RAMADHAN: Berita Gembira Bagi Mereka Yang Berpuasa


Ustaz Abdul Razak Muthalib | 15-05-2019

RAMADHAN: Berita Gembira Bagi Mereka Yang Berpuasa

“Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui” (al-Baqarah:184).

Nampak begitu ringkas. Tetapi manakan sama antara ringkasnya pernyataan Allah ini dengan kata-kata makhluk-Nya. Cukuplah bagi seorang hamba yang beriman kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui untuk meyakini jaminan yang diberikan ini.

Ibadah puasa bukanlah suatu yang membebankan. Ia merupakan satu peluang yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla untuk kita mencari dan mengumpul sebanyak mungkin pahala buat bekalan dan kesenangan di negeri akhirat.

Sepatutnya, seorang hamba yang tulus iman dan setia ketaatannya tidak perlu lagi bertanya apakah hikmah dan kelebihan di sebalik perintah Allah ini. Namun, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah lekang dari memberi galakan dan motivasi untuk umatnya supaya membuktikan keimanan ini dengan menjalankan perintah Allah Azza wa Jalla dengan penuh sempurna dan mengharapkan balasan yang dijanjikan.

Justeru, baginda sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan khabar gembira untuk mereka yang berpuasa. Berbahagialah wahai  orang yang berpuasa dengan perkhabaran ini:

1- Puasa sebagai perisai

Di dalam satu hadis, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kepada mereka yang bersangatan keinginannya untuk berkahwin, tetapi tidak mampu, supaya berpuasa. Pesan baginda:

”Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk kahwin, maka berkahwinlah. Sesunguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya”. Riwayat al-Bukhari (no 5066)

Oleh itu, dengan berpuasa, seseorang akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus ke kancah maksiat dan penzinaan yang diharamkan. Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.

Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas hadis ini di dalam Fath al-Bari berkata: ”Pada prinsipnya, apa yang dituntut daripada amalan puasa itu adalah memecahkan syahwat”. (Al-Asqalani, Ibn Hajr, Fath al-Bari, (Riyahd: Darul Salam, cetakan 1, 2000M) 9/138)

Di dalam hadis lain dinyatakan puasa menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

”Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan”. (Riwayat Imam al-Bukhari  & Muslim (no 1153).

2- Puasa dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga

Apabila ibadah puasa dapat menjauhkan seseorang daripada api neraka, maka ia akan mendekatnya pula dengan syurga.

Daripada Abu Umamah berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang aku dapat masuk syurga dengannya.

Nabi SAW menjawab:

”Hendaklah engkau berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya”. (Riwayat al-Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim, dan sanadnya adalah sahih)

3- pahala puasa tiada hadnya, Dua kegembiraan untuk yang berpuasa dan bau dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.

Ketiga-tiga kelebihan ini dinyatakan oleh Rasulullah di dalam satu hadis qudsi. Daripada Abu Hurairah,  bahawa Rasulullah SAW menyatakan Allah swt berfirman:

Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar.

Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi Tuhan yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya”.  (Riwayat al-Bukhari (no 1904) & Muslim (no 1151)

Di dalam hadis qudsi ini, Allah s.w.t menyatakan bahawa puasa mempunyai ganjaran yang sangat berganda banyaknya berbanding dengan amalan-amalan lain. Jika amalan yang lain dijanjikan ganjaran pahala sehingga tujuh ratus pahala dan lebih, tetapi bagi puasa hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak dinyatakan kadar pahalanya. Maka Allah s.w.t akan menambahkan pahala mengikut kehendak-Nya sehingga mungkin tidak dapat dihitung oleh manusia.

Bagi orang yang berpuasa juga akan menikmati dan mengecapi dua kegembiraan; kegembiraan dunia dan kegembiraan akhirat. Bayangkan setelah sehari suntuk kita menahan diri dari lapar dan dahaga, lalu tiba saat terbenamnya matahari, kita dapat menikmati juadah bagi menghilangkan lapar dan dahaganya. Inilah kegembiraan di dunia.

Manakala kegembiraan yang lebih besar dan utama adalah tatkala bertemu dengan Tuhan di akhirat kelak. Detik itu, kita akan dapat melihat dan mengecapi segala ganjaran besar yang telah disediakan sebagai balasan kepada ketaatan yang telah kita persembahkan.

Bau mulut orang yang berpuasa juga lebih wangi disisi Allah daripada bau kasturi pada hari Akhirat. Ia menjadi tanda seseorang itu termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa semasa di dunia dan dia berhak untuk mendapat segala balasan yang telah dijanjikan.

4- Al-Rayyan untuk orang yang berpuasa.

Al-Rayyan adalah salah satu pintu syurga. Ia disediakan hanya untuk mereka yang berpuasa.

Daripada Sahl bin Said, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini”. (Riwayat al-Bukhari (no 1896) & Muslim (no 1152)

Mari bersama-sama kita pertingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa. Mudah-mudahan objektif ketakwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar  dapat dicapai dan dihayati. Janganlah  sesekali kita alpa dan lalai untuk bergantung harap kepada redha dan ganjaran istimewa yang dijanjikan untuk mereka yang berpuasa.

Wahai orang yang berpuasa, bergembiralah dengan khabar gembira ini!

BUKU BERKAITAN

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA