Begini Ibadah Terawih Baginda SAW


Bagaimana dengan permulaan Ramadan kalian terutamanya yang sudah mula menggalas tanggungjawab sebagai imam?

Banyak perkongsian yang telah tular di media sosial berkenaan tatacara ringkas menunaikan solat tarawih. Ia secara tidak langsung dapat membantu memudahkan kaum Adam dalam menjalankan tugas mereka sepanjang 30 hari.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana solat tarawih yang diamalkan Baginda SAW sepanjang Ramadan bagi menghidupkan malam-malam tersebut?

Saidatina ‘Aisyah pernah mengkhabarkan bahawa Baginda SAW sentiasa menghidupkan malam Ramadan dengan menunaikan solat sunat tarawih. Solat sunat Baginda tidak pernah kurang daripada 11 rakaat. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1147)

 

Dalam hadis lain, Saidatina ‘Aisyah menyebut:

Maksud: “Rasulullah SAW pada suatu malam keluar untuk melaksanakan solat di masjid pada tengah-tengah malam. Kemudian, orang yang melihatnya mengikuti Baginda dan solat di belakangnya. Pada waktu paginya, orang-orang membicarakan kejadian tersebut. Kemudian, pada malam berikutnya, orang-orang yang berkumpul bertambah banyak dan ikut solat bersama Baginda. Hal yang sama terjadi apabila keesokannya ramai orang yang membicarakan perbuatan Baginda tersebut.

Kemudian, pada malam yang ketiga, Baginda SAW keluar lagi untuk solat di masjid dan begitu juga dengan bilangan jemaah yang hadir semakin ramai dari kebiasaan. Kemudian, pada malam yang keempat, masjid dipenuhi dengan jemaah. Namun, Baginda tidak hadir melainkan hanya untuk menunaikan solat Subuh. Setelah selesai solat, Baginda bersabda: “Amma ba’du, sesungguhnya aku bukannya tidak tahu keberadaan kalian (semalam), akan tetapi aku takut solat tersebut akan diwajibkan atas kalian, sementara kalian tidak mampu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 924)

Imam As-Suyuthi membahaskan hadis ini dengan menyebut bahawa tidak ada hadis sahih yang menceritakan bahawa Baginda SAW membataskan bilangan rakaat solat sunat tarawih sama ada sebanyak 20 rakaat atau 11 rakaat.

Bahkan, diceritakan bahawa solat tarawih Baginda panjang dengan bacaan surah, namun bilangan rakaat yang sedikit, iaitu 11 rakaat.

Melalui hadis di atas juga, Baginda SAW menghidupkan malam Ramadan dengan melakukan solat sunat pada waktu malam, namun Baginda menekankan bahawa ia adalah ibadah sunat. Buktinya, Baginda meninggalkan solat sunat itu pada malam keempat kerana bimbang umat Islam waktu itu menganggap ia sebagai ibadah wajib.

Maksud: “Nabi SAW bersolat di malam hari (tarawih) dengan bilangan rakaat sebanyak 13.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1138)

 

Kesimpulan

Jadi, amalan solat sunat tarawih ini adalah sunat dengan bilangan rakaat yang dianjurkan adalah tidak lebih 11 atau 13 rakaat.

Ini ialah berdasarkan amalan Baginda SAW ketika menunaikan solat sunat tarawih sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah dan telah dinukilkan dalam beberapa hadis yang lain.

Justeru, tiada masalah jika anda ingin mengimamkan ahli keluarga anda dengan bilangan rakaat yang sedikit, asalkan amalan itu menjadi titik tolak dalam usaha kita untuk menghidupkan Ramadan.

 

Sumber: Tzkrh.com

sumber gambar: The Inspirasi

 

ibadahterawihcara Baginda
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });