Stigma & Diskriminasi - Itulah Pembunuhnya


Sofian Resali | 21-08-2019

Pernahkah anda berdepan dengan pesakit yang menghidap HIV AIDS? Bagaimanakah reaksi anda? Apakah menjauhi dan mengelakkan diri daripada mereka? Atau menyantuni mereka seadanya?

 

Tiada fakta tepat. Namun kebiasaannya, ramai yang secara tidak sengaja mengambil pendekatan pertama di atas. Ya, menjauhi dan mengelak daripada mereka. Tetapi, semuanya dilakukan tanpa sebab yang jelas.

 

Ya, kebanyakan orang mempunyai kebimbangan terhadap kebarangkalian penyakit berkenaan akan berjangkit kepada mereka. Oleh sebab itulah ramai yang cuba mengelak daripada bersalaman atau bersentuhan dengan pesakit tersebut.

 

Andai dihulur tangan, ramai yang cuba menepis. Malahan tidak mahu langsung bersentuhan kulit. Bimbang penyakit itu menular pula kepada kita. Kebimbangan inilah yang dipanggil stigma. Benar, stigma yang akhirnya mewujudkan diskriminasi.

 

Kewujudan stigma ini disebabkan kebanyakan orang tidak diberi pengetahuan mengenai letak duduk perkara sebenar. Mereka hanya mengambil kira logik akal semata-mata dan menurut sangkaan. Akhirnya, stigma akan terus kekal sebagai stigma.

 

Sekadar penerangan ringkas, jangkitan HIV AIDS sebenarnya hanya boleh berjangkit melalui tiga cara sahaja iaitu:

 

i - Perkongsian jarum atau bahan-bahan suntikan dengan orang yang dijangkiti.

ii - Perhubungan seks tidak selamat dengan mereka yang positif HIV.

iii - Jangkitan daripada ibu kepada anak semasa kehamilan, kelahiran atau menyusu badan jika si ibu HIV positif.

 

Begitulah cara yang sebenarnya jangkitan HIV boleh berjangkit. Ini bermakna jika bersalaman, bersentuhan dan berpelukan dengan pesakit HIV AIDS, tidak pernah membuka risiko kita terkena jangkitan berkenaan. Malah ia juga tidak pernah berjangkit melalui bersin dan batuk.

 

Jadi, mengapa kita perlu mengelak daripada mereka? Malah, menjauhi mereka. Seperti yang dinyatakan tadi, semuanya berpunca daripada stigma. Ia berlaku akibat salah faham mengenai penyakit ini dan ketiadaan pengetahuan yang cukup mengenainya.

 

Lebih malang lagi, stigma boleh menyebabkan berlakunya diskriminasi. Fenomena diskriminasi pula boleh membawa kepada penyisihan. Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Ia tidak terkecuali. Bahkan lebih teruk, turut melibatkan keluarga pesakit itu sendiri.

 

Benar, kesalahan dan dosa silam adalah kesilapan mereka. Namun, siapa kita untuk terus menghukum mereka. Hayat hidup mereka ketika ini barangkali adalah anugerah Allah SWT agar dapat digunakan dengan taubat dan penyesalan bersungguh-sungguh. Jadi, fungsi kita adalah membantu, bukannya menyisihkan mereka.

 

Mereka pula memikul ujian penyakit yang dideritai diri. Namun, mereka juga masih mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Masih ada anak isteri yang perlu diberikan sesuap nasi. Masih ada anak kecil yang memerlukan wang dan kasih sayang.

 

Di sinilah pentingnya kita untuk memahami letak duduk sesuatu perkara tanpa perlu melemparkan sebuah hukuman dan tanpa sebab yang jelas. Bayangkan, ada di kalangan kita yang menjadi mangsa penyakit ini tanpa mereka sendiri pintanya.

 

Seorang wanita yang sentiasa menjaga diri, menjadi mangsa penyakit ini gara-gara ‘perkara sumbang’ suaminya. Si suami yang menerima jangkitan HIV kemudiannya memindahkan kepada si isteri menerusi hubungan kelamin. Akhirnya andai disahkan positif, penyakit itu mempunyai kebarangkalian berjangkit kepada si anak sekiranya berada dalam kandungan.

 

Si suami mungkin adalah pesalahnya. Namun, bagaimana dengan si isteri dan anak? Mereka adalah mangsa keadaan tanpa mereka sendiri memintanya. Di sinilah stigma dan diskriminasi itu perlu dihapuskan. Mengapa?

 

Stigma berpunca daripada tiadanya ilmu mengenai sesuatu perkara yang akhirnya menyebabkan pelbagai tanggapan lahir daripadanya. Lazimnya, tanggapan itu adalah tanggapan yang buruk. Ia bertindak sebagai racun yang menyerang pemikiran seseorang. Contohnya HIV boleh berjangkit melalui bersalam atau bersin.

 

Racun ini boleh bercambah dan meracuni pemikiran orang ramai. Apabila orang ramai mempunyaki stigma seperti ini, maka berlakulah diskriminasi sehingga menjadikan mangsa tersisih daripada masyarakat sekeliling.

 

Benar, stigma dan diskriminasi inilah yang membunuh golongan tersebut. Akibat kedua-dua fenomena itu telah menyebabkan segala pintu pertolongan tertutup bagi mereka. Malah kemungkinan mereka turut dinafikan hak untuk mendapat ruang keinsafan, apabila hukuman penyisihan terus-menerus berlaku.

 

Sebenarnya, masih ramai yang ingin kembali ke pangkal jalan. Menebus cebisan-cebisan kesilapan dengan menunaikan tanggungjawab mereka yang masih berbaki. Namun, janganlah pula kebaikan yang ingin dilakukan, penyisihan pula dihulurkan kepada mereka melalui stigma.

 

Maka, buangkanlah stigma dan diskriminasi terhadap pesakit-pesakit HIV AIDS ini. Berilah mereka ruang dan sokongan untuk kembali membina semula kehidupan ini. Seperti mana kita sendiri yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, begitu juga mereka. Jika kita sendiri memohon diberikan ruang dan peluang, begitulah juga dengan mereka.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });