Pakai Baju kelawar Bukan Soal Kelakar Sahaja Tapi Haram Hukumnya" - Ustaz Syed Shahridzan


Gambar Hiasan

MACAM-MACAM gelagat masyarakat kita boleh lihat sepanjang tempoh Perintah Kalawan Pergerakan yang memasuki hari ke-25 pada hari ini.

Ada orang suka lakukan aktiviti memasak, segelintir lagi kelompok pula gemar melakukan aktiviti ilmiah dan tidak kurang juga mereka yang buat perkara yang ‘gila-gila’ di rumah.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kita lihat orang berkongsi gambar lelaki memakai baju kelawar.

Memang nampak lucu dan mencuit hati. Maklumlah, tak pernah lagi kita nampak mereka berpakaian begitu di mana-mana.

Namun begitu, dalam kita berhibur tetap ada batas agama yang perlu dijaga. Apatah lagi jika melibatkan perkara yang berlawanan dengan jantina.

Dalam perihal ini, pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed memberi nasihat berkenaan pakaian yang berlawanan jantina ini.

 

Sebenarnya, ada satu kisah yang diceritakan oleh seorang isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Ummu Salamah RA yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam sunannya.

Sayyidah Ummu Salamah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah masuk menemuinya ketika beliau sedang memakai tudung. Lalu Baginda bersabda: “Lilitkanlah sekali sahaja, jangan dua kali lilitan.” 

Abu Daud berkata: “Makna sabda nabi ‘Lilitlah sekali sahaja, jangan dua kali lilitan’ iaitu janganlah engkau memakai tudung seperti lelaki memakai serban, jangan engkau ulangi lilitannya berkali-kali.”

Ujar Ustaz Syed Shahridzan, beliau yakin isteri nabi yang mulia ini memakai tudungnya dengan dua kali lilitan bukan berniat untuk menyerupai lelaki. Tidak mungkin wanita sesolehah Sayyidah Ummu Salamah terlintas di hatinya untuk berbuat demikian.

“Namun, amat jelas teguran baginda SAW sebagai tegahan agar seseorang itu tidak berketerampilan seperti jantina berlawanan, meskipun tiada niat sebegitu di hati,” jelas beliau.

Rasulullah SAW juga melarang keras lelaki memakai pakai perempuan. Begitu juga sebaliknya dalam beberapa hadis.

Bahkan, perbuatan itu mendapat laknat daripada ALLAH dan rasul-NYA bagi sesiapa yang tahu tentang pengharamannya, namun tetap melakukannya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Semoga kita dikurniakan pemahaman agama yang betul oleh ALLAH SWT dan sentiasa diberi petunjuk hidayah iaitu jalan orang-orang yang bertakwa.

Tidak salah untuk kita berhibur, tetapi biarlah yang mengikut syariat Islam.

Jika kita pernah buat kesilapan,  segeralah mohon keampunan ALLAH.

Andai kata, ada ahli keluarga atau kawan-kawan sendiri yang ‘terbuat’ perkara ini, jangan sesekali mengecam mereka. Sebaiknya, bimbinglah mereka ke jalan yang benar dan doakan semoga mereka diberikan hidayah oleh-NYA.

 

Sumber: SinarPlus.sinarharian.com

Hukumhalalharambaju kelawar
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });