Wanita: kedudukan kita yang mana satu?



Soalan: Apakah benar wanita merupakan fitnah yang paling bahaya buat lelaki? 

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda.

Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya. Akan tetapi, Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk yang paling kerana dikurniakan akal fikiran.

Selain itu, antara tujuan lain Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk menguji mereka dengan ditimpa ujian-ujian supaya Allah SWT mengetahui siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya. Di samping itu juga, Allah SWT menjadikan wanita sebagai salah satu ujian atau fitnah buat kaum lelaki. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.” (Ali-Imran : 14)

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadis yang jelas menunjukkan bahawa wanita merupakan fitnah bagi kaum lelaki. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan ramai lagi iaitu:

  1. Daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda dengan maksud:

“Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” (Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2740))

Menurut Syeikh Abdullah al-Talidi, hadis ini bermaksud selepas daripada kewafatan Nabi SAW, fitnah yang paling bahaya ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah fitnah wanita iaitu Allah SWT menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan syahwat dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita ini (yang bukan mahramnya), berdua-duaan dengannya, bercampur dengan mereka dan seumpamanya. Hal ini, diperakui oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa wanita adalah fitnah yang paling bahaya berbanding selain daripada mereka. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 668/2]

  Begitu juga sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:

“Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.” (Riwayat Muslim (2742))

  Hadis di atas turut menyebutkan supaya seseorang lelaki muslim itu perlulah bertakwa kepada orang perempuan dalam erti kata menjadikan benteng perisai di antara dirinya dalam pergaulan dengan orang perempuan supaya tidak terjebak kepada fitnah.

  Imam al-Nawawi RA ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Maknanya adalah:

“Jauhkanlah diri kamu dari terfitnah dengan dunia dan juga orang perempuan. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi, 17/213)

 

Kemuliaan Wanita

Dalam membicarakan isu fitnah wanita, ia bukanlah bermakna wanita itu dianggap negatif menurut pandangan syarak. Bahkan syarak sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita itu sendiri. Begitu banyak kelebihan wanita yang disebutkan oleh nas-nas yang sahih. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim (715))

 Imam al-Qurthubi mentafsirkan makna wanita yang solehah dalam hadis tersebut dengan katanya:

“Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.”

 

Hal ini merujuk kepada sabda Nabi SAW:

“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Riwayat Abu Daud (1664))

Begitu juga seorang wanita yang baik adalah mereka merupakan isteri yang menjadi tunjang kekuatan kepada suami mereka. Hal inilah yang ditunjukkan oleh Umm al-Mu’minin Khadijah binti Khuwailid R.Anha apabila Rasulullah SAW berada dalam keadaan takut yang bersangatan usai menerima wahyu yang pertama, Khadijah menenangkan baginda dengan katanya:

“Sama sekali tidak demi Allah, Dia tidak akan menghinakan kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, menanggung bebanan orang miskin, membantu orang yang kesusahan, menyambut dan memuliakan tetamu, serta membantu orang yang berhak.” (Riwayat al-Bukhari (3))

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap insan atau manusia yang mampu mengawal nafsu dan syahwatnya akan terselamat daripada fitnah ini. Kerana itu, agama Islam telah mengajar atau meletakkan beberapa garis panduan dalam kepada kaum lelaki apabila berinteraksi dengan wanita dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada fitnah wanita ini serta menjadikan wanita-wanita Islam ini sebagai wanita yang solehah. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Kredit : https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2381-irsyad-al-hadith-siri-ke-264-fitnah-dan-kemuliaan-wanita

Kredit gambar: Designed by Freepik


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA