Rokok Dan Vape Sebagai ‘Juadah’ Berbuka, Apa Hukumnya?


“Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tiada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar, maka minum dengan satu tegukan air.”(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Setiap kali berbuka puasa, kita sering diingatkan dengan sunnah bahawa Rasulullah berbuka dengan benda manis, sama ada makanan atau minuman. Kita pula cenderung untuk makan manisan yang melampau dengan alasan ia adalah sunnah.

 

Sebenarnya, berbuka dengan benda manis di sini dijelaskan ialah dengan kurma kerana itu merupakan amalan ataupun sunnah Rasulullah. Namun, jika tiada kurma pada hari tersebut, baginda akan berbuka dengan mendahului minum air putih.

Oleh disebabkan itu, kita disunatkan untuk berbuka dengan kurma dan bukannya dengan benda manis yang melampau seperti cendol, milo tabur dan ABC. Makan makanan yang berkhasiat juga dikira sebagai sunnah nabi untuk menjaga kesihatan diri.

 

Apa Hukum Merokok?

Bagaimana pula dengan mereka yang berbuka puasa dengan rokok atau vape? Apa hukumnya? Sebenarnya persoalan ini telah lama dan banyak kali diajukan oleh golongan perokok tidak kiralah yang tegar atau tidak.

Sebelum kita lihat hukum berbuka puasa dengan rokok, apa kata kita dalami terlebih dahulu hukum menghisap rokok yang sebenar.

 

Menurut jawapan mufti dan para ilmuwan, mereka meletakkan hukum haram. Hal ini kerana Allah melarang umatnya mendekati sesuatu yang membahayakan dirinya dan sekeliling. Ini adalah berdasarkan hadis yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Tidak boleh menimbulkan bahaya dan tidak boleh membahayakan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majar dan Ad-Daruquthni)

 

Setiap perkara yang membahayakan seseorang dan yang bersifat memabukkan, ia adalah haram. Jika kita lihat, rokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah kepada mereka yang berada di sekeliling dan juga alam sekitar.

Bahan yang terkandung dalam rokok pula adalah antara bahan yang merbahaya seperti nikotin, tar dan metanol yang boleh menyebabkan kanser paru-paru dan serangan jantung. Ia juga boleh menyebabkan perempuan yang hamil gugur kandungannya jika menyedut asap rokok tersebut dengan kerap.

 

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).” (Surah al-Baqara, 2:195)

 

Bagi rokok eletrik atau dikenali dengan vape, ia telah muncul pada tahun 2004 di Cina. Ia mengandungi bateri dan beberapa paip yang mengalirkan nikotin serta perasa lain. Ada banyak perasa yang dikeluarkan dan dijual di kedai-kedai seperti stawberi, anggur dan sebagainya.

 

Pada pangkal rokok ini terdapat lubang untuk menghisap seperti rokok biasa supaya pengguna dapat merasa aura seperti sedang menghisap rokok. Sebelum ini, banyak negara yang telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik ini kerana isu kesihatan dan bimbang bahaya yang akan datang daripada rokok tersebut. Antara negara tersebut ialah Australia, Kanada, Brazil dan Argentina.

 

Menurut hukum Islam pula, mereka turut meletakkan hukum haram kerana kandungan yang ada dalam rokok tersebut dan boleh membahayakan kesihatan. Kandungan nikotin menunjukkan tiada perbezaan dengan rokok biasa. Nikotin merupakan bahan yang paling bahaya dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, hukum merokok sama ada dengan rokok biasa mahupun elektronik adalah haram. Sama juga dengan mereka yang menjualnya.

 

Jadi, bagaimana pula dengan rokok yang dijadikan sebagai ‘juadah pertama’ berbuka puasa?

 

Syeikh Muhammad bin Salih al- ‘Utsaimin pernah ditanya berkenaan hal ini:

“Allah memberi ujian kepada saya dengan keinginan merokok. Kemudian ia meminta agar didoakan perlindungan. Ia berkata, yang paling terakhir saya lakukan ketika sahur adalah merokok satu batang. Ketika mendengar azan Maghrib, saya tidak akan berbuka kecuali dengan merokok terlebih dahulu sebelum minum dan makan. Apakah ada masalah dalam hal ini?”

 

Beliau menjawab: “Adapun keadaannya menutup sahur dengan merokok dan berbuka dengan rokok juga, maka perlu diketahui bahawa merokok hukumnya haram. Baik dalam keadaan ini ataupun keadaan lainnya. Kerana ia boleh membahayakan kesihatan, harta dan agama. Tidak boleh melakukan perbuatan ini walaupun ia merokok sebelum sahur kerana ini haram. Walaupun juga ia merokok setelah berbuka dengan kurma atau air, ini juga dikira haram.”

 

Jelaslah di sini bahawa berbuka puasa dengan benda haram adalah haram hukumnya dan berdosa sama ada dia berbuka dengan mendahului benda haram atau selepasnya. Namun, puasanya masih sah dan tidak batal kerana dia tidak merokok sebelum waktu berbuka.

 

Kesimpulan

Oleh itu, sebagai muslim yang sentiasa inginkan dirinya agar berada dalam rahmat Allah, kita perlu berusaha untuk berhenti daripada perkara-perkara yang boleh membahayakan kesihatan.

Bukankah menjaga kesihatan, sama ada memberi makan dan minum dengan makanan yang berkhasiat dan juga menghalang diri kita daripada unsur yang haram dan membahayakan kesihatan itu juga dikira sebagai melaksanakan hak kepada diri sendiri. Berdosa sekiranya kita menzalimi diri sendiri.

 

Sumber artikel: Tzkrh.com

gambar: Webmd.com 

 

rokokvapehukumbahaya
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });