ADA KE SOLAT HORMAT WAKTU?


Ustaz Syed Shahridzan | 27-06-2019

SOLAT HORMAT WAKTU

 

Soalan: Ada seorang ustaz muda dalam ceramahnya menyatakan dalam fiqh tiada ‘solat hormat waktu.’ Adakah benar kenyataan ustaz tersebut?

 

Jawapan:

 

Istilah ‘solat hormat waktu’ ialah istilah yang sering kali digunakan oleh ulama-ulama mazhab Syafi’ie yang mana ia memberi maksud solat dalam keadaan tidak cukup syarat sah solat seperti tiada air untuk berwuduk dan tanah untuk bertayammum. Permasalahan ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam karangan-karangan beliau.

 

Dalam erti kata yang lain, jika seseorang itu dalam keadaan berhadas namun tiada air dan tanah, maka wajib jua mengerjakan solat dalam keadaan berhadas sebagai menghormati waktu.

 

Di sini saya datangkan fatwa ulama mazhab Hanbali yang agak kontroversi iaitu Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Apa kata beliau tentang solat hormat waktu? Beliau berkata di dalam Majmu’ Fatawa:

 

فلا يجوز تأخير الصلاة عن وقتها لجنابة ولا حدث ولا نجاسة ولا غير ذلك ، بل يصلي في الوقت بحسب حاله

 

“Tidak boleh melewatkan solat dari waktunya (tamat waktu solat) disebabkan junub, hadas, najis dan selain dari itu. Bahkan, mendirikan solat pada waktu itu menurut keadaannya."

 

Jadi, fatwa Imam Ibn Taimiyyah ini menjelaskan pendirian beliau yang mengabsahkan pensyariatan solat hormat waktu iaitu solat dalam keadaan berhadas atau seumpamanya kerana tiada bahan untuk mengangkat hadas atau bersuci. Jelas, ulama Syafi’iyyah tidak bersendirian dalam hal ini.

 

Pendapat yang mewajibkan solat hormat waktu berdasarkan dalil dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Sayyidah ‘Aisyah r.anha ketika dalam pemusafiran, lalu kalung rantai yang dipakai oleh beliau hilang tercicir.

 

Rasulullah SAW menghantar Asid bin Hadr dan Anas bin Malik r.anhuma untuk mencari kalung ‘Aisyah yang hilang yang dipinjam dari Sayyidah Asma’ r.anha. Apabila tiba waktu solat mereka tidak menjumpai air, lalu menunaikan solat tanpa bersuci. Apabila diajukan hal tersebut kepada Baginda, turunlah ayat perintah untuk bertayyamum.

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA