Wasiat Nabi SAW yang Menggetarkan Hati Para Sahabat


Ustaz Mustafar Mohd Suki | 05-07-2019

Wasiat Nabi SAW yang Membuatkan Hati Sahabat Bergetar dan Berlinang Air Mata

 

Daripada al-'Irbadh bin Sariyah dia berkata: Suatu hari Rasulullah SAW memberi wasiat kepada kami setelah solat Subuh, wasiat yang sangat menyentuh sehingga membuat air mata mengalir dan hati menjadi gementar.

Maka seorang sahabat berkata: “Seakan-akan ini merupakan wasiat perpisahan, lalu apa yang engkau wasiatkan kepada kami ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW bersabda:

Aku wasiatkan kepada kalian untuk (selalu) bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat (pemerintah) meskipun terhadap seorang hamba Habasyi, sesungguhnya sesiapa sahaja di antara kalian yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang sangat banyak, maka jauhilah oleh kalian perkara-perkara yang dibuat-buat (yang direka dalam agama), kerana sesungguhnya hal itu merupakan kesesatan. Barang siapa di antara kalian yang menjumpai hal itu hendaknya dia berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham." (HR al-Tirmizi no. 2676, Hasan Sahih)

 

Wasiat Nabi SAW

Nabi SAW dikenali oleh para sahabatnya sebagai orang yang memiliki jawami’ul kalim (perkataan yang ringkas, namun padat). Sebagaimana sabda Baginda SAW: “Aku diutus dengan jawami’ul kalim.” (HR al-Bukhari no. 2977)

‘Ammar bin Yasir r.a. pernah menyampaikan khutbah dengan ringkas dan dipenuhi dengan kata-kata yang tepat, ibarat yang indah dan tepat ke dalam hati. Selepas khutbah, ada seseorang yang menegurnya (kerana pendek khutbahnya).

Maka ‘Ammar pun menanggapi dengan jawapan yang tepat: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya panjangnya solat seseorang dan ringkasnya khutbahnya merupakan tanda kefaqihan. Kerana itu panjangkanlah solat dan ringkaskanlah khutbah. Sesungguhnya di antara penyampaian dan ucapan, ada yang membuat orang tersihir (berbekas di hati).” (HR Muslim no. 869)

 

Wasiat untuk Takwa kepada Allah

Takwa merupakan pokok kebaikan dan inti dari segala perkara. Seluruh seruan kepada pintu kebaikan mahupun larangan kepada keburukan terkumpul dalam kalimat takwa ini.

Firman Allah:

“Berbekallah kalian, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa.” (Surah al-Baqarah: 197)

 

Wasiat untuk Mendengar dan Taat

Skop yang dimaksud dengan mendengar dan taat oleh Rasulullah SAW di sini adalah kepada para pemimpin umat, kerana taat kepada mereka akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Apabila mentaati mereka, maka akan baiklah kehidupan orang-orang yang dipimpin (rakyat) dan menjadi amanlah negeri. Di samping dapat membantu menegakkan agama Islam di tempat pemerintahan masing-masing.

Tentunya ketaatan kepada pemimpin itu jika dia seorang Muslim dan sebatas dalam perkara yang ma’ruf (kebaikan), tanpa melanggar hak Allah.

Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:

“Ketaatan itu hanyalah dalam perkara kebaikan.” (HR al-Bukhari no. 4340 dan Muslim no. 1840)

 

Wasiat untuk Berpegang Teguh dengan al-Sunnah

Ini merupakan salah satu tanda di antara tanda-tanda kenabian Nabi SAW di mana Baginda SAW mengkhabarkan kepada para sahabatnya tentang perkara yang akan datang selepas kewafatannya. Yakni akan terjadi perselisihan yang banyak dalam kalangan umat Baginda SAW.

Kerana itulah, sebagai bahtera penyelamat daripada gelombang perselisihan dan perpecahan ini adalah dengan berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah SAW dan para al-Khulafa’ al-Rasyidin. Betapa kuatnya keperluan pegangan tersebut sehingga diibaratkan seperti menggigit dengan geraham. (Jami’ul ‘Ulum, 2/126) 

 

Wasiat untuk Berhati-hati dari Bid’ah

Ini merupakan peringatan kepada umat Nabi Muhammad SAW daripada melakukan perkara baru yang diada-adakan, lalu disandarkan kepada agama. Sedangkan perkara tersebut tidak ada asalnya sama sekali dalam syariat Islam.

Adapun ucapan para ulama yang menganggap baik sebahagian bid’ah, maka kembalinya hal tersebut kepada pengertian bid’ah secara bahasa bukan bid’ah menurut syariat (agama).

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak. (HR. Bukhari no. 2697)

Baginda SAW bersabda lagi:

“Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan. (HR Muslim no. 867)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });