Apakah cara yang betul dalam mendidik anak mengikut peringkat umur mereka?


Didik anak mestilah mengikut umurnya. Ini kerana psikologi aras kematangan dan fikiran seseorang berbeza bergantung kepada usianya. Termasuklah berbeza dari segi jasmani, emosi dan rohani.

Anak yang berusia tujuh tahun ke bawah, hendaklah dididik dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh. Jangan merotan atau terlalu tegas ketika peringkat umur sebegini. Contohnya, menengking atau memarahi anak yang tidak siapkan kerja rumah, sedangkan mereka baru berusia bawah enam tahun. Cara yang berlemah-lembut pada waktu itu adalah lebih berkesan.

Manakala anak yang berusia 7-14 tahun, ibu bapa sudah boleh memasukkan elemen ketegasan. Ajar mereka untuk menjadi orang yang bertanggungjawab, berdisiplin dan mematuhi peraturan. Ibu bapa sudah boleh menghukum anak-anak (dengan hukuman ringan) sekiranya mereka melakukan kesalahan dalam peringkat umur sebegini. Cuma merotan (tidak keterlaluan) lebih sesuai untuk anak-anak yang berusia 10 tahun ke atas.

Dalam Islam, anak yang berumur 7 tahun sudah boleh diajar cara untuk menunaikan solat. Apabila mereka berumur 10 tahun, ibu bapa diharuskan untuk merotan sekiranya mereka tidak mendirikan solat. Dengan syarat merotan itu tidaklah sehingga mencedera dan memudaratkan. Itupun selepas proses mendidik untuk melatihnya solat dijalankan selama tiga tahun iaitu dari umur 7 hingga 10 tahun.

Tidak wajar juga memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Jangan sesekali memukul di bahagian wajah seperti menampar, menumbuk dan sebagainya. Wajah merupakan tempat yang paling mulia pada tubuh manusia serta tempat ciuman dan kasih sayang. Nabi SAW bersabda:
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الوَجْهَ
“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah daripada (mencederakan) muka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, untuk anak yang berusia 15 tahun ke atas, ibu bapa perlu didik mereka seperti kawan. Macam mana kita tegur kawan, macam itulah kita tegur anak kita. Dengar dahulu apa yang ingin mereka sampaikan serta saling berkongsi, memujuk dan jangan terlalu memarahi mereka.

Dalam usia sebegini, mereka mudah untuk rasa memberontak apabila mendapat teguran yang kasar seperti ditengking dan sebagainya.

Apabila mereka sudah mencapai usia 21 tahun ke atas, berikanlah sedikit kebebasan kepada mereka untuk membuat keputusan. Jangan terlalu mengongkong sehingga boleh membantutkan aktiviti dan mengganggu perasaan mereka.
Boleh beri nasihat yang baik kepada mereka dan berdoalah untuk mereka. Doa ibu bapa itu sangat mustajab, bahkan kata-kata ibu bapa pun boleh jadi satu doa buat anak-anak.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang tua, doa orang yang berpergian (musafir) dan doa orang yang dizalimi.” (HR Abu Dawud)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });