Forever Love : Salahkah untuk kita berasa cemburu?


Ustaz Syed Norhisyam | 21-04-2020

“Awak ni asyik bandingkan saya dengan arwah isteri awak dahulu aje! Mana nak sama. Dia lain, saya lain. Cubalah terima saya seadanya!”

Dialog ini mungkin biasa kita dengar. Ia sering berlaku dalam sebuah rumah tangga setelah kematian isteri pertama seseorang lelaki. Inilah namanya cemburu. Cemburu dalam hubungan suami isteri, itu tanda wujudnya cinta.

Agak mustahil orang yang mengakui mencintai kekasihnya, (suami atau isteri) tidak memiliki rasa cemburu. Walaupun cemburu itu tanda kesempurnaan cinta, tetapi biarlah ia tidak berlebihan dan melampaui batas.

Salahkah untuk cemburu?

Tidak salah. Malah isteri-isteri Rasulullah SAW juga memiliki perasaan cemburu. Ini terjadi kerana begitu besar rasa cinta mereka kepada kekasihnya iaitu Rasulullah SAW.

Jika diteliti dalam sirah Rasul, cinta Baginda SAW kepada Khadijah r.a sangat mendalam dan tidak terhakis sama sekali sehingga mengundang rasa cemburu dalam kalangan isteri Baginda terutamanya Sayidatina Aisyah r.anha.

Sayidatina Aisyah r.anha adalah seorang isteri yang paling bijak dan menghafal banyak hadis serta menjadi rujukan para sahabat Rasulullah SAW.

Usia yang muda ketika dinikahi oleh Rasulullah, membuatkan Aisyah terkenal dengan sifatnya yang manja dan cemburu terutamanya kepada Khadijah yang sememangnya memiliki tempat tersendiri di hati suaminya itu.

Banyak kisah romantis yang ditulis mengenai hubungan Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.anha. Begitu sayang dan cintanya Baginda kepada Aisyah sehingga Baginda memanggilnya dengan nama kesayangan iaitu ‘Humaira yang membawa maksud kemerah-merahan. Malah Rasulullah SAW juga pernah berlumba lari dengan Aisyah dan selalu meminta disikatkan rambutnya oleh Aisyah.

 

Ternyata perbezaan usia bukan menjadi penghalang dalam menyatukan cinta. Sebagaimana besarnya cinta Aisyah kepada Baginda, sebegitu jugalah besarnya sifat cemburu Aisyah terutamanya kepada Khadijah walaupun mereka tidak pernah berjumpa. Sehinggakan Aisyah pernah berkata,

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِرَسُوْلِ الله كَمَا غِرْتُ عَلَى خَدِيْجَةَ لِكَثْرَةِ ذِكْرِ رَسُوْلِ اللهِ إِيَّاهَا وَثَنَائِهِ عَلَيْهَا

 

“Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun daripada isteri Rasulullah SAW sepertimana cemburuku kepada Khadijah kerana Baginda banyak menyebut dan menyanjungnya.” (Riwayat bukhari dan Muslim)

Sayidatina Aisyah r.anha juga pernah berkata kepada Nabi SAW, mengungkapkan rasa cemburunya kepada Khadijah;

“Seakan-akan di dunia ini tidak ada wanita kecuali Khadijah?” Nabi SAW menjawab, “Khadijah itu begini dan begitu, dan aku mendapatkan anak daripadanya.” (Riwayat Bukhari)

Kemuncak kecemburuan Sayidatina Aisyah r.anha kepada khadijah adalah apabila setiap kali Rasulullah SAW keluar dari rumahnya, Baginda selalu menyebut tentang khadijah dan memujinya dengan pujian yang bagus.

Lalu pada suatu hari, Sayidatina Aisyah r.anha berasa cemburu hingga dia berkata kepada Baginda SAW;

“Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik daripadanya.”

Lihatlah betapa mendalamnya cemburu Aisyah kepada Khadijah hanya kerana kekasihnya (Rasulullah) itu menyebut nama wanita yang telah pun meninggal dunia.

Apabila berhadapan dengan situasi sebegini, Rasulullah SAW tidak mengeluarkan perkataan yang kasar melainkan kata-kata yang hak. Betapa mulianya akhlak Rasulullah terhadap isterinya yang sedang cemburu.

Ketika itu Rasulullah SAW menjawab dengan satu jawapan yang para isteri mestilah ambil iktibar daripadanya.

قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ

 

“Allah SWT tidak pernah menggantikan untukku yang lebih baik daripadanya, dia adalah wanita yang beriman kepadaku pada saat manusia kafir kepadaku, dan dia membenarkanku pada saat manusia mendustakan diriku, dan dia juga membantuku dengan hartanya pada saat manusia menutup diri mereka dariku, dan Allah SWT telah mengurniakan anak kepadaku dengannya ketika Allah tidak mengurniakan anak kepadaku dengan isteri-isteri yang lain.” (Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya Rasulullah SAW menyayangi semua isterinya tetapi Khadijah tetap mendapat tempat yang sangat hebat di hati Baginda SAW. Walaupun Khadijah sudah meninggalkan Baginda SAW, tetapi ingatan Rasulullah kepadanya tetap segar.

Khadijah seorang isteri yang amat mencintai Rasulullah SAW. Dia sepenuhnya memberikan seluruh emosi, perasaan, bahkan hartanya kepada Rasulullah SAW demi dakwah Baginda. Apa sahaja yang Rasulullah perlukan, seboleh-bolehnya dia akan penuhi. Bahkan dia sentiasa menyediakan setiap kemudahan yang dapat memberikan ketenangan dan kesenangan kepada Rasulullah SAW.

Inilah yang menyebabkan baginda sentiasa mengingati Khadijah. Malah Rasulullah SAW begitu sedih ketika isterinya itu meninggal dunia. Begitu juga selepas kematian bapa saudaranya, Abu Thalib. Akhirnya tahun itu dikenali sebagai Tahun Kesedihan.

Inilah yang dinamakan forever love. Cinta Rasulullah kepada Khadijah segar selamanya. Manakala cemburunya Aisyah itu bukan tanda kekurangan dalam dirinya, tetapi merupakan besarnya cinta kepada Rasulullah. Benar, Aisyah cemburu tetapi dengan keimanan dan ketakwaannya, dia mampu melawan rasa cemburunya yang berlebihan sehingga tidak merosakkan kehidupan rumah tangganya dengan Rasulullah SAW.

Cemburu boleh diatasi jika pasangan saling mengerti dan saling terbuka antara satu sama lain kerana setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semoga cemburu kita pada pasangan berlandaskan rasa cinta dan kasih sayang. Itulah yang mengindahkan lagi kehidupan rumah tangga yang dibina.

Forever Love dan cembur
BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });