Jangan Jadi Orang Sombong


Karya Bestari | 27-09-2019

Sombong, bongkak dan angkuh adalah salah satu sifat mazmumah. Ia sememangnya tidak digalakkan diamalkan di dalam Islam. Orang yang memiliki sifat sombong ini akan membesarkan dirinya sendiri dengan berkelakuan angkuh dan bongkak.

Orang yang sombong juga akan suka memandang dirinya lebih mulia berbanding orang lain. Sekiranya dia memiliki pangkat besar, dia akan memandang orang yang rendah pangkat daripadanya dengan pandangan menjengkelkan. Malah, ada yang sampai menghina orang yang berada di bawahnya.

Sifat sombong ini tidak membawa sebarang faedah. Malah ia hanya akan membawa kebencian Allah SWT dan manusia itu sendiri. Namun, kadang-kadang ia boleh membawa kepada isu yang lebih parah apabila kesombongan itu menjadikan individu berkenaan enggan tunduk kepada kebenaran.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’, ayat 37 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan lagak sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

Ini ingatan Allah SWT kepada orang yang sombong. Benar, apalah yang ada pada kesombongan itu. Kita tidak akan pernah dapat menembusi bumi dan tidak pula dapat membawa kita terjulang setinggi gunung. Bermakna, sombong tidak mempunyai nilai apa-apa kepada kita.

Apa yang ada pada sombong?

Sombong kepada sesama manusia, bukan hanya menjadikan hubungan renggang. Malah ia menghadirkan kebencian dan kemarahan di kalangan manusia itu sendiri. Bukan simpati atau sokongan yang diraih, tetapi meluat pula jadinya.

Kalau kita jadi orang sombong, tiada sesiapa yang akan suka akan kita. Hairan bukan melihat orang yang sombong ini. Bukankah kalau kita sombong, kepala kita tidak akan sampai ke langit. Kalau kita sombong, kaki kita juga tidak akan boleh terbenam di dalam tanah.

Apakah sebabnya kita ingin sombong? Darah kita tetap sama dengan darah orang lain. Kita ni cantik, sebab apa? Nombor satu adalah sebab adanya pakaian. Pakaianlah yang menjadikan diri kita kelihatan cantik. Cuba kita buka pakaian masing-masing, apakah masih kelihatan cantik?

Kedua, kita cantik kerana kulit yang dimiliki. Cuba bayangkan bagaimana diri kita dengan tiada pakaian dan tidak memiliki kulit. Apa yang ada hanyalah daging dan darah sahaja. Kalau daging tiada, yang tinggal hanyalah rangka sahaja. Maka, apakah sebabnya kita mahu sombong?

Maka, apakah yang ada pada kesombongan? Tiada apa yang melebihkan kita berbanding orang lain untuk menjadikan kita ini sombong. Kalau kita rasa bahawa kitalah yang paling kaya, ingatlah ada lagi orang yang jauh lebih kaya berbanding kita. Kalau kita rasa kita ini seorang yang dikenali, sebenarnya ramai lagi yang lebih terkenal berbanding kita.

Manusia adalah daif untuk sombong

Kita ini hanyalah daif dan lemah. Sebagai manusia, kita tidak mempunyai apa-apa sebenarnya. Bahkan sememangnya kita dijadikan sebagai lemah. Maka, tidakkah kita hairan sekiranya pada diri kita mempunyai sifat sombong. Apakah kerana berasakan diri mempunyai kelebihan berbanding orang lain maka kita berasa layak untuk sombong?

Kalau kita memiliki kereta mewah, jangan berasa sombong. Semahal-mahal kereta kita, sekiranya pancit atau kehabisan minyak di pertengahan jalan, tetap akan tersadai juga. Orang yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, semahal mana pun ia, apabila hujan, tetap juga perlu berteduh di bawah jambatan. Melainkan kereta dan motosikal kita itu boleh terbang, memang patutlah kita berasa sombong. Ini tidak, tetap juga ada kelemahan masing-masing.

Orang yang berbangga dengan keturunan masing-masing samada keturunan ratu cantik atau sebagainya, di tanah perkuburan jugalah kubur kita. Tetap dikebumikan, ditanam dan dimakan ulat juga. Maka, apakah sebabnya kita hendak berbangga dengan keturunan kita berdarah ratu berkenaan?

Kalau kita berasa sombong hanya kerana kita ini adalah berasal daripada golongan kaya raya, kita tetap memakan nasi sepinggan juga. Apa bezanya jumlah makan kita dengan orang miskin? Maka, apakah sebabnya kita mahu berasa sombong?

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });