Riwayat Bacaan al-Quran Imam Hafs Paling Mashyur di Muka Bumi. Mengapa demikian ?


Artikel asal oleh : Ustadz Moh. Fathurrozi | 01-07-2019

Setiap teori akan terus wujud jika generasi seterusnya melanjutkan dan menyebarkan teori tersebut. Namun demikian, setiap manhaj qiraat (metode atau variasi bacaan Al-Quran) tertentu akan tetap wujud selamanya jika para generasi seterusnya melanjutkan dan menyebarkan manhaj tersebut. Generasi yang berjasa menyampaikan dan menyebarkan ke masyarakat umum itu disebut sebagai perawi.

 

Dalam ilmu qiraat, para imam qiraat, seperti Imam ‘Asim, dipanggil sebagai pengumpul manhaj atau pemilik qiraat yang dihasilkan daripada pemilihan dan penelitian sebagai bacaan qiraatya. Manakala perawi daripada imam qiraat pula dipanggil sebagai penerus manhaj bacaan imam lalu mereka memperkenalkannya kepada umum. Sedangkan perawi berikutnya daripada perawi pertama tadi pula dipanggil ‘toriq’ atau jalur perawi yang mengembangkan serta memasyhurkan bacaan imamnya.

Dalam ilmu qira’at, setiap imam memiliki dua perawi dan setiap perawi memiliki dua toriq atau jalur bacaan. Dalam qiraat Imam ‘Asim, beliau memiliki dua perawi iaitu: Syu’bah dan Hafs.

 

1. Syu’bah bin Ayyasy

 

Nama lengkapnya adalah Syu’bah bin Ayyasy bin Salim al-Hannath al-Nahsyali al-Kufi, nama panggilannya (kuniyah) Abu Bakar. Beliau lahir pada tahun 95 H.

 

Beliau merupakan imam besar yang Alim, bergelar “hujjah” dan termasuk pembesar Ahlussunnah. Gelar hujjah Ahlussunnah layak disematkan kepadanya, kerana keteguhannya dalam upaya mempertahankan ideologi Ahlussunnah. Beliau berkata: “Barangsiapa yang menganggap Al-Quran sebagai makhluk, maka bagi kami dia adalah kafir zindiq, dia adalah musuh Allah, kita tidak boleh berinteraksi dengannya dan berbicara dengannya.”

 

Pengembaraan Ilmu Imam Syu’bah

 

Perjalanan intelektual Imam Syu’bah ini diawali dengan menghafal Al-Quran, belajar dan menyemakkannya (tasmik) kepada guru di kampung halamannya, kemudian dilanjutkan pengembaraannya dengan belajar kepada satu guru ke guru yang lain, layaknya seorang penuntut ilmu yang haus akan cahaya ilmu. Namun dalam bidang Al-Quran dan qiraatnya, dia belajar kepada: (1) ‘Asim bin Abi al-Najud, (2) Atha’ bin al-Saib, (3) Salim al-Munqiri.

 

Kepada Imam ‘Asim beliau bermulazamah (berguru) lama sehingga dia dapat mengkhatamkan Al-Quran lebih daripada sekali. Daripada Imam ‘Asim inilah, beliau kemudian menjadi perawi sekaligus murid yang banyak mengisahkan dan meriwayatkan kisah kehidupan sang guru. 

 

Dalam pengabdian ilmunya, Allah menganugerahkannya umur yang panjang kepadanya,sehingga memberikan peluang kepadanya menabung pundi-pundi amal baik dan pengabdian yang tulus, namun pada akhir sisa hidupnya dia memutuskan tidak mengajar Al-Quran selama tujuh tahun.

 

Komentar Ulama

 

Atas ketulusan dan keikhlasannya mengabdi kepada kalam-Nya, beliau menempati posisi yang amat terpuji, sehingga Imam al-Jazari memberikan apresiasi yang sangat tinggi. 

 

Imam al-Jazari berkata: “Syu’bah adalah seorang imam besar, yang alim dan mengamalkan ilmunya, dan termasuk pembesar ulama sunnah”. 

 

Murid-murid Imam Syu’bah

 

Setelah berasa cukup pengembaraan ilmunya kepada beberapa guru-guru yang tersebut di atas, maka dia kemudian membuka pengajian atau menerima tasmik Al-Quran dari berbagai kalangan, salah satunya adalah: Abu Yusuf Ya’kub bin Khalifah al-A’syi, Abdurrahman bin Abi Hammah, Yahya bin Muhammad al-Ulaimi, Urwah bin Muhammad al-Asadi, Sahal bin Syuaib.

 

Selain murid-murid di atas, ada beberapa murid-muridnya yang hanya meriwatkan bacaan Imam Syu’bah tanpa melalui tasmik bacaan kepadanya, salah satunya adalah Ishaq bin Isa, Ishaq bin Yusuf al-Azraq, Ahmad bin Jabar, Abdul Jabbar bin Muhammad al-Atharidi, Ali bin Hamzah al-Kisa’I, Yahya bin Adam.

 

Syu’bah dan Saudara Perempuannya

 

Ketika Imam Syu’bah mendekati ajalnya, saudara perempuannya menangis sambil menghampirinya. Melihat tangisan saudarinya itu, Imam Syu’bah bertanya: “Kenapa kamu menangis?. (tidak usah menangis), lihatlah di sudut itu, di sana saya telah menghatamkan Al-Quran sebanyak 1800 kali khatam.

 

Ungkapan yang disampaikan Syu’bah kepada saudarinya ini menunjukkan betapa tulusnya Syu’bah mengabdi kepada Tuhan dan kalam-Nya. Di sisi lain, isyarah ke sudut itu sebagai bentuk wasiat kepada saudarinya untuk meneruskan perjuangannya.

 

Setelah mengabdikan dirinya kepada Al-Quran, beliau wafat pada tahun Jamadil Awal tahun 193 H.

 

2. Hafs bin Sulaiman

 

Nama lengkapnya adalah Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah bin Abi Daud al-Asadi, al-Kufi al-Bazzar. Kata al-Bazzar dinisbahkan kepada penjual baju, kuniyahnya Abu Umar. 

 

Ada banyak gelaran yang dimiliki oleh imam ini, salah satunya adalah “al-Hujjah”, tsabat (mantap), pemilik riwayat yang terkenal, bahkan tidak berlebihan apabila dikatakan bahawa riwayat Imam Hafs ini adalah satu-satunya riwayat yang paling banyak dibaca di dunia Islam. Beliau lahir pada tahun 90 H.

 

Pengembaraan Ilmunya

 

Setelah ayahnya meninggal dunia,kemudian ibunya bernikah lagi dengan Imam ‘Asim. Secara langsung dia menjadi anak tirinya. Atas bimbingan dan didikan Imam ‘Asim, pemilik riwayat yang paling terkenal ini di didik secara baik secara talqin (dibacakan kemudian ditiru) mahupun secara tasmik (memperdengarkan bacaannya). 

 

Setelah menginjak dewasa, Imam Hafs menggantikan posisi ayah tirinya sebagai guru dalam bidang Al-Quran, bahkan manjadi seorang imam besar dalam bidang itu.

 

Kemasyhuran Riwayat Imam Hafs

 

Tidak berlebihan jika saat ini bacaan riwayat yang paling banyak dibaca di muka bumi ini adalah riwayat Imam Hafs. Mengapa demikian ?

 

Jika dilihat dari jejak langkah pengembaraan Imam Hafs ini, maka akan ditemukan bahawa beliau pernah mengembara dan tinggal di dua negara yang pada saat itu sebagai ibu kota. Hal ini dibuktikan oleh ungkapan Imam Abi Amr al-Dani: “Dia belajar daripada Imam ‘Asim dan diajarkan kepada masyarakat bacaan tersebut. Kemudian dia tinggal di Baghdad, di sana dia mengajarkan (bacaannya) dan kemudian tinggal di Makkah, di sana dia juga mengajarkan (bacaanya).

 

Dari situ boleh dibayangkan betapa ramainya jumlah murid-murid Imam Hafs di dua negara tersebut, kemudian mereka menyebarkan riwayat ke negaranya masing-masing. Maka tidak hairan, jika bacaan riwayat Imam Hafs menjadi tersohor di dunia. Ini dari sisi penyebaran melalui jalan periwayatan.

 

Dari sisi yang lain, hampir seluruh Al-Quran dicetak menggunakan riwayat Imam Hafs. Pada tahun 1106 H, Al-Quran yang dicetak di Jerman menggunakan riwayat Imam Hafs.

 

Antara Hafs dan Syu’bah 

 

Tidak menghairankan juga jika riwayat Hafs ini paling masyhur di dunia, sebab dia mengajar masyarakat dengan tempoh waktu yang lama. Kenapa riwayat Imam Syu’bah tidak semasyhur riwayat Imam Hafs, padahal sama-sama lama mengajar dan sama-sama murid dari Imam ‘Asim?

 

Boleh jadi kerana Imam Syu’bah berhenti mengajarkan Al-Quran menjelang wafatnya selama tujuh tahun, dan kemudian disibukkan oleh ilmu hadis. Maka dengan demikian, beliau mendapatkan gelar pembesar sunnah. Dalam hal yang lain, sejarah tidak mencatat bahawa Imam Syu’bah mengajarkan bacaaanya di dua negera yang berbeza.

 

Secara susur jalur sanad, bacaan yang diriwayatkan oleh Imam Hafs sampai kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib. Sedangkan jalur sanad yang diriwayatkan Imam Syu’bah sampai kepada Abdullah bin Mas’ud.

 

Imam Hafs menceritakan tentang komunikasinya dengan Imam ‘Asim. Dia bertanya kepada gurunya: “Kenapa bacaan Syu’bah berbeza dengan bacaan saya? Imam ‘Asim menjawab: “Bacaan yang kamu pelajari seperti yang saya pelajari daripada Abdurrahman al-Sullami yang jalur sanadnya sampai pada Sayyidina Ali. Sedangkan saya mengajarkan kepada Syu’bah sebagaimana yang saya pelajari daripada Zir bin Hubaisy daripada Abdullah bin Mas’ud.”

 

Imam Mujahid berkata: “Perbezaan antara bacaan Imam Hafs dan Syu’bah sekitar 520 bacaan.”

 

Komentar Ulama

 

Ada banyak pujian yang disampaikan oleh ulama kepada Imam Hafs atas dedikasinya terhadap Al-Quran dan qiraatnya.

 

Imam Yahya bin Ma’in berkata: “Riwayat yang sahih daripada Imam ‘Asim adalah daripada perawi Imam Hafs bin Sulaiman. Pujian ini bukan bererti menafikan riwayat Imam Syu’bah tapi hanya sebagai bentuk apresiasi kepada Imam Hafs atas dedikasinya.

 

Imam Abi Hisyam al-Rifa’I berkata: “Hafs adalah murid Imam ‘Asim yang paling mengerti atas qiraat ‘Asim, dia lebih unggul daripada Imam Syu’bah dalam soal ketepatan huruf (dhabt al-huruf).

 

Imam al-Dzahabi berkata: “Dia seorang yang tsiqah (dipercayai), tsabat (mantap), dan tepat (dhabt)”. 

 

Imam al-Munadi berkata: “Dia membaca kepada Imam ‘Asim berulangkali. Para ulama terdahulu mengangggapnya sebagai orang yang hafal melebihi Imam Syu’bah, dan menyifatkannya sebagai orang yang tepat dalam mengucapkan huruf yang diajarkan oleh Imam ‘Asim”.

 

Imam Hafs menyatakan bahwa riwayat bacaannya tidak ada yang menyalahi qiraat Imam ‘Asim kecuali pada satu kata: iaitu pada Surat ar-Rum ayat 54 (ضعفا، ضعف). Pada kata itu, Imam Hafs membaca dengan dhammah (pada huruf dhad), sedangkan Imam ‘Asim membaca dengan fathah. Ertinya, Imam Hafs dalam hal ini memiliki dua bacaan, iaitu dhammah dan fathah.

 

Dalam masalah ini, Imam Hafs mengikuti kebanyakan ulama qiraat yang lebih memilih membaca dhammah dan tidak meninggalkan bacaan gurunya. Sehingga Imam al-Syatibi menyampaikan tentang masalah ini dengan dua pendapat: dibaca dhammah dan fathah.

 

Murid-murid Imam Hafs

 

Ada ramai sekali murid Imam Hafs bahkan tak terhitung jumlahnya, baik yang belajar secara langsung (ardh) mahupun sima’an saja, sebab ia pernah singgah di dua negara dan mengajar di sana, salah satu muridnya adalah: Husain bin Muhammad al-Maruzi, Amr bin al-Shabbah, Ubaid bin Shabbah, al-Fadhl bin Yahya al-Anbari dan Abu Syuaib al-Qawwas.

 

Setelah mengabdikan dirinya kepada kalam-Nya, beliau wafat pada tahun 180 H.

 

Wallahu A’lam

 

 

Ustadz Moh. Fathurrozi, Pecinta Ilmu Qira’at, Kaprodi Ilmu Al-Qur'an dan Tafsir IAI Al Khoziny Buduran Sidoarjo 

 

(Tulisan disadur dari kitab “Tarikh al-Qurra’ al-Asyrah wa ruwwatuhum” karya Syekh Abdul Fattah al-Qadhi, [Kairo: Maktabah al-Qahirah], 2010, hal, 28; dan "Mu'jam Huffadz Al-Qur'an Abra al-Tarikh" karya Salim Muhaisin. Jilid I, [Bairut: Dar al-Jayl], 1992. hal. 210 dan 294)

Artikel asal : http://www.nu.or.id/post/read/102946/imam-hafs-dan-imam-syubah-dua-perawi-qiraat-imam-ashim

#alqurankaryabestari #karyabestari #alquranamazing
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });