Tolong Selamatkan Generasi Kita Daripada Pornografi


Sofian Resali | 12-07-2019

Teks: Sofian Resali

 

“Abang, abang ada baca tak berita ni. Cuba tengok . Ya Allah, takutnya zaman sekarang ni.”

 

Isteri saya antara orang yang sangat peka dengan berita-berita semasa. Lazimnya, dia akan mengikuti satu persatu berita di media sosial setelah tamatnya waktu kerja. Lebih tepat, setelah pulang ke rumah dan menguruskan keperluan anak-anak, dia akan memperuntukkan sejam untuk menekuni telefon bimbit.

 

Pekerjaan di klinik swasta sepertinya tidak memberikan ruang yang luas untuk menekuni telefon bimbit setiap masa. Masa yang ada selepas waktu kerja memberikan sedikit ruang untuknya. Waktu inilah digunakan untuk membalas setiap mesej whatsapp, melayari facebook dan sebagainya.

 

Ya, dia menunjukkan kepada saya berita tentang seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditahan kerana dakwaan merogol kanak-kanak di bawah asuhan ibunya. Mangsa berusia empat tahun.

 

Kejadian dilaporkan telah berlaku sebanyak tiga kali. Kali pertama ketika awal Ramadan lalu. Ketiga baru-baru ini. Ketiga-tiga kejadian itu pula berlaku di rumah pengasuh berkenaan.

 

Saya percaya, sesiapa sahaja yang membaca berita ini ada emosi yang pelbagai. Sedih, marah, geram dan sebagainya. Sedih sebab mangsa masih kanak-kanak. Empat tahun apalah yang dia tahu tentang tragedi ini. Sedih apabila kenangkan perasaan keluarga mangsa.

 

Namun, paling menyedihkan adalah apabila mengetahui punca budak lelaki berkenaan bertindak sedemikian rupa setelah menonton video lucah yang terdapat dalam telefon bimbit ayahnya. Bagaimanakah seorang budak seawal usia itu boleh terdedah kepada video sedemikian?

 

Inilah bahayanya kesan pornografi terhadap semua. Ia bukan sahaja meranapkan individu, bahkan lebih membahayakan mampu memusnahkan institusi kekeluargaan. Jika dahulu kita sangat bimbangkan isu penagihan dadah dan HIV, nampaknya sekarang kita berhadapan dengan gejala yang begitu serius iaitu serangan pornografi.

Wallahualam,

 

Saya rasa kita telah sampai ke peringkat yang sangat kritikal. Serangan pornografi sangat dahsyat. Bayangkan, orang yang dah terpengaruh dengan bahan-bahan porno ni kesannya bukan hanya pada individu. Tetapi meruntuhkan kekeluargaan. Bukan sahaja keluarga sendiri, bahkan keluarga orang lain.

 

Tahu tak, dalam sebuah laporan berita Berita Harian bertarikh 1 April 2018, Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Fatimah Abdul Ghani pernah kata bahawa mereka yang ketagihan pornografi kesannya boleh menjejaskan kesihatan termasuk otak. Malah kerosakan itu adalah lebih teruk daripada ketagihan kokain (dadah).

 

Itu kesan pada diri sendiri. Apa kesan pada orang lain? Orang yang ketagihan pornografi, lama-lama terpengaruh dan mula bereksperimen. Dalam kes budak lelaki ni, siapa yang ajar dia? Apa yang dia pandai sangat tentang seks kalau bukan belajar daripada video seperti ini.

 

Buatlah sesuatu. Tak kira di peringkat mana pun kita berada. Ibu ayah, adik beradik, masyarakat dan negara. Tolong fikir sama dan ambil tindakan segara. Isu ini bukan boleh buat main-main. Tolonglah selamatkan generasi kita. Kesan sengsara sangat dahsyat.

 

Jangan simpan video lucah. Jangan akses pun lawan web pornografi. Tah payah tengoklah video yang tiada faedah langsung seperti ini. Ibu bapa, pantaulah anak-anak kalian. Saban hari, semakin bertambah laman web pornografi. Akses pun semakin mudah. Kalau bukan kita yang memantau anak-anak sendiri, siapa lagi.

 

Tolonglah, kita tak mahu generasi ini hancur disebabkan pornografi.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });