"Istighfar bang... istighfar...."


Ustaz Abdullah Khairi | 03-05-2020

Istighfar mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersembunyi. Ia sukar dibuktikan tapi hanya dapat dirasai bila diri sendiri pernah mengamalkan dan menghayatinya.

Jika istighfar dilafazkan dengan ikhlas dan jujur serta yakin, pasti kita akan dapat rasai keajaibannya. Malah pertolongan Allah juga akan datang dalam pelbagai cara.

Terdapat sebuah atsar daripada Hasan al-Basri yang menunjukkan bagaimana hebatnya kalimah istighfar.

أَنَّ رَجُلًا شَكَى إِلَيْهِ الْجَدْب فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر الْفَقْر فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر جَفَاف بُسْتَانه فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر عَدَم الْوَلَد فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، ثُمَّ تَلَا عَلَيْهِمْ هَذِهِ الْآيَة

Diriwayatkan bahawa pernah seseorang mengadu kepada Al-Hasan Al-Basri tentang musim kemarau yang terjadi. Imam Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian orang lain mengadu lagi kepadanya tentang kemiskinannya. Lalu Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian orang lain mengeluh lagi kepadanya tentang kekeringan yang terjadi pada kebunnya. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang lagi orang lain mengadu kepadanya kerana belum mempunyai anak. Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut.” Dan dia membaca ayat di dalam surah Nuh:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (١٢)

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)

Inilah janji Allah yang diberikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s, Allah SWT berjanji untuk menurunkan hujan rahmat-Nya, dibanyakkan rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur.

Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah istighfar.
 

Istighfar
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });