5 Tip Penting Memilih Al-Quran.


Abu Naurah | 16-07-2019

 

Kebanyakan kita, biasanya mempunyai manual atau panduan dalam membeli produk-produk di luar sana. Namun ketika memilih bahan bacaan berbentuk agama dan seumpamanya kebiasaannya buntu dalam menilai dalam membuat pilihan dan keputusan.

Begitulah juga dalam memiliki mushaf al-Quran. Ramai dikalangan kita yang kadang-kadang berasa menyesal ketika membeli sesebuah bahan bacaan kerana merasakan ada lagi naskhah lebih baik berbanding daripada apa yang kita telah pun memiliki.

Secara peribadi, bagi saya ia tidaklah perlu disesali atau dirasakan sesuatu yang membazir, kerana selagi mana kita boleh mengambil manfaat daripanya maka itu adalah lebih baik daripada langsung kita tidak memilikinya.

Nah! Apatahlagi ketika kita ini mahu mula berjinak-jinak dengan al-Quran. Mahupun mencari naskhah al-Quran yang sesuai untuk anak atau orang tua kita bahkan diri kita sendiri. Maka, ia juga perlu kepada ilmu dan maklumat tepat supaya kita dapat memiliki naskhah al-Quran yang benar-benar sesuai untuk kita gunakan.

Lalu, mushaf seperti apakah yang sesuai menjadi sahabat setia kita? Yang membuat kita seronok untuk memandangnya? Dan memudahkan kita dalam mempelajarinya?

Saya kongsikan beberapa tip yang boleh kita lakukan di sini :

1. Disemak dan diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Langkah pertama yang harus kita lakukan adalah memeriksa al-Quran tersebut samada ia mempunyai kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri. Kebiasaannya, cop pengesahan dan no kelulusan terdapat dibahagian awal ataupun akhir cetakan al-Quran.

Setelah kita memastikan ianya ada, maka dapatlah kita ketahui bahawa naskhah aslinya telah pun melalui suatu proses semakan oleh ahli lajnah tashih al-Quran, seterusnya dibawa ke peringkat Lembaga Pengawalan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri KDN untuk diluluskan. Ini penting, kerana ia dapat mengenepikan keraguan kita tentang keaslian ayat-ayat al-Quran yang mungkin tersalah atau dipesongkan oleh pihak-pihak tertentu.

2. Kualiti Kertas

Jenis kertas sangat berpengaruh terhadap kemudahan ketika membaca. Terdapat beberapa jenis kertas yang biasa digunakan dalam cetakan al-Quran, antaranya ialah :

  1. Kertas Putih
  2. Kertas Kilat (putih)
  3. Kertas Premium (kuning)

Dari ketiga jenis kertas yang biasa digunakan dalam mencetak mushaf tersebut, kertas premium/ kuning luxs merupakan jenis kertas yang direkemen untuk dipilih kerana jenis kertas ini menyerap cahaya dan tidak memantulkan cahaya silau, sehingga tidak terlalu gelap dan sesuai untuk tempoh membaca yang lama untuk mata.

Jika sukar untuk menemui al-Quran Paper Premium, al-Quran yang dicetak menggunakan kertas HVS menjadi pilihan kedua. Tidak dianjurkan untuk memilih al-Quran yang dicetak menggunakan kertas terlalu berkilat kerana boleh jadi silau ketika membacanya.

3. Huruf dan Susun Atur Mushaf al-Quran

Jenis huruf yang sukar dibaca akan memberi kesan pada kelancaran dan ketepatan sesuatu bacaan al-Quran. Secara peribadi saya lebih menyukai tulisan khat Syeikh Uthman (Mushaf Madinah) versi pertama berbanding versi yang terkemudian. Walaupun menurut beliau sendiri khat nasakh yang digunakan telah dipermudah dalam edisi yang baru.

Adapun tulisan beliau sendiri memang mempunyai beberapa versi dan telah pun diguna pakai oleh penerbit dalam pasaran umum. Antara perbezaannya adalah pada jumlah halaman, kedudukan awal juz atau surah dan banyak lagi seperti tanda waqaf yang sememang sentiasa dikemasi kini saban tahun oleh pihak lajnah di Madinah sendiri.

Namun bagi praktikal penggunaan seharian kita sendiri. Pilihlah Al-Quran dengan Resam Uthmani, samada dengan tajwid berwarna atau pun tidak, terjemahan per kata atau terjemahan yang sesuai. Di samping itu, kini terdapat juga mushaf dengan panduan Waqaf dan Ibtida kaedah berwarna yang memudahkan kita berhenti dan memulakan bacaan pada makna dan maksud ayat yang sesuai.

4. Penjilidan

Dari sudut luaran al-Quran, kebiasaanya dapat dilihat dibahagian sisi bawah atau atas jahitan atau gam yang digunakan untuk menggabungkan helaian-helainnya. Jika anda memilih penjilidan dengan versi jahitan maka kebiasaannya kualitinya adalah lebih baik berbanding gam. Namun tidak dinafikan gam yang digunakan juga biasanya sudah baik dalam memastikan ia tidak tertanggal atau terkoyak daripada jilidnya.

Pada sesetengah jenis al-Quran Perjuzuk yang didatangkan dengan kotak atau ‘box’ pula, kita boleh memastikan jumlah atau juz yang kita perolehi cukup dan saiznya sesuai dengan penggunaan kita.

5. Memilih al-Quran Sesuai dengan Keperluan

 Terakhir sekali, inilah yang paling penting kerana dalam memilih al-Quran apa pun, kerana ia perlulah sesuai dalam konteks penggunaan kita secara peribadi mahupun keluarga. Setidaknya ada beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan ketika ingin memilikinya.

1) Al-Quran Mushaf lengkap Tajwid Berwarna dan Waqaf Ibtida’ (berhenti dan memulakan bacaan), pilihan terbaik untuk yang ingin memahirkan bacaan al-Quran.


2) al-Quran dengan terjemahan bersaiz kecil seperti al-Quran Multazam atau al-Haramain A5 sesuai digunakan untuk anak-anak di sekolah mahupun di rumah.

3) Al-Quran dengan tema Muslimah lengkap dengan Tajwid Berwarna dan Terjemahan sesuai untuk ibu, dan wanita kerana bentuknya yang menarik, moden ditambah dengan huraian tema muslimahnya yang memudahkan kita mentadabburi ayat-ayatnya. .

4) Bagi yang ingin menghafal al-Quran, naskhah al-Quran al-Hafiz dengan kaedah Hafal 1 Halaman 3 Jam sangat sesuaikan digunakan. Jika anda konsisten menghafal 1 halaman setiap hari dalam tempoh 2 tahun anda boleh menjadi penghafal 30 Juz al-Quran.

5) Selain itu, ada al-Quran yang lengkap dengan pelbagai rujukan tafsir, hadis dan sebagainya. Iaitu al-Quran Amazing, lengkap 33 Panduan Hidup Manusia. Membimbing kita bagaimana untuk berinteraksi dengan al-Quran. InsyaAllah al-Quran akan terasa dekat sekali dengan diri kita apabila membaca apa yang kita mampu fahami walau sedikit demi sedikit.

Akhirnya, al-Quran biar apa pun saiznya, besar atau kecilnya yang penting adalah sejauh mana al-Quran itu sendiri dapat memberi kebaikan buat kita sejak di dunia lagi. Hingga akhirnya menjadi syafaat buat kita di akhirat nanti. Moga kita tergolong dalam orang-orang memperolehi syafaatnya. Amin insyaAllah..!
 

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });