Adakah Batal Puasa Jika Keluar Air Mani?


Perempuan yang batal puasa sama ada disebabkan keluar haid atau nifas, maka mereka boleh makan di siang hari di bulan puasa.

Haram ke atasnya tetap berpuasa dalam keadaan haid. Namun, hal ini berbeza dengan mereka yang keluar mani secara sengaja, baik lelaki mahupun perempuan.

Dalam fikh, apabila keluarnya air mani secara sengaja seperti disebabkan persetubuhan, beronani, melakukan perkara yang boleh manaikkan syahwat atau bermimpi, secara tidak langsung seseorang itu wajib untuk mandi hadas. Ini kerana ia sedang berada dalam keadaan junub.

Sama ada lelaki atau perempuan, mereka yang keluar air mani diwajibkan mandi junub. Terdapat sebuah hadis yang pernah diriwayatkan oleh Zainab binti Ummu Salamah, bahawa Ummu Sulaim bertanya kepada Rasulullah SAW:

Maksud: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu terhadap perkara kebenaran. Adakah menjadi kewajipan bagi seorang perempuan untuk mandi (junub) apabila dia bermimpi?” Maka, Baginda SAW menjawab: “Ya, dia perlu mandi apabila dia melihat terdapatnya air mani.”(Hadis Riwayat Bukhari, no. 6091)

Mandi junub ini adalah untuk membersihkan diri bagi membolehkan seseorang itu melakukan ibadah wajib seperti solat. Selagi berada dalam keadaan hadas, maka seseorang itu tidak boleh menunaikan solat. Jika ia tidak dilakukan, solat tersebut tidak sah.

Namun, apabila seseorang itu keluar mani di bulan puasa, maka terdapat dua situasi yang berbeza, iaitu;

 

#1 – Keluar Mani Pada Malam Hari

Jika seseorang itu keluar mani pada malam hari dengan sengaja sama ada disebabkan persetubuhan dengan pasangan dan dia telah berniat puasa esok hari, maka dia boleh sahaja meneruskan puasanya dengan syarat perlu melakukan mandi wajib.

Mandi wajib tersebut sunat dilakukan sebelum terbitnya fajar. Adapun, jika dilewat-lewatkan mandi wajib tersebut sama ada selepas masuknya Subuh, hukumnya adalah makruh. Namun, puasanya masih sah dan boleh diteruskan seperti biasa.

 

#2 – Keluar Mani Pada Siang Hari

Situasi kedua ialah apabila seseorang itu keluar mani pada siang hari dengan sengaja, maka puasanya adalah terbatal serta merta. Ia adalah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Walau bagaimanapun, jika ia keluar secara tidak sengaja seperti disebabkan mimpi di siang hari atau terpandang perkara yang boleh menaikkan nafsu syahwat, maka puasanya tidak batal. Hal ini kerana, ia berada di luar kemampuan.

Namun, dia perlu melakukan mandi wajib bagi menjadikan ibadah wajibnya seperti solat, sah dan diterima.

Mazhab Al-Syafi’e ada menyebut – “Keluarnya mani dengan sengaja dengan tanpa bersetubuh seperti bercium, onani dengan tangannya atau tangan isterinya atau onani dengan sentuhan dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).

Adapun, jika mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas), maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar mani, maka hal ini tidak membatalkan puasa kerana tidak berlakunya mubasyarah.

Selain itu, hal ini sama juga bagi sesiapa yang bermimpi pada siang hari Ramadan, maka tidak membatalkan puasa secara ijma’ kerana perkara itu berada di luar kawalannya.” (al-Muktamad, 184/2)

 

Bolehkah Makan Apabila Batal Puasa?

Jumhur ulama mengatakan bahawa, puasa mereka yang batal disebabkan keluar mani dengan sengaja, wajib diqada’ selepas habisnya Ramadan.

Namun, bagi menghormati bulan Ramadan, seseorang itu tidak boleh makan dan minum dengan sesuka hati. Hal ini ada diterangkan melalui fatwa Syeikh Abdul Aziz bin Baz.

Ini adalah kerana, seseorang itu sengaja membatalkan puasanya dengan tidak menahan nafsu syahwatnya daripada melakukan perkara yang mungkar itu.

 

Wallahu a’alam.

 

Sumber: tzkrh.com

sumber gambar: Pesona Pengantin

hukubatal puasakeluar air mani
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });