Hidupkan Malam Tanda Orang Bersyukur


Ustaz Elyas Ismail | 06-08-2019

Salah satu perkara yang perlu kita syukuri adalah bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Manakala antara nikmat yang Allah berikan untuk kita adalah nikmat hidup. Melalui kehidupan, kita dapat peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan mengumpulkan bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak.

 

Melalui nikmat hidup juga kita berpeluang untuk mengisi kehidupan ini dengan bertaubat. Lumrah setiap manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kesilapan. Kita tidak terlepas daripada melakukan sebarang dosa. Maka, nikmat kehidupan ini adalah peluang untuk kita bertaubat.

 

Selain daripada kehidupan, antara nikmat yang perlu disyukuri adalah nikmat masa dan waktu. Sebab itu, masa akan menjadi berkat sekiranya kita gunakannya ke arah kebaikan serta keredhaan Allah SWT. Jangan sekali-kali kita mensia-siakan waktu begitu sahaja tanpa sesuatu yang berfaedah..

 

Perlulah kita sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tidak terhitung dan terbanding dengan kehidupan di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 47 yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu, adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.”

 

Maknanya, jika kita hidup di dunia ini selama 63 tahun, usia kita di sisi Allah sebenarnya hanyalah sekitar sejam setengah. Itu jika usia kita 63 tahun. Bagaimana jika usia kita 36 tahun, 6 tahun atau 3 tahun sahaja? Sudah tentu ia semakin singkat dan pendek.

 

Maka, apabila usia kita ini sebenarnya singkat, bagaimana mungkin kita boleh terfikir untuk melakukan maksiat pada-Nya. Adakah masih ada peluang dan ruang untuk mengumpat orang lain, adakah lagi masa untuk memfitnah atau adakah lagi masa untuk melakukan perbuatan mungkar? Sudah tentu tiada.

 

Tetapi mengapa masih ada di kalangan kita yang tetap meneruskan perbuatan-perbuatan yang akhirnya mendatangkan sia-sia? Mengapa masih ada yang tetap kekal dalam perbuatan maksiat? Mengapa masih ada yang tetap melakukan perbuatan jahat?

Antara pesanan ulama yang saya masih ingat adalah antara tanda-tanda Allah SWT tidak mengendahkan seseorang hamba itu adalah hamba itu akan disibukkan dengan melakukan perbuatan-perbuatan lagha atau sia-sia.  Allah SWT itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tetapi apabila ada tanda-tanda ini pada diri kita, awaslah kerana bimbang kita termasuk dalam golongan mereka yang tidak diendahkan-Nya.

 

Maka, apabila kita berpeluang melakukan amal perbuatan baik bersyukurlah. Syukur kerana kita tidak melakukan perbuatan sebaliknya. Syukur juga kerana dalam ramai-ramai kita boleh melakukan perbuatan baik. Sibukkanlah untuk melakukan perbuatan baik agar akhirnya kita tidak berpeluang melakukan perbuatan jahat.

 

Lihatlah mereka yang sibuk melakukan kebaikan. Masa seolah-olah tidak mencukupi untuknya. Siang dia sibuk melakukan kebaikan kepada sesama makhluk. Malam pula dia sibuk melakukan ibadah. Bulan ni dia sibuk mencari ilmu. Bulan depan dia sibuk mengejar amal perbuatan lain. Sentiasa sibuk.

 

Antara waktu yang perlu dimanfaatkan bagi melakukan kebaikan adalah pada waktu malam. Orang yang bersyukur, pasti akan menghidupkan malamnya dengan memperbanyakkan amalan seperti qiamullail. Mereka tidak akan membiarkan malam berlalu begitu sahaja tanpa menghidupkannya.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’, ayat 79 yang bermaksud:

 

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

 

Dalam ayat di atas, jelas kepada kita bahawa Allah SWT tidak menyuruh kita bangun sepanjang malam untuk beribadah. Tetapi bangun sebahagian malam sahaja. Paling afdal adalah untuk kita bangun pada tengah-tengah malam sekitar jam 2.00 pagi atau 3.00 pagi. Tetapi sebagai permulaan kepada mereka yang baru ingin mempraktikkannya boleh laksanakannya kira-kira sejam atau setengah sebelum masuk waktu subuh.

Artikel ini dipetik daripada buku 'Bajet Bagus' karangan Ustaz Elyas Ismail

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });