RAMADAN SEMPENA PKP? – ANTARA BAYANGAN & REALITI


Hezry Yasin | 24-04-2020
Gambar oleh IslamiCity

Bagaimana seseorang itu tatkala menyambut kehadiran yang tersayang? Apakah antara persiapan-persiapan yang dilakukan?

Adat manusia, lebih-lebih lagi masyarakat Malaysia, tatkala menyambut kehadiran orang yang tersayang  bertandang ke rumah seperti ahli keluarga, sahabat, kenalan dan lain-lain, ataupun ‘orang-orang besar’ seperti menteri, orang kenamaan, ahli perniagaan terkenal dan terkemuka dunia, mereka akan membuat persiapan dengan begitu teliti dan rapi.

Mereka mahukan semuanya dalam keadaan sempurna. Rumah kemas dan bersih serta dihias indah. Makanan dimasak seperti chef antarabangsa. Badan dibersihkan dan didandan dengan cantik. Ini semua antara perkara biasa yang akan dilakukan kita sebagai persediaan menyambut mereka yang tersayang dan terhormat.

Namun bagaimana persediaan kita dalam menyambut tetamu ‘yang tersayang’ yang dipanggil sebagai bulan Ramadan? Tetamu yang bukan bertandang hanya 2 atau 3 hari. Namun bertandang untuk sebulan. Sepatutnya persediaan kita haruslah jauh lebih berkualiti daripada biasa kerana yang bertandang ini bukanlah manusia. Namun ia satu tempoh yang membawa tiga ganjaran yang dikejar umat Islam:- kerahmatan, pengampunan, dan pembebasan daripada api neraka.

Subhanallah siapa sangka pejam celik, pejam celik, kita bertemu lagi dengan bulan Ramadan 1441 hijrah tahun ini. Satu bulan tarbiah buat seluruh umat Islam. Kita juga kena banyak bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dipanjangkan umur dan diberi lagi peluang untuk sampai dan melalui bulan yang penuh keberkatan.

“Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadan”. (HR Baihaqi)

Itulah doa yang sering dibaca umat Islam tatkala tibanya bulan Rejab dalam penantian menyambut bulan Ramadan yang juga sinonim dengan gelaran bulan puasa. Membaca doa itu merupakan satu muqadimah, namun melaksanakan beberapa ibadah itulah persediaan sebenar.

Namun Ramadan kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Pastinya ramai di kalangan kita yang sudah membuat persediaan yang teliti dan rapi bagi menyambutnya. Bagaimanapun, persediaan yang dibuat sama ada secara bayangan ataupun realiti, pastinya berubah apabila apa yang dibayangkan tidaklah sama dengan realiti.

Ramadan tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana kita berpuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan ia adalah ‘sejarah’ buat kita semua. Tiada bazar Ramadan, tiada program-program dan majlis ilmu, tiada solat terawih dan tadarus di surau,  masjid dan sebagainya. Melaksanakan semua ibadah tersebut hanya di rumah bersama keluarga.

Mungkin ramai yang merasakan tidak seronok ataupun tidak sama kemeriahannya menyambut Ramadan tahun ini kerana terpaksa patuh pada PKP. Sebenarnya tidak, setiap apa yang berlaku itu adalah dengan kehendak dan keizinan Allah SWT maka pastinya Dia sudah aturkan yang terbaik buat hamba-Nya.

Ketahuilah, keseronokan beribadah dan ganjaran pahala dalam bulan Ramadan sedikit pun tidak berkurangan, bahkan boleh mendapat lebih lagi kerana kita patuh dan taat pada arahan pemerintah dan juga saranan Rasulullah SAW dalam suatu hadith yang bermaksud:

Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (HR Imam Muslim). 

Justeru, ayuh! Jangan kita bersedih dan jangan kita berduka. Pandanglah dari sudut hikmah. Bergembiralah dan bersama kita hidupkan Ramadan tahun ini dengan lebih ceria bersama keluarga. Semoga Ramadan kali ini mencatat sejarah yang baik dan indah dalam hidup kita.

Ramadan Mubarak!

*Penulis merupakan Perunding Motivasi & Imej Bertauliah

Ramadan
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });