10 Malam Terakhir Ramadan: Kisah Hati Busuk


Ustaz Hanafiah Abdul Malek | 18-05-2020

Orang selalu berkata bahawa;

 

“Hati yang busuk tidak boleh dihidu, tetapi boleh dikenal melalui kata-kata yang kotor, perbuatan yang keji dan jahat.”

 

Betapa bahayanya manusia yang berhati busuk?

 

Ramai yang mengaitkan busuk hati dengan perasaan cemburu dan hasad dengki.

 

Ya! Memang benar, manusia busuk hati memang mudah berasa cemburu, tetapi cemburu dalam aspek yang negatif, ada sahaja orang yang cemburu yang positif di mana ia membuatkan seseorang itu berusaha lebih gigih untuk menjadi lebih baik daripada insan yang dicemburuinya.

 

Tetapi cemburu manusia yang busuk hati menjurus kepada sifat hasad dengki dan seterusnya membawa kepada perbuatan khianat. Perbuatan khianat pula ada pelbagai jenis, dari fitnah, sabotaj, mengadu domba, melaga-lagakan orang dan banyak lagi cabang perbuatan khianat.

 

Sebutkan saja apa jenisnya, manusia-manusia yang busuk hatinya sanggup lakukan apa sahaja asal hatinya puas melihat orang lain susah, diaibkan, kerugian, ditimpa kecelakaan atau kemalangan.

 

Bagaimana mengenal orang yang berhati busuk?

 

Antara cara paling senang nak kenal manusia busuk hati adalah dari cara pergaulan dan komunikasi mereka, kalau berbicara mereka lebih gemar berbicara tentang orang lain. Gemar bercakap tentang keburukan orang lain, tentang kelemahan dan keaiban serta sering mempersendakan orang lain. Pantang nampak orang yang didengkinya, mulalah keluar cerita dari A sampailah ke Z.

 

Sudah tentu dalam kalangan kita, ada yang biasa berdepan dengan insan sebegini. Pernah tak kita lihat macam mana kehidupan sehariannya? Hidupnya sering dalam keadaan resah, bimbang, sakit hati atau iri hati dengan orang lain dan banyak lagi sifat mazmumah yang lain.

 

“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

 

MANIS DI MULUT DAN BUSUK DI HATI 

 

Dalam banyak penyakit hati, nifak atau munafik adalah penyakit hati yang paling bahaya. Mengapa? Dari luarnya menampakkan keIslaman dan kebaikan tetapi sebenarny menyembunyikan kekufuran dan kefasikannya.

 

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Akan keluar di akhir zaman lelaki yang bertaubat tipu daya dengan memakai nama agama di dunia ini. Mereka menganjurkan manusia agar berpakaian yang baik (taubat) dari bulu domba yang halus. Lidah mereka lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka bagaikan serigala.” (Riwayat at-Tirmizi) 

 

Dalam hadis itu Rasulullah SAW memberikan isyarat bahawa pada masa hadapan, akan muncul orang-orang yang mempunyai sifat munafik. Apa yang keluar dari mulutnya dan kata-katanya, tidak sesuai dengan kehendak hati. Apa yang dianjurkan sebenarnya hatinya membenci, fatwanya hanya untuk tipu muslihat sahaja.

 

Orang munafik manis mulutnya dalam berkata-kata, pandai membawa diri, seakan-akan dia menaruh perhatian dan memikirkan kepentingan orang lain. Kalau perlu, nama Allah disebut-sebut dalam setiap kata-kata agar orang lain percaya kepadanya.

 

Semakin banyak dia berkata-kata, semakin banyak pula nama Allah disebut, sedangkan di dalam hatinya dia menyimpan rasa dendam dan permusuhan. Apa yang dijadikan pedoman bukanlah kebenaran dan bukan nama Allah, dia hanya bermain di mulut. Dia menyimpan segala perancangan yang berbeza daripada kemahuan Allah, tetapi untuk menyembunyikan niatnya itu dia bermulut manis.

 

Sifat orang-orang munafiq diabadikan dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman;

 

“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 204) 

 

“Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Al-Baqarah: Ayat 205) 

 

Ustaz, bagaimana kita mahu menghindari orang yang busuk hati? Saya rasa sedih bila mana ada rakan saya yang bersikap sedemikian?

 

Sebagai orang Islam kita kena banyak berdoa. Orang yang tidak berdoa, orang ini punya masalah hati. Jangan sombong… apa sahaja kita nak buat untuk Islam kita kena banyak berdoa. Begitu juga kalau mahu menghindari daripada orang yang paling busuk hati… iaitu syaitan.

 

Saya sering berpesan kepada kawan-kawan atau pada mereka yang sering di hina, diaibkan, diperli, dijatuhkan dengan cara yang salah dan difitnah. Sepatutnya kita tidak perlu bersedih hati, bahkan melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.

 

‘Alhamdulillah ya Allah…”

 

Sebenarnya kita adalah orang yang sangat beruntung kerana dengan mudah kita akan sering mendapat pahala yang percuma. Bahkan jika orang yang menzalimi kita tidak cukup pahala untuk diberi kepada kita, nescaya dosa kita akan berpindah kepadanya.

 

Jadi, kenapa kita perlu bersedih?

 

Jika kita diperlakukan sedemikian, ketahuilah bahawa doa kita itu tiada hijabnya dengan Allah. Asalkan kita redha dan berlapang dada. Biarlah orang lain melakukan kezaliman kepada kita. Jangan kita pula yang berbuat demikian sebagai membalas.

 

Memang tidak dapat dinafikan, banyak orang akan mencanang segala perkara yang dilakukan. Apakah kita juga ingin melakukan demikian. Kita ingin mendapat keredhaan Allah, atau pujian daripada orang lain. Tiada guna kita dijulang manusia, kalau di sisi Allah kita diletakkan di darjah yang terhina.

 

Busuk hati itu ada di mana-mana. Bukankah Allah telah mengazab orang yang busuk hati ini di dunia lagi. Jiwanya tidak pernah tenang. Mereka disibukkan untuk mengintai-intai keaiban orang. Bahkan perbuatan mereka sangat merugikan. Penuh keburukan. Orang yang busuk hati dengan orang lain, jiwanya sangat terseksa. Sangat terbakar, membara, dan tidak senang dengan kelebihan sesiapapun, walaupun tiada kaitan pada dirinya.

 

Oleh sebab itu apa yang perlu kita gusarkan. Yakinlah… semakin kita diperlakukan demikian, rezeki dan keberkatan hidup kita di sisi Allah semakin bertambah-tambah. Yang penting, kita redha dengan setiap ujian dan mehnah dalam kehidupan. Mungkin mereka tidak pernah merasa nikmat ketenangan sedangkan ketenangan itu satu perkara yang tidak dapat dijual beli.

 

Yakinlah… orang-orang yang demikian, jiwanya tidak pernah tenang dan tenteram. Bahkan mereka tidak dapat melepaskan diri daripada dosa terhadap anak Adam. Jika mereka tidak dapat memohon maaf dari empunya badan, setiap apa yang diperlakukan.

 

Kita fikir, mereka ini, mudahkah untuk menyatakan segala perbuatan yang telah mereka kerjakan untuk melakukan demikian pada seseorang. Mereka tangkas melakukan, tapi mereka sangat takut untuk berhadapan dengan kebenaran.

 

Mereka adalah orang yang sangat susah mengakui kesilapan-kesilapan dan perbuatan-perbuatan jijik yang telah mereka lakukan. Mereka ni biasanya bermulut manis dengan orang-orang yang berkedudukan. Mereka mencari nama dengan cara yang penuh kesalahan. Namun… percayalah sebesar zarahpun setiap perbuatan itu dalam perhitungan Allah SWT.

 

Hati Busuk
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });