MENGAPA PERLU TUTUP AIB ORANG LAIN YANG MELAKUKAN DOSA?


Ahmad Mustaqim | 15-08-2019

AIB bererti sesuatu kelemahan yang menjatuhkan maruah seseorang. Aib yang dibuka membuatkan seseorang berasa malu kerana kesalahan yang dilakukan. Saya sangat pasti setiap orang pasti mempunyai salah dan dan silap tersendiri. Boleh jadi kita lakukan pada waktu dahulu dalam keadaan jahil. Lalu perkara tersebut telah menjadi pengajaran dan pedoman diri.

Kita sememangnya tidak pernah terlepas daripada perkara ini bukan? Malu sungguh rasa diri. Kalau dihitung dosa kita, adakah ia dapat ditutupi dengan amalan kita yang sedikit itu? Dosa kita pun tidak terhitung, jadi tidak usahlah kita buka aib orang lain.  

Dalam hadith Salim bin Abdullah bin ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, ALLAH akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Kalau kita tutup aib orang lain, jangan risau ALLAH akan tutup serapat-rapatnya aib kita, di dunia mahupun di akhirat. Kalau kita buka aib orang lain, 'jangan risau' juga, ALLAH akan bukakan seluas-luasnya aib kita di akhirat. Umpama wayang pacak, ditayangkan di padang awam untuk tontonan umum. Bayangkan kalau semua orang tahu keburukan kita.

Ya ALLAH, malunya pasti tidak terperi. Kenapa aib orang kita buka sedangkan aib kita, kita tutup? Sebab kita pasti akan berasa malu dan sedih dengan kesalahan sendiri. Orang akan memandang rendah terhadap kita. Pasti perasaan yang sama berlaku pada orang yang kita aibkan.

Menutupi aib itu bukan bererti bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu. Tetapi ia bermaksud tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain. Melainkan kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya hakim atau pemimpin. 

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut keadaan yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. 

Maksiat itu bukan suatu yang perlu dipromosikan. Jika sering dicanang merata tempat, maka ia menjadi suatu kebiasaan. Ada maksiat secara tertutup dan ada juga maksiat secara terbuka. Maksiat secara tertutup perlu ditutup serapatnya. Namun maksiat secara terbuka perlulah digerakkan tindakan dalam mencegahnya.

Benci akan Perbuatan Maksiat, Bukan Pelakunya

Segala maksiat di sekeliling kita perlu dicegah. Kita membenci segala perbuatan maksiat.  Namun, kita tidak membenci orang yang melakukan maksiat apatah lagi melaknat orang berkenaan. Kita perlu menerangkan perbuatan yang dibuat adalah salah dan perlu bertaubat. Ini bertujuan supaya dia bukan sekadar dihukumi, tetapi lebih kepada memahami dan menghayati dan tidak mengulangi.

Rasulullah SAW sendiri apabila berhadapan dengan pembuat dosa, Baginda tidak lekas menghukum. Baginda akan menyoal dengan teliti. Baginda akan memastikan pembuat dosa sedar dengan kesalahan tanpa sebarang alasan lain. Apabila telah cukup syarat, barulah hukuman dilaksanakan. Itupun dilakukan Baginda setelah mencuba sedaya upaya menutup ruang aib yang mana hanya ALLAH yang mengetahuinya.

Dalam sebuah hadith ada menceritakan kisah seorang lelaki yang bernama ‘Abdullah, digelar himar (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Baginda menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. 
Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka Baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata, “Ya ALLAH! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap.” Lantas Rasulullah SAW pun bersabda,
“Jangan kamu semua melaknatinya! Demi ALLAH apa yang aku tahu dia mencintai ALLAH dan Rasul-NYA.” (HR al-Bukhari)

Perundangan Islam diturunkan bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik. Disebabkan itu Islam amat menitikberatkan perlindungan terhadap insan yang mula mencari pintu taubat.

Dalam Islam, keaiban manusia bukan dianggap sesuatu yang perlu diketengahkan. Malah ia ditutup serapat mungkin kerana itu rahmat ALLAH. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun terlepas daripada melakukan kesalahan.

Firman ALLAH,
“... Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang...” (al-Hujuraat: 12)

Ayat ini berisi larangan umum untuk mencari-cari keburukan orang lain, mencakupi pelbagai jenis tajassus. Tajassus bererti mencari-cari kesalahan, mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan yang seumpamanya. Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari-cari aib kaum muslimin. Bererti kita dilarang mencari-cari aib saudara sesama muslim, malah diperintah menutupinya.

Apabila kita melihat keburukan orang lain, lihatlah dulu keburukan kita. Senaraikan satu persatu kejelikan diri kita. Sungguh kita tidak akan mampu menghitung banyaknya dosa yang dibuat. 

Syurga dan neraka adalah hak ALLAH. DIA yang lebih layak menilai hamba-hamba-NYA. Moga ALLAH merahmati dan mengampuni segala dosa dan keaiban kita.
 

BUKU BERKAITAN

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA