7 AMALAN MUDAH 'KEJAR' PAHALA BERLIPAT GANDA SEPANJANG BULAN RAMADAN


Pelbagai amalan yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan ini untuk mengejar ganjaran yang ALLAH SWT janjikan. Antara 7 perkara yang senang untuk dilakukan adalah seperti berikut:

 

1) MENJAGA IBADAH PUASA

 

Secara umumnya, tema ibadah terutama bulan Ramadan adalah berpuasa kerana ianya menjadi rukun Islam yang wajib bagi kita laksanakan. Ibadah puasa menyucikan fikiran seraya menerangkan hati. Dari segi logik sains pula, puasa membersihkan serta merehatkan organ perut dan usus yang penat bekerja tidak henti-henti. Orang yang berpuasa untuk mendapat keredhaan ALLAH SWT pasti akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan berjaya memasuki syurga melalui pintu Ar-Rayyan.

 

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa.”

 

2) SOLAT TARAWIH DAN QIAMULAIL

 

Rasulullah SAW bersabda:

 

“Barangsiapa yang berdiri (menunaikan solat) di bulan Ramadan dengan iman dan mengharap (pahala), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

 

Imam Nawawi menjelaskan berdiri yang dimaksudkan adalah solat Terawikh. Hasil sepakat ijma’ ulama’ juga, berdiri yang dimaksudkan adalah mendirikan solat sunat seperti Solat tahajjud, taubat, hajat, tasbih dan sebagainya. Walaupun di musim PKP ini kita tidak boleh tunaikannya di Masjid dan surau. Tidak mengapa, kita boleh lakukan bersama keluarga kita di rumah. Bayangkan jika andai kita berjaya menyempurnakan solat terawikh dan qiamulail berturut-turut dengan khuyuk. Bilakah lagi kita ingin merebut pahala yang berganda-ganda ini?

 

3) TILAWAH AL-QURAN

 

Seterusnya adalah tilawah Al-Quran. Demi meraikan bulan turunnya Al-Quran ini, membaca Al-Quran secara tilawah atau beramai-ramai benar-benar menghidupkan roh Ramadan. Sangatlah rugi jika kita tidak melakukannya bersama keluarga, sanak saudara dan teman handai.

 

Sabda Rasulullah SAW:

 

“Ibadah terbaik bagi ummatku adalah membaca Al-Quran.”
(Riwayat Baihaqi dan Abu Nai’m)

 

4) MEMELIHARA NAFSU DAN HATI

 

Pada bulan Ramadan, syaitan dibelenggu dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya (simbol bagi merahmati bulan Ramadan). Akan tetapi nafsu pula menjadi watak jahat yang akan mengganggu proses ibadah kita dan merosakkan hati. Contoh keinginan nafsu adalah seperti terlalu banyak membeli juadah di bazaar sehingga terlupa tujuan berbuka puasa malah terasa longlai untuk beribadah kerana terlalu banyak makan. Oleh itu bertakwa menjadi ubat bagi membendung masalah kecenderungan nafsu ammarah ini.

 

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Yusuf ayat 53:

 

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

 

5) MELAZIMI ZIKIR DAN DOA

 

Rasulullah saw bersabda, bahawa sesungguhnya ALLAH SWT berfirman:

 

“Barangsiapa yang (lebih) sibuk mengingatKu daripada memohon kepadaKu, maka aku akan memberikan kepadanya hal yang lebih utama dari yang kuberikan kepada orang-orang yang memohon.”

 

6) ZAKAT DAN SEDEKAH

 

Bagi golongan yang berkemampuan, pada bulan Ramadanlah kita berpeluang membuat kebaikan dengan mengeluarkan zakat fitrah dan sedekah.

 

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra. ia berkata:

 

Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan keji dan untuk memberi makan orang miskin.

 

“Barang siapa yang mengeluarkannya sebelum solat, maka ia bererti zakat yang di terima dan barang siapa yang mengeluarkannya selepas solat hari raya, maka sedekah itu seperti sedekah biasa (bukan zakat fitrah).” (Hadith Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Daaruquthni)

 

7) MEMBURU LAILATUL QADAR

 

Hidangan terakhir yang dinanti-nanti dan diburu-buru oleh seluruh hamba adalah Lailatul Qadar. Malam penetapan dan perjalanan sebuah kehidupan ini lebih baik daripada seribu bulan.

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 1-5)

 

ALLAH SWT menurunkan malam Lailatul Qadar sebagai kemuncak ibadah pada 10 malam terakhir. Hal ini kerana malam ini terkandung keistimewaannya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

Rasulullah SAW beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan dia bersabda, yang bermaksud:

“Carilah malam Lailatul Qadar pada (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadan” (Hadith Riwayat Bukhari 4/225 dan Muslim 1169)

 

Akhir kata, marilah sama-sama kita hidupkan bulan Ramadan dengan perkara yang bermanfaat dan amal ibadah yang lebih dari biasa. Semoga dengan kehadiran bulan yang mulia ini dapat tingkatkan ketaqwaan kita kepada ALLAH SWT serta dapat hapuskan segala dosa yang pernah kita lakukan.
 

 


KREDIT: siraplimau.com

RamadanLailatul Qadarberkat
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });