Kisah Nabi Luth: Ambillah Iktibar


Pejabat Mufti Kuala Lumpur | 17-07-2019

Nabi Luth AS dan Kaumnya

Nabi Luth AS merupakan putera dari Haran bin Tarah (هَارَان بن تَارَح). Beliau adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS. Dengan demikian, Ibrahim dan Haran adalah bersaudara. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 307) Nabi Luth beriman dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh bapa saudaranya Ibrahim. Berkenaan perkara ini, Allah SWT berfirman:

فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

MaksudnyaSetelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Surah al-Ankabut (26)

Beliau beriman kepada Nabi Ibrahim AS dan mendapat petunjuk melalui perantaranya, lalu Allah SWT mengutusnya untuk berdakwah kepada penduduk Sadum yang pada saat itu merupakan sebuah kampung di Jordan. (Lihat Dakwatu Tauhidoleh Muhammad Khalil Haras, hlm. 137)

Para pakar sejarah menyebut bahawa kaum Nabi Luth AS adalah kaum besar yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim AS. Mereka menetap di sebuah kampung yang bernama Sadum. Ia merupakan kampung terbesar daripada penempatan kaum Nabi Luth berbanding empat kampung yang lain iaitu Shan'a, Shu'ud, Atsrah, dan Duma. (Lihat Jami' al-Bayan fi Tafsir al-Qur'an, 7/98)

 

Maksiat Kaum Nabi Luth AS

Antara maksiat yang mereka lakukan ialah perbuatan syirik kepada Allah SWT serta mereka disebut sebagai pelaku pertama perlakuan homoseksual di kalangan lelaki mahupun wanita. Ini sepertimana disebut oleh Imam al-Qurtubi yang menukilkan riwayat daripada Ibn Abbas R.A berkenaan maksiat-maksiat yang mereka lakukan. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 13/257)

Mereka juga adalah kaum yang banyak melakukan perbuatan keji, menyamun orang-orang yang dalam perjalanan ke kampung mereka serta mempermain-mainkan mereka. (Lihat Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 1/295)

Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/203) menyebut: “Mereka melakukan dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari bani Adam, iaitu seorang lelaki menggauli lelaki dan enggan berkahwin dengan wanita yang Allah jadikan untuk orang-orang soleh.”

Allah SWT menjadikan kisah binasanya kaum Luth akibat perbuatan keji mereka sebagai pengajaran bagi seluruh manusia. Allah SWT menyebutkan kisah mereka dalam beberapa tempat dalam al-Qur'an. Selain dalam Surah al-Ankabut di atas, Allah SWT berfirman dalam surat al-A'raf:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

MaksudnyaDan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah al-A'raf (80-84)

Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut: “Perbuatan kaum Luth yang suka sesama jenis, lelaki dengan lelaki adalah tingkah laku yang menyeleweng, perbuatan yang keji dan kotor, melampaui batas, bercanggah dengan adab dan kebiasaan serta bertentangan dengan akal yang sihat. Hanya jiwa yang tidak normal dan sakit yang melakukan perkara tersebut. Disebabkan tingkah laku mereka yang menyeleweng, kedudukan dan maruah mereka jatuh serendah-rendahnya, lebih rendah daripada haiwan. Haiwan jantan mendatangi haiwan betina tidak hanya untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja tetapi juga untuk menjaga keturunannya, manakala manusia yang suka sesama jenis hanya untuk memenuhi nafsu mereka semata-mata.” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 7/4228)

 

Dakwah Nabi Luth AS kepada Kaumnya

Ibn Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ (hlm. 260-284) menceritakan bahawa Nabi Luth meninggalkan tempat Nabi Ibrahim AS ke satu tempat yang jauh kerana melaksanakan perintahnya. Beliau tinggal di kota Sadum yang memiliki penduduk paling jahat dan paling kafir. Mereka melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran. Tidak ada sikap saling mengingatkan bagi orang yang melakukan kemungkaran di antara mereka. Kemungkaran yang mereka lakukan adalah mendatangi sesama lelaki seperti seseorang mendatangi isteri (liwat atau homoseksual) dan meninggalkan para wanita.

Nabi Luth AS menyeru kaumnya untuk menyembah Allah, tiada sekutu bagi-Nya, juga melarang mereka untuk tidak melakukan perbuatan keji (homoseksual) sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah tentang diri mereka. Namun tidak seorang pun dari mereka yang mahu menerima dakwah tersebut, dan enggan untuk beriman kepadanya. Bahkan mereka tidak mahu berhenti dari perbuatan yang terlarang tersebut. Mereka tidak mahu berhenti dari penyimpangan dan kesesatan mereka.Malah mereka hendak mengusir Baginda sepertimana dirakamkan ucapan mereka di dalam al-Quran:

أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci."

Surah al-Naml (56)

Ibn Jarir menukilkan beberapa pendapat berkenaan ayat di atas, antaranya:

  • Qatadah berkata: “Mereka menghina dan mengaibkan sedangkan ia bukan aib dengan maksud mereka adalah golongan yang suci daripada melakukan amalan-amalan yang jahat dan keji.
  • Ibn Abbas, al-Hasan dan Mujahid berkata: “Mereka selamat daripada mendatangi lelaki dan perempuan dari belakang, secara mengejek.” (Lihat Jamiʿ al-Bayan ʿan Taʾwil Ay al-Qurʾan, 18/97)

Jawapan mereka tersebut muncul tidak lain kerana Nabi Luth melarang mereka daripada melakukan kekejian yang sangat besar yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh penduduk bumi. Oleh kerananya, mereka dijadikan perumpamaan dalam masalah ini dan pelajaran bagi orang yang melakukan perbuatan tersebut. Ejekan itu tidak jauh daripada budaya sebahagian golongan hari ini yang bermudah-mudah melabel golongan pendakwah sebagai golongan holier than thou (rasa diri lebih mulia daripada orang lain), padahal merekalah yang menghina diri sendiri dengan mempamerkan perlakuan songsang dan mempromosikan perkara yang haram.

Mereka merompak, mengkhianati teman, dan melakukan kemungkaran di tempat-tempat perkumpulan mereka, baik dalam ucapan mahupun perbuatan. Bahkan terkadang sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan-kesalahan seksual tadi di tempat-tempat pesta tanpa ada rasa malu. Mereka tidak mahu mendengar nasihat daripada orang-orang yang memberikan nasihat. Dalam hal ini, mereka ibarat binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka enggan meninggalkan apa yang saat itu mereka kerjakan, tidak mahu menyesali perbuatan-perbuatan yang telah mereka lakukan di masa lalu dan tidak mahu mengubah keinginan mereka di masa yang akan datang. Oleh kerana itu, Allah SWT menimpakan azab yang buruk kepada mereka.

Mereka berkata kepada Luth sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّـهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

Surah al-Ankabut (29)

Imam al-Qurtubi menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, berkata:

إِنَّ قَوْمَ لُوطٍ كَانَتْ فِيهِمْ ذُنُوبٌ غَيْرُ الْفَاحِشَةِ، مِنْهَا أَنَّهُمْ يَتَظَالَمُونَ فِيمَا بَيْنَهُمْ، وَيَشْتُمُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا وَيَتَضَارَطُونَ فِي مَجَالِسِهِمْ، وَيَخْذِفُونَ وَيَلْعَبُونَ بِالنَّرْدِ وَالشِّطْرَنْجِ، وَيَلْبَسُونَ الْمُصَبَّغَاتِ، وَيَتَنَاقَرُونَ بِالدِّيَكَةِ، وَيَتَنَاطَحُونَ بِالْكِبَاشِ، وَيُطَرِّفُونَ أَصَابِعَهُمْ بِالْحِنَّاءِ، وَتَتَشَبَّهُ الرِّجَالُ بِلِبَاسِ النِّسَاءِ وَالنِّسَاءُ بِلِبَاسِ الرِّجَالِ، وَيَضْرِبُونَ الْمُكُوسَ عَلَى كُلِّ عَابِرٍ، وَمَعَ هَذَا كُلِّهِ كَانُوا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ، وَهُمْ أَوَّلُ مَنْ ظَهَرَ عَلَى أَيْدِيهِمُ اللُّوطِيَّةُ وَالسِّحَاقُ، فَلَمَّا وَقَّفَهُمْ لُوطٌ عَلَيْهِ السَّلَامُ عَلَى هَذِهِ الْقَبَائِحِ رَجَعُوا إِلَى التَّكْذِيبِ وَاللِّجَاجِ، فَقَالُوا: (ائْتِنا بِعَذابِ اللَّهِ) أَيْ إِنَّ ذَلِكَ لَا يَكُونُ وَلَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ. وَهُمْ لَمْ يَقُولُوا هَذَا إِلَّا وَهُمْ مُصَمِّمُونَ عَلَى اعْتِقَادِ كَذِبِهِ. وَلَيْسَ يَصِحُّ فِي الْفِطْرَةِ أَنْ يَكُونَ مُعَانِدٌ يَقُولُ هَذَا

Sesungguhnya kaum Lut melakukan banyak dosa selain kesalahan seksual, antaranya:

  • Mereka saling menzalimi antara sesama sendiri
  • Mereka memaki hamun antara sesama sendiri
  • Mereka tanpa segan silu kentut dalam majlis
  • Membaling apa-apa yang ada di sekelilingnya
  • Mereka suka bermain nard (dadu) dan syitranj (seumpama catur)
  • Mereka memakai pakaian yang bercelup
  • Mereka suka melagakan ayam jantan
  • Mereka suka melagakan kibasy
  • Lelaki mereka melumuri jari-jari mereka dengan inai
  • Lelaki mereka suka memakai pakaian perempuan
  • Perempuan mereka suka memakai pakaian lelaki
  • Mereka mengenakan cukai kepada yang lalu di kawasan mereka
  • Mereka juga syirik kepada Allah
  • Merekalah golongan yang pertama di muka bumi ini yang melakukan liwat dan lesbian.

Tatkala Nabi Lut AS cuba menghalang mereka dari semua kejian ini, lantas mereka kembali untuk mendustakan dan bersumpah dan berkata: “Sila datangkan kepada kami azab Allah.” Ini memberi maksud, sesungguhnya yang demikian itu tak akan berlaku azab Allah dan tidak mampu untuk melakukannya. Mereka sekali-kali tidak mengatakan sedemikian ini kecuali penuh dengan sangkaan bahawa iktiqad yang dusta. Maka tidaklah sahih orang yang dalam fitrah boleh mengingkari berkata sedemikian itu. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 13/342)

Mereka meminta kepada Nabi Luth untuk ditimpakan azab yang pedih yang telah dijanjikan oleh Nabi Luth. Saat itulah Nabi Luth berdoa kepada Allah untuk ditimpakan azab kepada mereka. Beliau memohon kepada Rabb semesta alam dan llah bagi para Rasul untuk dimenangkan di atas kaumnya yang membuat kerosakan. Maka Allah SWT mengabulkan doanya. Kemudian Allah mengutus para Utusan-Nya yang mulia iaitu para malaikat yang perkasa. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

 

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Luth

Allah SWT berfirman:

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ

MaksudnyaDan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan."

Surah Hud (77)

Ibn Kathir dalam menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim AS, maka mereka mendatangi negeri Sadum dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Luth dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka. Mereka pun bertamu kepada Luth ketika matahari tenggelam. Luth merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa. Allah SWT berfirman:

وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ

Maksudnyadan (dia) merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan."

Surah Hud (77)

Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, dan Muhammad bin Ishaq berkata: “Sangat berat ujiannya,” kerana Luth mengetahui betapa berat harus melindungi para tamunya malam tersebut dari gangguan kaumnya sebagaimana yang mereka lakukan kepada selain mereka. Kaum Luth telah membuat perjanjian kepadanya untuk tidak menerima seorang tetamu pun. Namun, Luth melihat sesuatu yang tidak mungkin dielakkan.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Luth. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari. Sesampainya mereka di sungai negeri Sadum, mereka bertemu dengan puteri Luth yang tengah mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Luth memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya: “Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?” Dia menjawab: “Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu.” Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata: “Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka.” Pada waktu itu, kaum Luth telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata: “Biarkan kami menerima tetamu lelaki.” Luth membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya. Lalu isteri Luth keluar menemui kaumnya dan berkata: “Di rumah Luth ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya.” Lantas kaumnya beramai-ramai datang ke rumah Nabi Luth. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 275)

Allah SWT berfirman:

وَمِن قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnyasedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan.

Surah Hud (78)

Yakni sebelumnya mereka telah melakukan dosa-dosa besar.

Allah SWT berfirman:

قَالَ يَا قَوْمِ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ

MaksudnyaNabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka).

Surah Hud (78)

Nabi Luth AS membimbing mereka untuk mendatangi isteri-isteri mereka yang secara syariat merupakan puteri-puteri Luth. Sebab, kedudukan seorang Nabi bagi umatnya ibarat ayah bagi anak-anaknya sebagaimana yang tertera dalam sebuah hadis.

Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

MaksudnyaOleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Surah Hud (78)

Ini merupakan larangan bagi mereka untuk tidak melakukan kekejian yang tidak layak mereka kerjakan. Ungkapan di atas juga sebagai persaksian Luth bahawa tidak ada seorang pun di antara mereka yang memiliki pegangan (hidup) dan tidak ada seorang pun yang memiliki kebaikan. Semuanya adalah orang-orang bodoh, orang-orang kuat yang fajir dan orang-orang kaya yang kafir. Hal inilah sebenarnya yang hendak didengar oleh para malaikat sebelum mereka menanyakannya kepada Luth. Maka kaumnya -semoga laknat Allah menimpa mereka- menjawab ungkapan Nabi mereka yang telah memerintahkan sesuatu dengan lemah lembut:

قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ

MaksudnyaMereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki."

Surah Hud (79)

Nabi Luth berkata:

لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ

MaksudnyaNabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)".

Surah Hud (80)

Beliau sangat berharap sekiranya memiliki kekuatan atau pembela atau anggota keluarga yang menolongnya atas perbuatan kaumnya, nescaya dia akan menimpakan azab yang sesuai dengan apa yang mereka ucapkan di atas.

Muhammad bin Amr bin Alqamah berkata, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَحْمَةُ اللَّهِ على لوط، إِن كَانَ يَأْوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ - يَعْنِي اللَّهَ عزوجل - فَمَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ

Maksudnya"Semoga Allah merahmati Luth. Sesungguhnya dia telah berlindung kepada tiang yang kuat yakni Allah. Dan tidaklah Allah mengutus seorang Nabi pun melainkan dari kalangan yang mulia dari kaumnya. "

Riwayat al-Bazzar (7934)

Allah SWT berfirman:

وَجَاءَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ ، قَالَ إِنَّ هَـٰؤُلَاءِ ضَيْفِي فَلَا تَفْضَحُونِ ، وَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ ، قَالُوا أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ ، الْعَالَمِينَ قَالَ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ

MaksudnyaDan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku". "Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal).

Surah al-Hijr (67-71)

Nabi Luth memerintahkan mereka untuk menggauli isteri-isteri mereka. Beliau juga mengingatkan mereka untuk tidak terus dalam perbuatan kotor mereka. Meskipun demikian, mereka tidak mahu berhenti dan tidak mempedulikan nasihat tersebut. Bahkan, setiap kali Luth melarang mereka, maka mereka semakin menjadi-jadi dan berkeras untuk mendapatkan tetamu-tetamu tersebut. Mereka tidak mengetahui bencana apa yang akan menimpanya di pagi harinya.

Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ ﴿٣٦﴾ وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِ فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ ﴿٣٧﴾ وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ ﴿٣٨﴾ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ

MaksudnyaDan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu. Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).

Surah al-Qamar (36-38)

 

Pengakhiran Kaum Nabi Luth AS

Nabi Luth AS keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya, dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya. Ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ ﴿٨٢﴾ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ

MaksudnyaMaka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.

Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota- dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata: “Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Luth.”

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

MaksudnyaMaka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Luth yang mengandungi lima tempat. Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing. Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Kalimat al-Sijjil adalah bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Maknanya sangat keras dan kuat.

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ لِلْمُسْرِفِينَ

Maksudnya"Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".

Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });