OH! IBU MERTUAKU


Ustaz Hanafiah Abd Malik | 16-08-2019

Bagi seorang isteri, suami adalah 'king'nya, dan ‘KING’ kepada ‘king’ ialah ibu mertua. Ada berbagai ragam ibu mertua – ada yang baik, ada yang cerewet, ada yang sakit dan sebagainya. Ada juga ibu mertua yang menyayangi menantu melebihi anaknya sendiri.

Namun, ada yang juga yang langsung tidak suka kepada menantu, walaupun pada hakikatnya menantu itu adalah seorang yang baik.

Kita harus ingat bahawa taraf dan penghormatan kita terhadap ibu bapa mertua ini adalah sama seperti ibu bapa kita sendiri. Oleh itu, ibu mertua perlu juga dihormati dan diperlakukan dengan baik. Ada tanggungjawab yang kita perlu laksanakan kepada mereka.

Alhamdulillah, kita masih diberi nikmat untuk hidup, untuk solat, untuk berumahtangga, dan untuk mempunyai ibu mertua. Ibu bapa mertua mempunyai lebih banyak pengalaman daripada kita, jadi belajarlah daripada mereka.

Tidak semua ibu mertua berhati tidak baik, bahkan ramai ibu mertua yang menyayangi menantu melebihi anaknya sendiri. Oleh itu, hormati dan sayangilah mereka seperti menyayangi ibu sendiri.

Ustaz, Adakah perbezaan peranan ibu sebelum dan selepas anaknya berkahwin?

Ibu bapa perempuan akan terlepas tanggungjawab terhadap anak perempuan setelah anaknya diijab kabulkan. Tanggungjawab itu berpindah kepada suami. Oleh sebab itu, perempuan yang sudah berkahwin wajib mentaati suaminya selepas Allah dan Rasul.

Bagi lelaki pula, ibu bapa mertua mempunyai taraf yang sama seperti ibu bapanya sendiri. Oleh itu, anak lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melupakan atau mengabaikan ibu bapa mertua. Setelah anak berkahwin, ibu bapa hanya boleh memberi nasihat.

Tugas kedua ialah menjadi pembimbing. Jika didapati menantu perempuan tidak pandai memasak, ibu mertua perlu ambil inisiatif untuk mengajar menantunya memasak. Sebaliknya apa yang berlaku sekrang, mertua lebih rela menyimpan rasa sakit hati dan mengata menantunya di belakang. Sepatutnya ibu mertua mengajar menantu segala perkara yang digemari oleh anaknya, barulah memenuhi standard yang disukai ibu mertua. Jika menantu itu lelaki, lebih elok ayah mertua yang menegur jika ada kekurangan.

 

Benarkah Ibu Mertua Selalunya Jahat?

Sebenarnya kita terlalu banyak terpengaruh dengan adegan filem 'Ibu Mertuaku', karya allahyarham P. Ramlee.

Sebenarnya ada ramai ibu mertua yang baik.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT telah berfirman,

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى

“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengajarkan bagaimana seorang muslim harus huznuzhon (bersangka baik) pada Allah dan memiliki sikap raja‘ (berharap) pada-Nya

Oleh itu, kita perlu bersangka baik dengan ibu mertua. Gunakan teknologi untuk merapatkan hubungan dengan ibu mertua dengan selalu menelefon, bawa cucunya pulang ke kampung. Wujudkan perasaan kasih sayang, bukan perasaan takut kepada ibu mertua.

 

 

Bolehkah Ibu Bapa Masuk Campur Dalam Urusan Rumah Tangga Anak-Anak?

Tidak boleh!

Isteri merupakan pemimpin rumah suami, jadi ibu mertua tidak boleh masuk campur. Contohnya komen kononnya sofa/langsir tidak kena warnanya.

Statistik di Malaysia menunjukkan 77 pasangan Islam bercerai setiap hari, dan salah satu sebab utamanya ialah campur tangan ibu mertua dalam perkahwinan. Biarkan anak berdikari dan membuat keputusan mereka sendiri.

Bagaimana Untuk Memikat Hati Ibu Mertua?

Masa berkenalan dengan ibunya, jangan biar ibunya buat air, tetapi buat air bersama ibunya sekali. Mesra dengan adik-beradiknya. Ringankan tulang untuk sentiasa membantu kerana ibu mertua akan mudah sayang pada menantu yang rajin.

 

Bagaimana Cara Menghadapi Ibu Mertua Yang Cerewet?

Punca cerewet adalah kerana dia tidak yakin menantu boleh menjaga anaknya sepertimana dia menjaga anaknya. Cara mudah adalah menantu perlu berkawan baik dengan ibu mertuanya – selalu tanya resipi dan belajar cara ibu melayan anaknya. Ceritakan pada ibu mertua yang suami selalu memuji masakannya. Telefon ibu mertua dengan kerap untuk merapatkan hubungan.

Walaupun anaknya telah kita miliki, ibunya perlu juga kita miliki hatinya. Janganlah bila hari raya baru dengar khabar. Bila balik rumah mertua, jangan duduk di dalam bilik saja. Bawalah balik majalah agama yang baik-baik yang menyentuh isu hubungan mertua dan menantu.

Satu lagi yang saya perhatikan ialah ibu mertua yang cerewet ini suka berjalan, jadi bawalah dia untuk berjalan bersama. InsyaAllah akan tertambat hatinya. Jika masih cerewet juga, amalkan doa,

“Allahumma yassir walatu'assir, wa at mim bil khair”

 “Ya Allah mudahkanlah urusanku, jangan Kau susahkan, dan akhirkanlah dengan penuh kebaikan.”

Selain itu, boleh amalkan doa ini,

“Ya Allah, lembutkan hati ibu mertuaku sebagaimana Engkau melembutkan besi kepada Nabi Daud.”

Pelajari apa yang ibu mertua minat dan bawalah hadiah yang diminati ibu mertua itu. Jangan sekali-kali marah suami di depan ibu mertua, kerana ibu mertua akan simpan dalam hati, walaupun suami kita tidak terasa.

Selalulah menziarahi ibu mertua kerana Allah, kerana dengan itu malaikat akan turun dan membawa rahmat dan memudahkan kasih sayang antara mertua dan menantu. Janganlah asyik duduk depan televisyen jika balik kampung sekali-sekala.

 

Kenapa Ada Ibu Mertua Yang Suka Menyakiti Menantu, Terutamanya Menantu Perempuan?

Biasanya, mungkin kerana dari awal lagi, ibunya sudah tidak berkenan kerana beberapa sebab seperti rupa, pendidikan, jarak umur. Perasaan tidak puas hati inilah yang terbawa-bawa.

Kedua, mungkin sebab menantu itu sendiri yang tidak pandai mengambil hati mertua dan tidak menjaga suaminya dengan baik.

 

Benarkah Ibu Mertua Dan Ibu Sendiri Sama Tarafnya Dalam Islam?

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Antara dosa-dosa besar adalah seorang anak yang menghina kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya: Apakah ada orang yang mencela ibu bapanya sendiri? Baginda bersabda: Ya, apabila seseorang menghina ayah orang lain maka sama seperti dia menghina ayahnya sendiri. Dan seseorang yang menghina ibu orang lain sama seperti dia menghina ibunya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, daripada hadis ini disimpulkan bahawa ibu bapa mertua, ibu bapa angkat, ibu susuan, semuanya mempunyai taraf yang sama seperti ibu bapa kandung.

 

Kadang-Kadang Ibu Mertua Baik, Tetapi Ipar-Duai Yang Masuk Campur Sehingga Mertua Jadi Tidak Suka. Mohon Ulasan Ustaz.

Tidak elok buat cerita untuk menghasut mertua membenci menantu. Suatu hari, seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia selalu berbuat baik kepada keluarganya namun mereka membalasnya dengan keburukan. Lalu Nabi SAW mengatakan jika mereka berbuat kejahatan, pintu neraka akan di buka kepada mereka. Jika lelaki itu bersabar atas perbuatan jahat itu, Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

 

Ramai Menantu Yang Menjaga Ibu Mertua Yang Sakit, Tetapi Ibu Mertua Cerewet Dan Buat Cerita Tidak Baik Kepada Ipar-Duainya. Bagaimana Untuk Menyelesaikan Masalah Ini?

Memang banyak cabaran menjaga orang tua yang sakit. Tambahan pula jika ibu mertua cerewet dan adik-beradik lain tidak membantu. Jika ingin menjaga ibu sendiri, isteri perlu mendapatkan izin daripada suami terlebih dahulu.

Amalkan doa, “Allahummaghfirlana walaha” yang bermaksud, “Ya Allah, ampunkan dosaku dan dosanya”. Jika ibu sakit terlalu lama (mungkin kerana saka dan seumpamanya), boleh amalkan doa ini dan dibaca 1000 kali, moga-moga dipermudahkan ajalnya.

Di samping itu, selalu berdoa agar diri kita sendiri menyusahkan orang ketika tua nanti. Amalkan bacaan surah Al-Ikhlas dalam menjaga ibu bapa atau ibu bapa mertua yang sakit.

Ada satu kisah di mana seorang lelaki yang menjaga ibu bapanya yang sakit dengan bersungguh-sungguh. Apabila pemuda itu bertanya adakah dia sudah membalas jasa ibu bapanya? Jawab Nabi SAW tidak, kerana ibu bapa menjaga anak ketika kecil dengan harapan anak akan hidup dan bahagia, sedangkan anak menjaga ibu bapa yang sakit dengan harapan ibu bapa lekas meninggal dunia. Oleh itu, ikhlaskan hati ketika menjaga ibu bapa yang sakit, kita buat kerana Allah, bukan kerana manusia.

 

Untuk Isteri: Mertua Lebih Utama Daripada Ibu Bapa Kandung?

Tiada dalil menyatakan sedemikian rupa. Yang banyak ialah keutamaan ibu bapa kandung untuk ditaati si anak.

Bayangkan jika sepasang ibu bapa hanya ada seorang anak perempuan atau semua anaknya perempuan dan mereka sudah berkahwin. Bayangkan jika semua anak perempuannya lebih utamakan mertua berbanding ibu bapa kandung sendiri.

Usah kita mengajar ajaran-ajaran mengarut sebegini.

Suami ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapanya.

Isteri juga ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapanya sendiri.

Ya, kita perlu berlaku ehsan kepada mertua kita.

Akan tetapi menyatakan mertua isteri lebih utama daripada ibu bapa sendiri adalah sesuatu yang tiada asasnya.

 

RENUNGAN…

Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu kandung dan ibu mertua dan bapa  kandung serta bapa mertua. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki terutamanya. Mengabaikan salah seorang daripada mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumahtangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika tanggungjawab ini diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan oleh ibu bapanya sendiri diabaikan oleh suaminya.

Satu persoalan yang perlu difikirkan bersama adalah, adakah derhaka menantu terhadap mentua, sama seperti derhaka anak terhadap ibu bapa sendiri? Adakah syurga di telapak kaki ibu, boleh diaplikasikan dalam konteks syurga di telapak kaki ibu mentua? Sama-sama kita fikirkan.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });