SENARAI SEMAK AMALAN PUASA DITERIMA ATAU SIA-SIA

Assalamualaikum wbt. Apa khabar semua? Harapnya baik-baik sahaja ya. Bagaimana dengan puasa teman-teman? Bagus atau biasa-biasa sahaja?

 

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Syawal. Pastinya pelbagai persiapan telah dilakukan seperti menyediakan kuih muih, mengacau dodol, membakar lemang, memasak rendang dan ketupat, juga menghias rumah untuk menyambut ketibaan tetamu yang bakal berziarah. Itu belum lagi tentang duit raya yang akan diberikan kepada sanak saudara. Lagi banyak nilainya lagi sayanglah mereka kepada kita. Aduhai anak!

 

Baju raya pula tak kurang daripada tiga pasang untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Balik ke kota raya nanti, baju lain pula sedia menanti untuk jemputan ke rumah terbuka. 

 

Hebat ya persiapan yang kita buat. Iyalah, setahun sekali. Mana mungkin persiapan hanya ‘cikai-cikai’ sahaja. Ye tak?

 

Akan tetapi dalam sela waktu persiapan yang sedang dilakukan itu terfikirkah kita tentang puasa yang kian berakhir? Yang mana kita belum tentu dapat berjumpa dengannya tahun hadapan. Sejauh pula kita tahu yang puasa kita ini diterima oleh Allah Swt?

Mari kita semak apakah tanda-tanda puasa kita diterima oleh Allah Swt atau puasa kita hanya sia-sia sahaja?

 

  • Dipermudahkan untuk melakukan ibadat.

Orang yang puasanya diterima oleh Allah Swt akan dipermudahkan untuk melakukan ibadat. Misalnya mudah untuk bangun tahajud, senang untuk bersedekah, tidak lokek untuk menghulur bantuan kepada orang memerlukan dan banyak melakukan perkara kebaikan dengan hati yang ikhlas.

2) Membenci perbuatan maksiat.

Seseorang itu akan berusaha menjauhi maksiat dan juga perkara-perkara dilarang yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu. Percayalah, saat kita berusaha meninggalkan kejahatan saat itulah  Allah sedang meniup hidayah ke dalam hatinya.

 

  • Berdoa dan sering berharap agar Allah menerima taubatnya.

Mereka yang insaf daripada melakukan keburukan akan sentiasa berharap agar Allah menerima taubat yang dipinta. Hatinya juga sentiasa yakin dengan rahmat Allah yang luas tanpa sempadan.

 

  • Melazimi istighfar

“Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang-orang banyak (Arafah) dan mohonlah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” -Surah Baqarah: 199

 

  • Berasa takut jika amalannya tidak diterima

Seseorang yang ikhlas mengabdikan diri kepada Allah akan sentiasa yakin bahawa amal ibadatnya diterima Allah. Akan tetapi pada waktu sama dia juga berasa bimbang jika ia tidak diterima. Rentetan daripada itu dia akan sentiasa memperbaiki diri dan juga ibadah agar ia dilakukan dengan tepat sekali gus diterima oleh Allah swt.

 

Adakah ciri-ciri yang disebut ini ada pada diri kita?

 

Tepuk dada tanya iman. Semoga puasa kita tahun ini diterima oleh Allah Swt, dan dapat membentuk diri menjadi sebaik-baik hamba.

 

Mari, kita jadikan puasa yang berbaki sebagai langkah pemulaan perubahan diri. Percayalah, tiada istilah terlambat dalam melakukan hijrah selagi ia ke arah kebaikan.

BUKU BERKAITAN
  • Pedoman Puasa
  • Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri
  • Qiamullail: Perintah yang Ditinggalkan
ANDA MUNGKIN SUKA