Darah Haid Terputus-Putus. Sahkah Puasa saya?


“Assalamualaikum ustaz..nak tanya hukum berkaitan haid. Apa hukum puasa jika haid datang sehari dua, lepas tu hilang. Sehari dua lepas tu datang balik semula? Tapi semua ni masih dalam tempoh haid 15 hari.”

 

JAWAPAN

Dalam isu ini ada dua pendapat di dalam mazhab Syafi’ie:

 

{Pendapat pertama}

Pendapat pertama iaitu pendapat yang muktamad, seluruh darah yang keluar dalam tempoh 15 hari yang mana apabila dihimpun bilangan tempoh darah keluar mencapai tempoh 24 jam sekurang-kurangnya ialah darah haid.

 

Jika dihimpun tempoh-tempoh darah tersebut ternyata kurang dari 24 jam maka ia dikira sebagai darah istihadah. Begitu juga dalam tempoh naqa’ iaitu tempoh darah berhenti di celah-celah darah keluar juga dikira sebagai tempoh haid. Oleh itu solat atau puasa yang ditunaikan dalam tempoh naqa’(tidak keluar darah) itu dikira tidak sah.

 

Secara jelas permasalahan ini tertakluk kepada beberapa syarat yang melibatkan tempoh maksimum dan minimum haid serta tempoh naqa’, iaitu:

 

1. Jumlah hari berlakunya permasalahan ini tidak melebihi 15 hari. Jika lebih dari tempoh ini maka hari ke 16 ke atas dikira sebagai istihadah.

2. Tempoh darah keluar dalam 15 hari tidak kurang dari 24 jam. Jika kurang maka ia dikira sebagai darah istihadah.

3. Tempoh naqa’ berlaku di antara waktu-waktu keluar haid iaitu 15 hari. Jika naqa’ yang berselang berlaku selepas 15 hari tidak dikira sebagai tempoh haid sepertimana darah yang keluar selepas 15 hari tidak dikira haid, malah ia dikira sebagai istihadah.

 

{Pendapat kedua}

Tempoh atau jumlah hari yang keluarnya darah dikira sebagai darah haid. Manakala tempoh naqa’ iaitu tempoh darah tidak keluar(selang-seli) dikira tempoh suci dan wajib dilaksanakan solat atau puasa di bulan Ramadan. Pendapat ini juga tertakluk kepada syarat tempoh maksimum dan minimum haid (Rujuk no. 1, 2 dan 3).

 

Jika tempoh darah yang dihimpun dalam 15 hari itu kurang tempoh 24 jam maka dikira sebagai istihadah. Oleh itu solat atau puasa yang ditinggalkan dalam tempoh keluar darah itu wajib diqada.

 

Meskipun pendapat pertama merupakan pendapat yang muktamad(pendapat rajih/kuat) di sisi mazhab Syafi’ie. Namun sesiapa yang mahu meneruskan puasa pada hari tidak keluar darah (berselang-selang hari) tiada halangan untuk beramal dengan pendapat yang kedua. Kerana ia difatwakan oleh sebahagian ulama mutakhir mazhab Syafi’ie begitu juga guru-guru kami.

 

 

kredit artikel: Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil

Gambar: https://engoo.mx/

hukumpuasaRamadanakidah
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });