Usah Bunuh Masa dan Usia


Karya Bestari | 29-07-2019

ALLAH berfirman di dalam surah An-Nisaa’, ayat 114 yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Terlalu banyak nikmat yang telah ALLAH berikan kepada kita. Bahkan tidak akan mampu untuk kita menghitungnya. ALLAH menjadikan dan memberikan sesuatu nikmat itu kepada kita tidak sia-sia. Bahkan ada peranannya, termasuklah nikmat yang ada pada diri kita.

Kita diberi anggota tubuh badan yang sempurna seperti kaki, tangan, mulut, telinga dan sebagainya dengan diikuti nikmat lain juga. Menerusi kaki, kita dapat melangkah. Menerusi tangan, kita dapat menyentuh sesuatu. Telinga yang diberikan, ALLAH kurniakan pula nikmat pendengaran. Nikmat mata yang diberikan, disusuli dengan nikmat penglihatan. Begitu juga dengan lidah, kita mampu bercakap, berkata-kata, berbual dan sebagainya.

Merujuk kepada ayat di atas, ia memberi gambaran bahawa sebarang perbualan adalah dibolehkan dan tidak menjadi masalah asalkan ia kena dengan tempat dan tajuknya. Apatah lagi sekiranya perbualan-perbualan kita itu akhirnya membawa kepada kebaikan dan kebajikan.

Ertinya berbual-bual tidak menjadi perkara terlarang asalkan mempunyai tujuannya. Apa yang ditegah adalah perbualan tidak mempunyai topik dan tidak tahu jenis tajuk. Perbualan seperti ini tidak dianggap sebagai perbualan yang berfaedah, tetapi ia adalah perbualan kosong semata-mata.

Perbualan kosong ditegah dan tidak digalakan kerana ia dianggap sebagai perbuatan yang sia-sia. Selaian itu, perbuatan ini juga dianggap sebagai membunuh masa atau waktu. Sedangkan kita tahu bahawa agama mengajarkan kepada kita bahawa masa adalah sesuatu yang berharga.

Ya, kita kenangkanlah bahawa ketika Allah memberikan kepada kita lidah yang baik, telinga yang tajam, pendengaran yang sihat dan sebagainya, namun kita menghabiskannya dengan benda-benda melakukan perkara yang sia-sia, maka perbuatan itu akan hanya membazirkan masa dan usia.

Perbuatan ini juga tidak hanya memberikan kesan di dunia, bahkan di akhirat kelak, ia akan diminta dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH. Benar, di akhirat kelak, setelah dibangkitkan dari kubur, usia merupakan salah satu perkara yang akan dipersoalkan oleh ALLAH.

Bayangkan, ketika di dunia, kita dianugerahkan ALLAH dengan pelbagai nikmat termasuk usia dan percakapan. Di akhirat kelak, agaknya apa yang akan kita jawab kepada ALLAH andai ketika itu ditanya di mana telah kita habiskan usia itu dan untuk apa? Sedangkan semasa hayatnya, kita banyak membazirkan masa untuk dihabiskan berbual kosong dan bukannya perbuatan baik seperti menuntut ilmu, bercakap tentang kebaikan dan sebagainya.

Sungguh, amat beruntunglah bagi mereka yang mensyukuri nikmat ini. Mereka tidak membazir dan tidak pula menyalahgunakannya ke jalan salah. Tetapi menggunakannya sebaik mungkin. Ada yang menggunakannya untuk menyampaikan kebaikan dan ada pula yang menggunakannya untuk mencegah kemungkaran.

Begitu juga alangkah bahagianya bagi mereka yang bersyukur dengan menggunakannya bagi menuntut dan menyampaikan ilmu. Lebih membahagiakan sekiranya ilmu yang disampaikan itu membawa faedah yang cukup besar serta dimanfaatkan oleh ummah.

Sedangkan, ada juga manusia yang malang. Nikmat yang ada, mereka gunakan ke jalan sebaliknya. Nikmat penglihatan digunakan untuk memandang perkara yang tidak sepatutnya. Nikmat pendengaran pula dihalakan untuk mendengar perkara yang sia-sia. Sedangkan nikmat percakapan, digunakan pula untuk perbualan kosong dan tidak berfaedah sedikit pun.

Islam adalah agama yang sempurna dan indah. Disebabkan itu, Islam malah tidak pernah melarang sebarang perbualan. Bukankah menerusi perbualan juga Islam dapat dikembangkan? Namun, ingat, perbualan di sisi agama ada nilainya tersendiri. Maka, janganlah ia dipandang remeh, apatah lagi diperlekehkan.

Kalau ingin berbual, silakan, boleh. Tapi biarlah perbualan itu kena dengan tajuk dan sesuai dengan apa yang ALLAH anjurkan kepada kita iaitu mengenai sedekah, perbuatan ma’ruf dan perkara-perkara yang membawa perdamaian. Mudah bukan kriteria-kriteria ini?

Apa yang kurangnya dengan anjuran ALLAH ini? Apakah ruginya apabila kita bercakap mengenai sedekah, perbuatan ma’ruf dan perkara-perkara membawa perdamaian?

Berbuallah mengenai perkara ma’ruf dan hendaklah mengenai setiap perkara kebaikan. Banyak isu-isu yang boleh dijadikan topik perbualan. Berbual dan berbincanglah bagaimana untuk mengatasi masalah pengangguran di kampung, masalah-masalah belia, remaja dan sebagainya.

Anjurkankanlah masyarakat agar sentiasa bersedekah. Gunakan lisan kita untuk menyeru kepada perkara-perkara kebaikan dan membawa kepada perdamaianserta pembaharuan dalam masyarakat. Jangan sesekali menggunakannya ke jalan sebaliknya.

*Artikel ini adalah tulisan asal Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi bukunya yang berjudul 'Bicara Ini Demi Ilahi'. 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA