekalipun.

 

 

Rujukan utama:
Tuhfah al-Ahwadhi oleh al-Mubarakfuri.

Ditulis pada 11 September 2019 bersamaan 11 Muharram 1441 pada jam 2.12 petang di Putra Height.

Kheir.

 

Kredit: https://www.facebook.com/DzulkhairiNoor/posts/110103850375420?__tn__=K-R

 

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA