SYUKUR YANG TERLUPAKAN



Dari segi istilah syukur maksudnya lebat atau penuh. Manakala dari segi bahasa pula syukur bermaksud pujian atau berterima kasih terhadap sesuatu yang diperoleh daripada Allah swt.

Orang yang bersyukur adalah orang yang melihat kelebihan yang dimiliki dan bukannya mengira kekurangan yang tiada pada dirinya. Namun hari ini ramai manusia yang bersifat tamak apalagi untuk mengucap syukur kepada Allah yang memberi nikmat.

Apatah lagi syaitan juga telah bersumpah dengan firman Allah Swt yang bermaksud:

"...Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” - Surah al-A’raf ayat 17

Sungguh, salah satu jalan syaitan mengkufurkan manusia adalah dari jalan syukur.

Syukur… ucapan yang sukar diucap kecuali setelah mendapat apa yang dihajati. Malah hanya sedikit yang bersyukur walaupun hajatnya langsung tidak diterima oleh Allah Yang Maha Mengabulkan.

Betapa hari ini syukur kita terlalu sedikit untuk dibandingkan dengan nikmat yang Allah beri. Ah.. jangan bohong kalau dikatakan kita pernah, malah acap kali mengeluh dengan nikmat yang dianggap ‘tidak seberapa.’

Saat melihat orang lain meraih bahagia kita pula ada sendu di wajah tatkala sedang menanggung kesusahan. Waktu itu kita mula membanding-banding; kenapa dia begitu dan mengapa aku begini? Tanpa sedar sebenarnya kita sedang mengkufuri nikmat yang Allah berikan tanpa sedar.

Waktu ini di mana janji kita untuk menjadi hamba yang bersyukur?

Tahu atau tidak, dalam keadaan kita yang tidak bersyukur itu, langit telah meminta izin untuk menjatuhkan dirinya ke atas anak Adam bukan kerana memakan nikmat Allah tetapi kerana kufur dengan tidak bersyukur.

Begitu juga dengan gunung-ganang yang meminta kepada Allah untuk mencabut dirinya dan menghempap kita kerana bersyukur atas nikmat kurnia yang diberikan.

Malah, lautan juga telah memohon kepada Allah untuk menenggelamkan kita yang tidak bersyukur ini kerana telah memakan nikmat tetapi tidak sedikitpun mahu bersyukur.

Tahukah apa jawapan Allah terhadap permintaan mereka ini?

“Biarkan aku dengan urusan hamba-hamba-Ku. Kalaulah kamu wahai langit, wahai gunung dan wahai laut yang menciptakan mereka, pasti kamu akan MENGASIHANI mereka.”

Allah.. ya Allah… lihat betapa baiknya Allah kepada kita semua. Masih terus lagi diberi peluang untuk meraih nikmat dah rahmat walaupun kita jauh melupakan-Nya.

Betapa Allah masih memberi kasih-Nya buat kita saat langit, gunung dan laut sangat marah melihat manusia yakni kita yang masih tenggelam dalam kekufuran.

Justeru janganlah malu andai kita sebenarnya sudah lama tidak mengucapkan syukur kerana Allah sentiasa membuka peluang untuk kita kembali kepada-Nya semula. Apa yang penting jangan sekali-kali jauh dengan rahmat Allah kerana dengannya sahaja kita mampu berada dalam pelukan kasih Rabbul Jalil.

Sesungguhnya tiada satu pun perkara yang manusia lakukan bermanfaat kepada Allah, kerana hakikatnya Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia kecuali hanya secebis syukur agar dapat dibalas kasih yang akan kita bawa sampai syurga.


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA