Inilah Hikmah Mengapa Minuman yang Memabukkan Itu Diharamkan


Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan | 03-06-2020

Kedudukan Arak dalam Syariat Islam

 

Dalam Fiqh al-Manhaji (3/75-81), para penulis menjelaskan kedudukan arak dalam Islam.

 

Haram meminum minuman yang memabukkan sama ada arak (خمر), iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain.

 

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)

 

Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.

 

Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.

 

 

Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram

 

Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.

 

Ini berdasarkan hadith daripada Nabi SAW:

 

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

 

Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”
Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

 

Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

 

Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

 

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

 

Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)

 

 

Pengertian Mabuk

 

Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya.

Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.

 

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:

 

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

 

Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

 

Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah SAW:

 

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ

 

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)

 

 

Minuman yang Memabukkan Adalah Najis

 

Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):

 

“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”
(Surah al-Maidah: 90)

 

Perkataan rijsun dengan makna kotor dan najis.

 

 

Hikmah Pengharaman Minuman yang Memabukkan

 

Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.

 

Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.

 

Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.

 

Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.

 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)

 

Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:

 

اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

 

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Riwayat al-Hakim (4/145)

 

Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:

 

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

 

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”
Riwayat al-Nasaie (8/315)

 

Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.

 

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

 

Dalam isu ini, hendaklah dilihat antara dua kondisi ini;

 

     -   Jika agama-agama selain Islam mengizinkannya, maka ia termasuk dalam kebebasan beragama dan kami tidak ada masalah dengannya.

   

      -   Mengadakan pesta arak secara terbuka adalah tidak ada kewajarannya dari sudut pendirian yang matang kerana mempromosikan arak itu sendiri adalah satu hal yang tidak bermanfaat.

 

Kami mengambil kesempatan untuk menasihat seluruh rakyat Malaysia untuk menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak. Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan.

 

Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 % kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.

 

Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya-budaya yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara. Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia. Ia juga lebih signifikan dan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimuran.

 

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 

Kredit foto: PDRM

arakmabuk
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });