TERJAWABKAH DOA KITA?


Saban waktu kita berdoa kepada Allah Swt, dengan harapan apa yang diimpikan itu tercapai. Bukan sebulan atau dua kita berdoa tetapi memakan masa sehingga bertahun lamanya.

Ini realiti.

Bagi yang istiqamah dalam bersabar, akan tetap terus berdoa walau dalam apa jua situasi yang dihadapi. Manakala bagi yang cepat berputus asa, doa mereka akan terhenti bila-bila masa sahaja.

Jujurnya, berdoa bukan hanya semata-mata kerana keinginan sahaja. Malah ia juga sebuah pengharapan. Kepada siapa lagi mahu disandarkan sebuah pengharapan kecuali kepada Dia, Yang Maha Mengabulkan.

Namun, disebabkan sikap manusia yang sukar menerima takdir, timbullah dalam diri rasa kecewa, marah bahkan bersedih. Padahal, Allah sudah berjanji akan mengangkat setiap doa yang dipanjatkan.

“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.” - Al-Ghaafir: 60

Persoalannya ialah, adakah doa kita selama ini terjawab?

Untuk menjawab soalan itu, cuba pula tanya pada diri. Adakah cara kita berdoa itu sudah betul? Atau  selama ini kita hanya syok sendiri sahaja?

Sebenarnya, berdoalah walau dengan apa cara sekalipun, Tuhan tetap akan mendengar. Cuma sesekali itu berhentilah sejenak dan renunglah semula cara kita berdoa.

Pertama, adakah kita meminta dengan penuh pengharapan? Atau sekadar meminta kerana perlu berdoa?

Kedua, bagaimana pula dengan sikap sabar? Pernahkah kita titip sabar dalam diri saat menunggu doa dikabulkan? Atau cepat benar kecewanya sejak saban bertahun-tahun meminta dengan penuh harapan?

Ketiga, adakah kita masih berada dalam maksiat ketika mulut tidak henti meminta doa?

Andai ketiga-tiga perkara ini tidak terjadi pada diri kita, syukurlah. Doa kita pasti akan dikabulkan. Jika sebaliknya, berusahalah memperbaiki diri agar doa kita tidak hanya tergantung antara langit dan bumi.

Allah itu Maha Baik dan Maha Mengetahui. Walaupun kita tidak meminta kepada-Nya, Dia tetap tahu apa yang kita inginkan. Manakala terjawab atau tidak doa kita, serah sahaja kepada Dia. Yang pasti doa kita akan dikabul pada waktu yang tepat.

Percayalah.. saat kita meminta, Allah hanya memberi apa yang kita perlukan. Dan pastinya ia terbaik buat kita. Lambat atau cepat, bukan persoalan tetapi lihatlah apa yang diperoleh.

Sungguh, hikmah doa tidak terjawab sangat besar. Justeru, usah cepat melatah kerana Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik buat semua hamba-Nya.

 

 

 

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });