Warkah Cinta Daripada Tuhan


Ustaz Syed Norhisyam | 05-06-2020

Seakan tidak pernah jemu setiap kali membaca warkah cinta daripada insan yang dicintai. Inilah bukti cinta, menjadi pemugar kasih sayang apabila diulang baca setelah bertahun-tahun meniti usia perkahwinan.
Namun, begitu jugakah sikap kita dengan warkah cinta teragung dari Allah SWT yakni al-Quran?

 

Ramai manusia memuliakan al-Quran dengan meletakkanya di tempat yang tinggi dan terbaik, disimpan rapi di dalam almari kaca, sentiasa dibersihkan daripada habuk yang bertandang, hanya diabadikan persis sebuah monumen yang menghuni kediaman. Tidak lebih daripada itu.

 

Tetapi jarang sekali diselak helaian-helaian mulia itu. Kadang-kadang sahaja dilatunkan kalimah-kalimah suci di dalamnya. Sekali sekala juga ditadabbur maknanya saat hati keresahan. Padahal itulah warkah cinta paling agung, kekal selama-lamanya, wahyu Allah SWT buat manusia.

 

Inilah realitinya.

 

Malah lebih parah lagi akibat tiadanya kesedaran tentang betapa pentingnya menghayati kandungan al-Quran di kalangan umat Islam hari ini, menyebabkan golongan kuffar bertepuk tangan mempersendakan kitabullah!

 

Umat Islam semakin kehilangan jati diri akibat jauhnya kehidupan mereka daripada roh al-Quran. Kitabullah ini tidak lagi dijadikan panduan hidup dan berkehidupan. Malah kitab-kitab barat serta budaya-budaya mereka pula diagung-agungkan dan dijadikan cara hidup! 

 

Bacalah Dengan Penghayatan Hati

 

Al-Quran diturunkan sebagai wahyu untuk difahami, dihayati  dan diamalkan akan setiap suruhan dan larangan, hukum-hakam, hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia, cara manusia berkehidupan, dan sebagainya. 

 

Al-Quran adalah panduan hidup dan perlembagaan daripada Allah SWT untuk seluruh umat manusia. Ia menjadi syafaat berguna di akhirat kelak bagi manusia yang menghayatinya.

 

Al-Quran berfungsi mampu merealisasikan penyucian jiwa manusia dengan menunjukkan adab zahir dan batin. Adab zahir seperti berwudhuk, mengenali hukum tajwid, menutup aurat, dan sebagainya.

 

Manakala adab batin pula sebagaimana yang dinukilkan al-Ghazaali dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din bahawa ia bermula dengan memahami keagungan dan ketinggian Allah SWT serta kasih sayang-Nya terhadap seluruh makhluk dengan kurniaan al-Quran. 

 

Pada permulaan bacaan al-Quran, pembaca perlu menghadirkan dalam hati rasa mengagungkan Allah SWT sebagai jurubicara dalam al-Quran serta mengetahui bahawa apa yang dibacanya adalah kata-kata Allah SWT. Justeru, sesuai dengan kemuliaannya, al-Quran hanya boleh disentuh oleh orang yang berada dalam keadaan suci daripada najis serta penuh beradab. 

 

Tujuan utama membaca al-Quran adalah untuk menghayati segala makna yang terkandung serta memahaminya dengan baik, juga beramal dengannya. Penghayatan ini hanya akan lahir setelah hati mampu dihadirkan dengan sebaiknya.

 

Sayyidina `Ali pernah berkata: “Tidak akan ada kebaikan dalam ibadah tanpa adanya pemahaman di dalamnya dan tidak akan ada kebaikan pada pembacaan al-Quran tanpa ada tadabbur di dalamnya.”

 

Justeru, seluruh umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh mencari pemahaman tersebut dalam mencapai satu penghayatan yang sempurna, berupaya dijadikan pengajaran, hikmah dan iktibar. 

 

Setiap ayat al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan, maka ia akan memberikan kesan yang mendalam kepada hati. Perasaan takut dan sedih akan menyelubungi jiwa bila mendengar ayat-ayat berkaitan dosa, azab dan ancaman Allah SWT kepada manusia yang tidak beriman. 

 

Hatinya akan berasa senang dan gembira bila dihayatinya ayat-ayat Allah SWT yang menjelaskan tentang ganjaran pahala, syurga, orang yang soleh sehingga mampu membangkitkan rasa rindu untuk memilikinya. 

 

Dia sama sekali tidak akan memandang dirinya sempurna dan baik. Malah sentiasa meletakkan dirinya di kalangan orang yang serba kekurangan dan tidak sempurna.

 

Bila dia membaca ayat-ayat janji dan sanjungan terhadap orang-orang yang soleh, dia akan membina sifat-sifat soleh dalam dirinya. Bila dia membaca ayat-ayat kecaman dan celaan terhadap orang-orang yang lalai dan berbuat maksiat, maka dia melihat dirinya berada ditempat tersebut dan merasakan bahawa dialah yang dimaksudkan oleh ayat-ayat itu. 

 

Rasa kurang sempurna dan hina di sisi Allah SWT inilah akhirnya akan memberikan motivasi untuk dia berusaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

 

“Dan ingatlah nikmat Allah padamu, dan apa yang diturunkan Allah kepadamu iaitu al-kitab dan al-hikmah. Allah memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkannya itu.” (al-Baqarah : 231)

 

Jika dia mendengar ayat berkenaan sesuatu perintah atau larangan, maka dia akan memahami bahawa ia ditujukan kepadanya. Begitu juga bila mendengar ayat-ayat yang memberikan ancaman, ganjaran, kisah para Nabi. Dia  tahu itu semua adalah untuk diambil iktibar kerana Allah SWT telah berfirman:

 

“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa” (Surah Ali `Imran : 138)

 

SUKARNYA MEMAHAMI AL-QURAN

 

Segelintir manusia tidak dapat memahami al-Quran dengan baik kerana ada halangan tertentu terhadap hati. Mereka gagal menyaksikan keagungan al-Quran dan tidak dapat meneliti pelbagai keajaiban, kemukjizatan, dan rahsia di sebaliknya.

 

Penyebab utamanya ialah hati yang kotor dan gelap akibat mengutamakan keduniaan dan nafsu. Inilah penyebab kepada timbulnya karat dan noda yang akan menghalang hati untuk memahami makna al-Quran.

 

Hakikatnya, semakin berkurangan pengaruh dunia dan nafsu kepada hati manusia, maka kian bersinarlah hati dan mudahlah untuk memahami setiap rahsia al-Quran. Justeru hanya taubat mampu menyinarkan kembali hati yang telah kotor agar pemahaman terhadap makna-makna al-Quran dapat dicapai.

 

Firman Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang yang mengutamakan dunia dan nafsu berbanding akhirat sebagai orang yang tidak berakal kerana mereka gagal mengungkap rahsia al-Quran disebabkan hati yang kotor.

 

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar : 9)

 

GETARKAN HATI, HALUSKAN NILAI JIWA

 

Betapa tinggi dan halusnya nilai jiwa manusia saat setiap ayat Allah SWT dihayati sebaiknya. Nilai-nilai ini akhirnya akan menerangi hati serta menjadi benteng kukuh daripada sebarang kemungkaran dan dosa. 

 

Jadilah seperti para sahabat saat disampaikan ayat-ayat wahyu oleh Rasulullah SAW. Bergetar hati mereka bila diberitakan tentang ancaman Allah SWT dan azab neraka. Namun besar kerinduan mereka terhadap syurga saat diberitakan segala kenikmatan di dalamnya sehingga akhirnya menambahkan lagi keimanan di hati mereka. 

 

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang apabila diingatkan tentang Allah, gementarlah hati merek dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, maka bertambahlah keimanan mereka dan kepada Allah mereka bertawakal.” (al-Anfal : 2) 

 

Lazimilah diri kita dengan membaca al-Quran meskipun secara berdikit-dikit. Usah malu dan khuatir. Anda masih belum terlambat selagi hayat masih dikandung badan. Carilah guru dan berusaha mendalaminya dengan penuh santun dan istiqamah.  
 

Surat Cinta Tuhan
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });