Sejarah Takbir Raya yang Kita Laungkan Saban Tahun



اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

********* 3 kali ********

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
Allah Maha Besar sebesar-besarnya

وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا
Dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya

وَسُبْحَانَ اللهُ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً
Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah

وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ
kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya

مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنُ
dengan ikhlas untuk agama (Islam)

وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ
walaupun dibenci oleh golongan kafir

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa

صَدَقَ وَعْدَهُ
yang benar janji-Nya

وَنَصَرَ عَبْدَهُ
dan yang menolong hamba-Nya

وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin)

وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

 

Sejarah Takbir

Takbir raya ada kaitannya dengan sejarah perang khandaq. Perang Khandaq atau Perang Al-Ahzab telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Perang tersebut adalah sejarah penting bagi umat Islam. Ia merupakan titik penentuan kelangsungan Islam.

Di namakan Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh daripada menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah beroleh kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini ada diceritakan dalam al-Qur’an di dalam surah Al-Ahzab.

Perang Khandaq atau Ahzab adalah perang yang mengumpulkan 10,000 orang tentera musyrikin dari sekitar tanah Arab untuk memerangi Madinah. Jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada bilangan penduduk Madinah termasuk kanak-kanak, wanita-wanita dan golongan tua yang anggarannya sekitar 3000 orang Islam.

Setelah bermesyuarat Rasulullah SAW telah bersetuju dengan idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian utara Madinah. Akhirnya tentera musyrikin gagal menyeberangi parit tersebut dan mengalami kekalahan.

Sebaik kemenangan berpihak kepada tentera Islam, Rasulullah SAW bersabda, “Allahuakbar bergembiralah wahai orang-orang muslimin dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah SWT.” Tentera Islam pun melaungkan takbir sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Allah atas bantuan serta kemenangan yang diberikan.

Maka takbir raya yang kita dengari saban tahun ketika menjelang Aidilfitri dan aidiladha adalah takbir yang sama yang dilaungkan oleh tentera Islam dalam perang Khandaq. Jika dihayati bait-bait makna takbir itu sendiri, memang jelas dan nyata kita memuji kebesaran dan keagungan Allah SWT. Di mana takbir yang kita lafazkan itu adalah sebagai lambang kemenangan kita setelah berjaya melalui Ramadan dengan menahan dan mengawal diri daripada pelbagai perkara.

Dalam takbir yang saya yakin telah di hafal oleh ramai orang ini, sekali lagi secara terang dan nyata Allah telah menepati janji-Nya, menolong hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan menghancurkan musuh-Nya bersendirian.

Maka sudah sampai masanya umat Islam harus benar-benar mengambil semangat daripada laungan takbir tersebut. Takbir yang dilafazkan bukan sekadar adat kerana saban tahun kita melaungkannya, tetapi ia mestilah memberi kesan dalam sanubari setiap jiwa Islam. Umat Islam harus menjelmakan kekuatan hasil dari roh takbir itu dalam pelbagai aspek kehidupan seharian. Malah lebih dari itu semangat, keyakinan dan kekuatan yang terjelma dari takbir itu juga, harus di salurkan untuk membantu umat islam sejagat.

Seperti isu Palestin yang tidak pernah bernoktah sehingga hari ini, tanggungjawab kitalah semua untuk memikulnya. Jangan pernah ada istilah jemu, jangan pernah ada rasa putus asa atau mengalah. Umat Islam adalah umat terbaik yang diciptakan-Nya. Kita ada segala sumber dan punyai kekuatan besar andai kita bersatu padu, andai kita seia sekata. Pertolongan Allah akan datang pada bila-bila masa, cuma sengaja Allah mahu melihat sejauh mana ikhtiar, keprihatinan dan tautan hati kita kepada Nya.

Rasa bergantung kepada Allah haruslah tinggi di samping menyertakan segala usaha kita. Mungkin atau memang kita telah banyak berusaha untuk segala perkara selama ini, tetapi hasilnya mungkin tidak seberapa atau langsung gagal hakikatnya, ini kerana mungkin kita tidak buat semua perkara dengan jiwa. Juga kerana kita tidak cukup melakukannya dengan penuh bersemangat, boleh jadi itu penyebabnya.

Jadi ayuh umat Islam semua, kita perkasakan ilmu dan kemahiran, tingkatkan semangat dan jiwa kita, doa jangan diabai, tautan hati dan kebergantungan dengan Allah hendaklah terus, nescaya umat Islam akan jadi umat terhebat di dunia dan kejayaan akan kita genggam dengan segera.

https://ikimfm.my/takbir-kemenangan-bukan-takbir-kesyahduan/


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA