Tujuh sikap masyarakat zaman Maryam yang perlu dijauhi



Tujuh sikap masyarakat zaman Maryam yang perlu dijauhi

 

 

Persoalan: Pada zaman sekarang, terlalu banyak berita palsu disebarkan. Adakah al-Quran memberikan apa-apa makluman kepada kita berkenaan perkara ini?

 

 

*Penjelasan*
Pastilah segala maklumat ada dinyatakan di dalam al-Quran. Cuma, bagaimana kita memahami dan menerapkan kefahaman tersebut.

 

Kita mempersilakan teman-teman untuk meneliti semula tulisan kita berkenaan kaedah Nabi ‘Isa ‘alaih al-salam dalam menguruskan isu-isu yang berlaku.

 

Kali ini, untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan, kita akan berikan jawapan berdasarkan kisah bonda baginda, Maryam al-Muqaddasah ‘alaiha al-salam. Hal ini dinyatakan oleh Allah Taala di dalam surah Maryam ayat 27-29.

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ قَالُوا يَا مَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا

يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا

Ayat-ayat ini memperihalkan tujuh sikap buruk masyarakat pada masa tersebut.

Sikap satu: Menuduh-fitnah tanpa usul periksa. Ayat al-Quran berbunyi [لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا] maksudnya, “Kamu telah melakukan sesuatu yang amat buruk.”

 

Sikap dua: Mereka langsung tidak mahu bertanya terlebih dahulu. Atau, mereka langsung tidak mahu menyiasat mencari kebenaran.

 

Sikap tiga: Mereka bukan tidak memahami bahawa Maryam masih “berpantang”, namun mereka terus-menerus menyerang Maryam tanpa memberikan peluang untuk menarik nafas dan bertenang.

Ini menunjukkan mereka adalah masyarakat yang langsung tiada budi dan sifar kemanusiaan.

 

Sikap empat: Mereka menggunakan bahasa menyindir yang sangat sinis. Al-Quran menyatakan, [يَا أُخْتَ هَارُونَ] maksudnya, “Wahai saudara Harun.” Harun merujuk kepada seorang lelaki soleh pada zaman itu.

Untuk lebih menyakitkan hati Maryam -walhal mereka menyedari kesucian Maryam-, mereka kaitkan Maryam dengan seorang yang soleh dan dalam masa yang sama, menuduh beliau bukan-bukan.

 

Sikap lima: Mereka bukan sekadar memburukkan Maryam, malah mengheret sekali ibu bapa Maryam. Ini dapat difahami melalui ayat [يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا] maksudnya, ”Wahai saudara Harun, bapa kamu tidak pernah berbuat buruk dan ibu kamu tidak pernah melacurkan diri.”

Semua ini tidak lain dan tidak bukan, bertujuan menyakiti hati Maryam dan seluruh keluarga beliau.

Mencela dalam keadaan memuji.

 

Sikap enam: Mereka menggunakan perkataan yang kotor tanpa bertapis. Iaitu perkataan [بَغِيًّا] yang bermaksud “melacurkan diri.” Perkataan sebegini pastilah akan menyakiti hati seorang yang berhati lembut seperti Maryam.

 

Sikap tujuh: Setelah Maryam meminta mereka bertanya sendiri kepada anak beliau, mereka menimbulkan persoalan bukannya mencari solusi. Allah Taala menyatakan, [قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا] maksudnya, “Mereka berkata, bagaimana kami boleh berbicara dengan orang yang berada di dalam buaian?”

Kita dapat merasakan semacam wujud dendam yang lama dalam diri masyarakat Yahudi (orang kampung Maryam) terhadap keluarga beliau.

Keluarga ‘Imran dan Nabi Zakariyya ‘alaih al-salam adalah keluarga yang terkenal soleh dan berkepimpinan. Semacam kedudukan mereka dicemburui.

Ketujuh-tujuh sikap buruk negatif ini diwarisi oleh sebahagian kita pada masa sekarang. Keamanan yang kita kecapi dirosakkan dengan berita-berita fitnah yang muncul saban masa. Kita doakan agar Allah Taala memelihara kita.

Ditulis pada 17 September 2019 bersamaan 17 Muharram 1441 pada jam 3.20 petang di rumah Seksyen 19, Shah Alam.

Kheir.

 

 

Kredit: https://www.facebook.com/DzulkhairiNoor/posts/119457729440032?__tn__=K-R

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA