Tuhan, mengapa doaku tidak makbul?


Ustaz Syed Norhisyam | 02-06-2020

Pernah tidak kita terfikir,

 

“Ya Allah, kenapa doaku masih belum diperkenankan?”

 

“Ya Allah, kenapa anak-anak aku tidak mendengar cakapku?”

 

“Ya Allah, kenapa isteriku masih melawan bicaraku?”

 

“Ya Allah, kenapa perniagaan aku masih belum berkembang sampai hari ni?”

 

“Ya Allah, kenapa penyakit aku belum sembuh sedangkan aku telah berdoa?”

 

Kita tertanya-tanya kenapa doa belum dimakbulkan, sedangkan kita telah berusaha dan berdoa kepada-Nya tanpa henti.

 

Allah SWT juga telah berjanji di dalam al-Quran,

 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

 

“Berdoalah kepadaku akan aku perkenankan.” (Surah Mukmin: 60)

 

Jadi, mengapa doa kita masih lagi tergantung dan tidak berjawab?

 

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab kepada terhalangnya doa dimakbulkan. Kebanyakannya berpunca daripada diri sendiri sama ada sedar atau tidak. Salah satunya ialah tidak mengambil berat soal halal dan haram terutamanya dalam urusan makanan.

 

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir hingga menyebabkan rambutnya menjadi kusut-masai dan dipenuhi dengan debu kerana perjalanannya yang jauh itu.

 

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

 

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

 

Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: "Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!" Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)

 

Hadis ini menerangkan mengenai seorang lelaki yang sedang bermusafir dan memohon agar dimakbulkan doanya. Walaupun bermusafir merupakan salah satu waktu mustajabnya doa, akan tetapi disebabkan makanan, minuman dan pakaiannya daripada sumber yang haram, maka Allah SWT telah menolak doa hamba-Nya itu.

 

Percayalah, sekalipun kita berdoa di hadapan Kaabah ataupun pada malam lailatulqadar, Allah SWT tetap tidak menerima permintaan hamba-Nya  apabila sumber rezeki datangnya daripada unsur yang haram dan tidak halal.

 

Sumber tidak halal dapat dikategorikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah fizikalnya yang haram seperti bangkai, daging anjing dan babi, arak dan beberapa makanan lain yang jelas haram untuk dimakan.

 

Kumpulan kedua pula ialah fizikalnya yang halal seperti nasi, buah-buahan, sayuran, roti atau apa sahaja makan ruji setiap manusia. Akan tetapi, sumber makanan ini bertukar menjadi haram apabila duit yang digunakan untuk membelinya diperoleh dengan cara yang haram.

 

Saya yakin ramai di antara kita yang mencegah diri daripada makan makanan haram kategori pertama ini. Tetapi tidak ramai yang cakna dengan kumpulan kedua. Jika diperhatikan, berapa ramai dalam kalangan kita yang;

 

‘Membeli makanan dan pakaian daripada duit hasil menipu dalam perniagaan.’

 

‘Membeli makanan dengan hasil rasuah dalam pekerjaannya.’

 

‘Membeli makanan dan minuman dengan menipu partner dalam perniagaan.’

 

‘Membeli makanan dan minuman hasil menipu rakan karib sendiri.’

 

‘Membeli makanan, minuman dan pakaian menggunakan duit hutang yang sengaja tidak mahu dibayar.’

 

Kaitan antara makanan halal dengan mustajabnya doa dapat juga kita fahami dengan jelas dari satu hadis yang datangnya daripada Rasulullah SAW. Pada suatu hari seorang sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqaf r.a datang bertemu Rasulullah SAW. Kata Saad, “Wahai Rasulullah, tolonglah doakan aku agar menjadi orang yang sentiasa mustajab doa.” Lalu kata Baginda;

 

“أَطِبْ مطْعَمَك تكن مُجاب الدَّعوة”

 

Perbaikilah makananmu, maka doamu akan mustajab.” (Riwayat at-Thabrani)

 

Lihatlah, betapa pentingnya sumber makanan yang kita peroleh. Justeru, jadilah orang yang cermat dalam setiap perkara terutamanya urusan yang melibatkan sumber makanan. Betapa setiap makanan yang kita makan itu amat memberi kesan terhadap ibadah dan doa di sepanjang kehidupan.

 

Lebih menyedihkan apabila doa isteri dan anak-anak juga tidak diterima hanya disebabkan kita memberi mereka sumber makanan yang tidak halal. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang hamba apabila doanya tidak lagi dipandang oleh Allah SWT?

 

KETAKUTAN ABU BAKAR TERHADAP MAKANAN HARAM

 

Saya teringat sebuah kisah yang berlaku kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Pada suatu hari khadamnya datang membawa makanan lalu diajak Sayidina Abu Bakar sama-sama menikmati makanan tersebut.

 

Setelah selesai makan, khadamnya bertanya, “Wahai Sayidina Abu Bakar, selalunya setiap kali aku membawa makanan dan mengajak tuan makan, selalunya tuan akan bertanya dari manakah makanan ini diperolehi. Kenapa pada hari ini tuan tidak bertanya soalan tersebut?.”

 

Kata Sayidina Abu bakar, “Aku terlupa kerana sebentar tadi aku terlalu lapar lalu aku terus makan. Wahai khadamku, dari manakah kamu memperolehi makanan ini? Beritahulah kepada aku walaupun aku telah memakannya.”

 

Lalu khadam ini menjawab “Wahai Sayidina Abu Bakar, dahulu pada zaman jahiliah, aku pernah bekerja sebagai penilik nasib. Ketika itu, aku pernah menilik nasib seseorang lalu tadi aku telah berjumpa dengan orang tersebut. Dan dia menyatakan bahawa tilikan nasib yang aku lakukan dahulu di zaman jahiliah benar-benar telah berlaku. Lalu dia telah memberi upah kepadaku. Dengan duit itulah aku membeli makanan ini dan mengajak kamu makan bersama.”

 

Kata Sayidina Abu Bakar, “Celaka kamu, kamu telah merosakkan aku.”

 

Lalu terus Sayidina Abu Bakar memasukkan jari ke kerongkongnya dan berusaha memuntahkan kembali makanan yang telah ditelan. Lalu khadamnya bertanya, “Wahai Abu Bakar, sampai begini sekali kamu sanggup muntahkan makanan itu.”

 

Kata Sayidina Abu Bakar, “Aku sanggup walaupun sekiranya aku terpaksa mengeluarkan nyawaku untuk mengeluarkan kembali makanan haram ini, nescaya akan aku lakukan! Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, daripada sumber yang haram akan menjadi bahan bakar api neraka. Nerakalah yang lebih layak untuknya.”

 

Dalam situasi ini adakah Sayidina Abu Bakar dikira berdosa?

 

Jawapannya tidak. Sayidina Abu Bakar tidak dikira berdosa kerana ketika itu dia tidak mengetahui sumber makanan itu. Disebabkan akhlak Sayidina Abu Bakar yang warak, tinggi ketakwaan dan keimanan menyebabkannya sangat berhati-hati menjaga anggota badannya daripada menerima makanan yang tidak jelas sumbernya.

 

Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk memastikan setiap suapan rezeki ke mulut isteri dan anak-anak halal dan suci di sisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 88:

 

وَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللّهُ حَلاَلاً طَيِّبًا وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِيَ أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ

 

“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah berikan rezeki kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.”

 

Moga-moga asbab kita menjaga diri daripada perkara syubhah akan dapat meraih keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

 

 

 

 

 

Doa tidak Makbul
BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });