Tiga Amalan Yang Rasulullah SAW Lakukan Pada 10 Malam Terakhir


Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

 

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.

Riwayat Muslim (1175)

 

Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.anha:

 

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

 

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).‏

Riwayat al-Bukhari (2024)

 

 

Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:

 

Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda.

 

Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

 

Kedua: Menghidupkan malam.

Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:

 

   - Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.

   - Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.

 

Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

 

Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata: (Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.

 

Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

 

Ketiga: Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.

Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:

 

أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان

 

Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?

Riwayat al-Bukhari (1127)

 

 

Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadr

 

Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:

 

Pertama: Dosa-dosa kecil diampunkan.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

 

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

 

Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

 

Kedua: Ganjaran amalan melebihi seribu bulan.

Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

 

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ

 

Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

Surah al-Qadr (3)

 

Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (lailatul qadr) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).

 

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

lailatul qadarramadan10 malam terakhiribadahnabi
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });