KHUSYUK YANG HILANG


Tanyalah pada diri, sejauh mana kita bawa hati ketika mengerjakan solat?

Tak usah pergi jauh, paling dekat ialah ketika solat subuh pagi tadi. Adakah kita fokus dengan niat yang diucap iaitu ‘lillahi taala?’ Atau hati dan perasaan masih liar berfikir tentang dunia?

Tidak dinafikan, terlalu hebat cabaran untuk khusyuk dalam solat. Semakin hati mahu khusyuk, semakin itulah datangnya godaan yang tidak terhingga. Ia tidak mudah tetapi akan senang jika jika sungguh-sungguh menyerahkan jiwa kepada Dia Yang disembah. Tapi bagaimana?

Sebenarnya soalan ‘bagaimana mahu khusyuk dalam solat?’ sudah lama terjawab. Bahkan ia tidak lagi menjadi rahsia. Selaklah buku atau artikel yang berkaitan, pasti dapat dibaca beberapa perkara yang membantu untuk khusyuk dalam solat.

Akan tetapi mengapa hati ini seakan keras dan enggan menurut setiap ‘petua’ yang diberi, sehingga solat yang dikerjakan hanya semata-mata perbuatan yang kosong daripada rasa dan penghayatan? Sedar atau tidak, betapa hinanya kita apabila  melalaikan Allah saat Dia berada di hadapan untuk mendengar bicara seorang hamba.

Bagaimana tegarnya kita bersikap begitu saat berhadapan dengan Allah, apabila dengan sahabat sendiri pun kita sangat menghormati mereka? Percayalah, perkara ini hanya disebabkan satu benda yang telah rosak dan perlu dibaiki. Ia dinamakan sebagai hati.

Hati yang rosak bermaksud, hati yang telah menghambakan ‘dirinya’ kepada dunia. Jika begitu keadaannya, mana mungkin solat yang diniatkan semata-mata kerana Allah dapat dilaksanakan dengan sempurna? Ya… mustahil.

Disebabkan itu jugalah rasa khusyuk hanya hadir ketika mengangkat takbiratulihram sahaja. Saat mengqiamkan tangan pula, saat itu jugalah datangnya pelbagai perkara dari ‘dunia’ luar dan dimasukkan di dalam fikiran ketika solat.

Waktu itulah kita akan teringatkan banyak perkara. Bahkan barang yang hilang pun akan ditemui semula saat berada di dalam solat. Sedar tak sedar, kita sudah berada di tahiyat akhir. Ketika memberi salam, ketika itu juga seolah-olah baru tersedar daripada khayal yang panjang.

Saat meraup tangan ke muka setelah memberi salam, ketika itu jugalah mula terlintas di hati, ‘Apa yang aku baca sebentar tadi?’ Sayangnya, solat tadi dirasa sangat sempurna bahkan tiada rasa bersalah, apa lagi untuk mengulang semula solat yang hakikatnya telah ‘rosak’.

Inikah sifat seorang hamba yang niat solatnya ‘lillahi taala’? Hanya setakat ini sahajakah persembahan kita kepada Allah Yang Maha Memberi segala sesuatu walau tidak dipinta? Tidak malukah kepada Allah Yang Maha Baik?

Justeru, perbaikilah hati terlebih dahulu. Kerana hati yang baik akan menghasilkan perbuatan yang baik juga. Andai hati kita seakan sudah rosak, berdoalah agar diberikan hati yang baru. Semoga dengannya dapat memperbaiki solat yang sekian lama hilang khusyuknya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });