Salahkah Ibu Bapa Pilih Kasih? Melebihkan Anak Tertentu Berbanding Yang lain...


Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah | 20-09-2019

SOALAN: Bagaimana kita nak jaga hubungan sesama adik-beradik, bila wujud situasi di mana ibu bapa mempamerkan sikap pilih kasih? Contohnya mereka melebihkan anak yang tertentu berbanding adik-beradik yang lain.

 

Jawapan

Kasih sayang adalah suatu fitrah yang kadang-kadang kita tidak mampu mengawalnya. Ibu bapa sayang kepada semua anak mereka. Cuma apabila mereka ada melebihkan seseorang, bukan bermaksud anak yang lain mereka tidak sayang.
Dalam rumah tangga Nabi SAW pun, ada isteri tertentu yang Baginda paling sayang. Adakah bermaksud Nabi SAW tidak adil? Sudah tentu tidak.

Konflik akan timbul apabila kita tidak faham mengapa ibu bapa kita melebihkan adik-beradik yang lain. Secara luaran memang nampak ibu bapa pilih kasih. Kita akan rasa kecil hati. Tetapi adakah kita pernah bertanya kepada ibu bapa kita, apa sebabnya mereka melebihkan adik-beradik yang lain? Itulah kesilapan kita. Kita tidak tanya dan tidak cuba untuk memahami.

Ibu bapa ada alasannya tersendiri. Contohnya saya merupakan anak kedua dan anak lelaki pertama. Mak ayah saya memang melebihkan saya. Tetapi saya perhati dan perasan bahawa antara lapan orang adik-beradik saya yang perempuan, mak saya melebihkan yang seorang ni. Saya tanya kepada mak saya kenapa mak melebihkannya.

Lalu mak saya jawab, “Dulu kau tak tahu, dia ni masa kecil bertarung nyawa sebab sakit. Mak ingat sangat sebab dia sakit hampir nak meninggal dunia. Sebab itu mak seperti melebihkan dia…”

Tidak ada ibu atau bapa yang melebihkan seseorang tanpa sebab. Bukan sengaja atau sesuka hati untuk pilih kasih. Perkara tersebut adalah normal selagi tidak melampaui batas dan menzalimi anak yang lain. Oleh itu, kita sebagai anak kena cuba memahami dan bersangka baik kepada ibu bapa kita.

Seperkara lagi yang penting, ibu bapa tidak pernah berhutang dengan anak-anak. Malah, anak-anaklah yang berhutang dengan ibu bapa.

Jadi, balaslah segala jasa mereka sebaik mungkin. Jangan sampai disebabkan perkara yang kecil, kita derhaka kepada mereka dan memutuskan hubungan silaturahim antara adik-beradik. Firman Allah SWT:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: 14)
 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });