TETAP BER'DATING' WALAUPUN SUDAH BERKAHWIN


Tidak dinafikan dalam seharian, mungkin banyak masa yang suami gunakan di luar rumah kerana bekerja. Begitu juga dengan isteri jika isteri juga bekerja.

Apabila sampai di rumah, masing-masing sudah letih. Isteri terus melakukan kerja-kerja rumah, manakala suami pula ke masjid atau ada urusan lain. Ini menyebabkan masa sangat terbatas untuk suami meluangkan masa berbual-bual dengan isterinya.

Walaupun Rasulullah SAW sibuk dengan tugasan harian di luar, tetapi baginda masih meluangkan masa untuk bersama-sama isterinya. Jika baginda sebagai pemimpin yang sibuk masih ada waktu untuk para isterinya, bagaimana dengan suami-suami pada hari ini? Kesibukan di luar rumah selain mencari nafkah, suami

juga sering menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti lain. Contoh bermain futsal, badminton atau bertemu dengan kawan-kawan. Kadang-kadang ini akan menyebabkan isteri di rumah terpaksa bersendirian bersama-sama anak sedangkan kehadiran suami sangat diperlukan di rumah.

Kadang-kadang apabila suami terlalu sibuk dengan tugasan seharian lalu pulang mungkin telah waktu malam dengan kepenatan, suami terus tidur tanpa mempedulikan isteri dan anak-anak. Pasti hubungan kekeluargaan akan semakin renggang kerana kurangnya masa untuk diluang bersama keluarga.

Duhai para suami... Rasulullah SAW pernah mengingatkan para sahabat supaya jangan terlalu sibuk dengan urusan sendiri. Jangan sesekali mengabaikan

tanggungjawab untuk melayani isteri. Sabda baginda yang bermaksud:

“Wahai Abdullah, (bin ‘Amr bin al-Ash ra), adakah benar yang diceritakan kepadaku, sesungguhnya engkau telah berpuasa sepanjang hari dan bersolat sepanjang malam?” Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: “Benar wahai Rasulullah. Rasulullah lalu bersabda, “Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - HR Bukhari

Berpandukan hadis itu, isteri sebenarnya mempunyai hak untuk suami meluangkan masa bersama walau sibuk sekalipun. Inilah yang dikatakan suami mithali. Sekiranya Rasulullah SAW meminta para suami banyak meluangkan masa untuk isteri, bagaimana pula jika isteri yang sentiasa sibuk dan tiada masa untuk melayan suaminya?

Ini juga satu masalah. Bagi isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, mungkin perkara ini senang sahaja. Tetapi tidak bagi isteri yang sibuk dengan kerjaya. Kadang-kadang kerjaya itu lebih penting daripada suaminya. Justeru, suami harus memahami tugas isteri.

Menurut Islam, menjaga, mendidik anak, mengurus rumah tangga, bekerja dan melayan suami merupakan tugas besar yang wajib dilaksanakan isteri biarpun sibuk. Namun sebagai suami, kalian seharusnya bersyukur kerana isteri tetap berusaha melaksanakan tanggungjawabnya, melainkan jika isteri mengabaikan urusan rumah tangga.

Apabila isteri mengabaikan tanggungjawabnya, wajib bagi suami untuk mengingatkan isterinya. Ingatlah redha bergantung kepada redha suami kepada isterinya. Jika suami tidak redha dengan apa yang isteri lakukan, sudah tentulah ALLAH SWT tidak meredhainya.

Meskipun sibuk dengan kerjaya, suami wajar menghargai usaha isteri dalam melaksanakan semua tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Tidak salah bagi seorang suami membantu tugas isteri di rumah seperti menjaga anak, memasak atau mengemas rumah. Dengan membantu isteri, ikatan cinta isteri terhadap suami akan bertambah kukuh. Selain itu, suami akan dapat merasai sendiri bagaimana susahnya menjaga anak, mengurus rumah tangga di samping mempunyai kerjaya.

Dalam masa yang sama, suami sebenarnya memberi ruang untuk isteri mengurus diri sendiri dan sentiasa menjaga penampilannya. Apabila suami menjadi model kepada anak-anak membantu isteri menguruskan rumah tangga, anak-anak pula akan mencontohi kedua-dua ibu bapanya apabila diminta bantuan.

Kesimpulannya, walaupun isteri kadang-kadang sibuk dengan kerjaya dan masih meluangkan masa menunaikan tanggungjawabnya, suami juga perlu sedemikian. Sesibuk mana pun mencari rezeki di luar, suami perlu luangkan masa untuk isteri dan anak-anak. Rasulullah SAW yang lebih sibuk daripada kita pun masih mampu meluangkan masa untuk isteri dan anak-anak baginda.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });