Cerita Ustaz Tentang Sedekah


Sofian Resali | 12-07-2019

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki diantara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Surah Saba’:39)

 

Ketika kaki menyarung sepasang kasut jenama tempatan dan ingin melangkah keluar masjid, hati seperti tertahan. Antara mahu meneruskan langkah atau menunggu sebentar. Terdiam sejenak.

 

“Assalamualaikum, dijemput tuan-tuan dan puan-puan ke ruang solat di bawah bagi mengikuti tazkirah yang akan disampaikan penceramah kita dari Indonesia. Sekian, terima kasih.” Ringkas pengumuman itu.

 

Hati kemudian berubah. Kasut yang telah disarungkan, dibuka semula. Berlari-lari anak ke ruang yang solat berkenaan. Saya menyertai jemaah lain yang semakin ramai. Apa tajuk tazkirah malam ni ya? Ramai sungguh yang datang.

 

Ya, rupa-rupanya penceramah yang dimaksudkan adalah Ustaz Yusuf Mansur, pendakwah terkenal dari Indonesia. Tubuhnya kecil, kulit keputih-putihan dan pekat loghat Indonesianya.

 

“Malam ini saya mahu bercerita mengenai sedekah. Ibu-ibu, bapak-bapak sekalian, sejujurnya saya diajar bersedekah sejak kecil. Walaupun ketika itu saya tidak tahu apa itu sedekah. Namun, setelah dewasa, semakin saya kenal agama ini, maka semakin tahu saya apa itu sedekah.

 

Saya punya pengalaman mengenai sedekah. Waktu kecil, saya juga seperti kanak-kanak lain ingin memiliki permainan. Suatu hari, saya sangat tertarikh dengan sebuah permainan ini. Harganya jika mengikut matawang Malaysia sekitar RM140.00.”

 

Beliau memberitahu ibunya untuk memiliki permainan itu. Namun, ibunya memintanya agar mulai menabung. Sedangkan wang saku persekolahan hariannya tidak banyak. Jika menabung, beliau hanya mampu menyimpan sekitar RM1 sahaja seminggu. Bermaksud, sekiranya mahu menggenapkan sehingga RM140, beliau perlu menunggu sehingga 140 minggu. Satu tempoh yang agak lama.

 

Beliau tetapkan juga tabungan seperti yang disarankan ibunya. Sehingga minggu ke-20, wang tabungannya telah mencecah RM20. Masih ada 120 minggu untuk genap RM140. Namun, tiba-tiba ibunya memintanya agar membawa semua wang tabungan berkenaan.

 

“Gunakan wang tabunganmu itu. Pergi ke pasar. Belikan barang-barang dapur yang ibu senaraikan ini dan segera pulang ke rumah,” pesan ibunya.

 

“Bukankah ibu menyuruhku menabung wangku untuk membeli barang permainan yang aku ingini? Kenapa mesti digunakan untuk membeli barang dapur pula?” Soalnya dalam hati.

 

Ibunya tetap bertegas dengan arahan itu. Beliau ikuti sahaja arahan berkenaan. Setelah sampai di pasar, beliau membeli semua barang dapur seperti yang diminta. Setelah pulang, diserahkan barangan itu kepada ibunya. Walaupun hatinya sangat sedih kerana wang tabungan telah mencecah RM20.

 

Si ibu segera menggunakan barang dapur tadi untuk memasak. Setelah siap, Ustaz Yusuf diminta membawa semua masakan yang dimasak ke sebuah masjid dan didermakan kepada para jemaah. Kebetulan hari itu adalah hari Jumaat.

 

Setelah sampai ke masjid dan menyerahkan masakan itu, ada di kalangan para jemaah yang hadir menghulurkan derma kepada. Jumlah kesemuanya adalah RM70. Kemudian menyerahkan wang derma itu kepada ibunya. Namun, ibunya memintanya agar wang itu dimasukkan ke dalam tabung.

Sehingga minggu ke-20 berikutnya, ibunya mengulangi tindakan sama. Hasilnya, jumlah derma yang diterimanya sama RM70. Bermakna, apabila dicampur dengan jumlah RM70 pertama, ia sudah menjangkau RM140. Sudah mampu untuk membeli permainannya tempoh hari.

 

“Tetapi saya tangguhkan untuk membeli permainan berkenaan kerana pada hari berkenaan, ada majlis berkhatan dua orang sepupu saya. Namun, ada sesuatu yang terjadi. Bapa dan ibu saudara saya yang dalam perjalanan untuk menziarahi sepupu tadi, telah singgah ke sebuah kedai permainan.

 

“Pada mulanya mereka hanya membeli dua permainan untuk sepupu saya. Namun, teringatkan saya juga ada bersama di sana, mereka turut membelikan sebuah untuk saya. Permainan itu pula adalah permainan yang saya memang ingin beli,” ujarnya.

 

Beliau sangat terkejut. Bagaimana mungkin sedekah yang dilakukannya hanya sekitar RM40 tetapi dibalas Allah SWT dengan RM140. Lebih mengharukan adalah beliau akhirnya memiliki permainan yang sangat diingini itu tanpa mengluarkan walau satu sen.

 

“Percayalah, Allah SWT tidak mensia-siakan sedekah yang kita lakukan. Janji-Nya tidak pernah mungkir. Allah akan membalas sedekah kita dengan berlipat ganda. Kadang-kala di luar jangkaan kita sendiri.

 

“Tuan-tuan, kita tidak memerlukan sesuatu apa pun yang lebih berharga untuk bersedekah kecuali iman iaitu yakin dan percaya kepada-Nya. Tanamkan keyakinan itu bahawa semua itu adalah milik Allah SWT dan Dia berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja.”

 

Malam itu, saya belajar sesuatu. Benarlah cerita ustaz tentang sedekah. Apa yang kita belanjakan di jalan Allah, tidak akan pernah rugi. Allah tidak akan mensia-siakan amal soleh yang dilakukan hamba-hamba-Nya. Bersedekahlah, pasti dirimu diganjari.

 

Melangkah keluar dari masjid berkenaan, saya berdoa agar Allah SWT merezekikan saya untuk tetap bersedekah walaupun ketika keadaan sempit.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });