"Ibu Tak Perlu Bayar Fidyah Jika Tak Sempat Ganti Puasa Kerana Mengandung & Menyusu" – Mufti WP


“Tak lama lagi nak masuk bulan Ramadhan, banyak lagi nak kena ganti puasa. Yelah, bersalin betul-betul tengah Ramadhan tahun lepas. Tapi rasa tak larat pulak nak ganti puasa bila menyusukan anak ni. Kalau tak sempat ganti kena fidyah ke macam mana ye?”

Isu fidyah adalah antara yang sering dipersoalkan, terutamanya bagi wanita yang mengandung, bersalin atau menyusukan anak.

Ada ibu yang bersalin ketika / hampir bulan Ramadhan dan perlu menggantikan puasa bagi keseluruhan bulan tersebut. Banyak juga kan?

Namun selepas bersalin, tentunya ramai ibu-ibu masih menyusukan anak dan ada pula yang dah mengandung lagi. Jadi, memang agak berat rasanya untuk menggantikan banyak hari puasa yang tertinggal.

Maka dalam kes seperti ini, adakah puasa yang tak sempat diganti perlu dikenakan fidyah?

Mari ikuti penerangan Mufti Wilayah Persekutuan yang dipetik daripada salah sebuah artikel IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-120 : TIDAK WAJIB FIDYAH JIKA TIDAK SEMPAT GANTI PUASA KERANA UZUR SYARIE.

.

.

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah wanita yang tidak sempat menggantikan puasa Ramadhan sehingga tiba Ramadhan seterusnya wajib qadha’ dan membayar kafarah?

Alasan dia menangguhkan ialah kerana mengandung atau menyusukan anak.

Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah . Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad , ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Di dalam Syariat Islam, mengandung dan menyusukan anak adalah bentuk keuzuran yang mengharuskan berbuka. Daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya: “Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.”

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Daud (2408)

Wajib ke atas wanita yang tidak berpuasa kerana mengandung atau menyusukan anak untuk menggantikan puasa selepas berlalunya Ramadhan.

Jika dia tidak sempat menggantikannya, bukan kerana keuzuran, maka dia dianggap berdosa dan diwajibkan untuk membayar fidyah sebanyak satu cupak makanan ruji tempatan, seberat 600 gram.

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/92).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200):

“Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadhan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja.”

Kenyataan yang sama dinukilkan daripada kitab al-Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat) (hlm. 456) oleh Syeikh Hasan al-Kaf:

“Jika seseorang itu melewatkan qadha kerana suatu keuzuran seperti musafir, sakit, menyusukan, lupa dan jahil – maka dia tidak wajib bayar fidyah.”

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa ibu-ibu yang melewatkan ganti puasa, kerana uzur Syarie seperti sentiasa sakit, menyusukan anak, dan mengandung, adalah tidak wajib dikenakan fidyah, jika mereka tidak sempat menggantikan puasa sebelum tiba Ramadhan seterusnya.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya.

Wallahua’lam.

 

NOTA:

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.

KONSEP GANDAAN BAGI PENENTUAN BAYARAN FIDYAH

Apabila seseorang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasa tersebut, tidak perlu menggandakan fidyah tersebut kecuali bagi mereka yang berkemampuan.

Contoh:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 36.00.

(Jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.)

 

*Sumber Rujukan: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

 

fidyahganti puasawanita menyusu
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });